SYIAH | Syiah. Syiah ialah satu kumpulan orang Islam yang berpendapat bahawa kepimpinan negara (imamah atau khilafah ) bukan lagi satu keperluan umum yang diserahkan kepada orang ramai untuk menentukannya, malah ia menjadi satu rukun dan satu daripada prinsip agama Islam. Oleh yang demikian, mereka beranggapan bahawa adalah tidak wajar Rasulullah s.a.w. meninggalkan urusan ini atau menyerahkannya untuk diselesaikan sendiri oleh umat Islam. Baginda wajib menentukan imamah yang akan mentadbir urusan orang Islam. Lalu kumpulan ini membuat andaian bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah mewasiatkan imamah kepada Sayidina Ali ibn Abu Talib sebagai pengganti Baginda. | UMUM | |
SINAR KOSMIK | Sinar kosmik ialah zarah bertenaga tinggi yang berasal dari angkasa lepas. Ahli sains berpendapat sinar ini memenuhi Bima Sakti dan juga galaksi lain. Sinar kosmik terdiri daripada zarah subatom yang membawa satu cas elektrik, seperti proton, elektron, dan nukleus atom. Di angkasa lepas, sinar ini bergerak pada kelajuan yang hampir sama dengan kelajuan cahaya, iaitu 299 792 kilometer per saat. | UMUM | |
SYDENHAM, THOMAS | Sydenham, Thomas (1624–1689), salah seorang doktor Inggeris yang paling dikagumi pada zamannya. Dia berpendapat bahawa perubatan hendaklah dipelajari melalui pengalaman di katil pesakit dan amalan perubatan hendaklah didasarkan pada pemerhatian, bukannya dengan membaca buku atau menggunakan teori. Dia merupakan pemerhati yang tajam dan memberikan huraian yang sangat baik tentang gout, demam skarlet, campak dan influenza. | UMUM | |
ERA SENOZOIK | Era Senozoik ialah era yang paling baru menurut skala masa geologi sejarah bumi. Ahli geologi berpendapat bahawa era ini bermula lebih kurang 65 juta tahun dahulu. Ada kalanya ini dikenali sebagai Zaman Mamalia. | UMUM | |
AINU | Ainu ialah sekumpulan penduduk yang mungkin merupakan penduduk pertama Jepun. Kini terdapat 15 000 orang Ainu yang kebanyakannya tinggal di Hokkaido, salah sebuah pulau utama Jepun yang terletak paling utara. Sesetengah ahli antropologi berpendapat bahawa kaum Ainu ada hubungannya dengan orang Eropah. Ada ahli antropologi yang lain pula berpendapat bahawa orang Ainu ada kaitan dengan orang Asia atau Orang Asli Australia, penduduk asal Australia. | UMUM | |
ARISTIDES | Aristides (530?–468? S.M.) yang dikenali sebagai “Just” ialah negarawan dan pemimpin tentera Athens. Dia adalah pesaing kepada Themistocles, yang ingin menjadikan Athens sebagai satu kuasa tentera laut. Aristides berpendapat bahawa memang baik sekali Athens mengekalkan tentera darat yang berkuasa berbanding dengan tentera laut, kerana tentera darat mengalahkan tentera Parsi dalam pertempuran Marathon pada tahun 490 S.M. Isu antara mereka berdua telah diputuskan oleh orang ramai pada tahun 482 S.M. Mengikut adat, orang Athens mengundi sama ada Aristides atau Themistocles harus dinyahkan (dibuang negeri). Setiap pengundi menulis salah satu nama di atas ostrakan (sekeping tembikar). Aristides kalah undi dan dibuang negeri. | UMUM | |
NEW ENGLAND | New England ialah sebuah wilayah di utara New South Wales, Australia. Ia merupakan kawasan tanah tinggi yang terbesar di Australia. Kawasan ini tidak mempunyai sempadan yang jelas. Tetapi kebanyakan orang berpendapat bahawa ia termasuk juga kawasan penara yang menganjur dari Sungai Macintyre dengan sempadan Queensland di bahagian utara, ke Banjaran Moonbi berhampiran Tamworth di bahagian selatan. | UMUM | |
NERVI, PIER LUIGI | Nervi, Pier Luigi (1891–1979) ialah arkitek dan jurutera Itali. Reka bentuknya menggambarkan kepercayaannya bahawa bentuk struktur industri yang praktik mestilah cantik dan anggun berdasarkan reka bentuk yang ringkas. Nervi terlatih sebagai jurutera dan dia berpendapat bahawa kecantikan arkitek mestilah diperoleh berdasarkan pengiraan matematik berbanding dengan pertimbangan estetika. Kerja Nervi mula dikenali apabila dia menggunakan konkrit bertetulang dengan cantik. Dia membina beberapa teknik struktur dengan menggunakan konkrit. | UMUM | |
SAFAR | Safar adalah bulan kedua mengikut Takwim Hijrah. Nama tersebut mula digunakan sekitar tahun 412 M., iaitu pada zaman Kilab ibn Murrah; datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima. Terdapat beberapa pandangan tentang asal usul nama Safar. Ada yang berpendapat bahawa nama Safar diambil daripada nama sebuah kawasan, iaitu al-Safariyyah. Pendapat lain pula menyatakan bahawa ia diambil daripada nama pasar al-Safariyyah yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu di Yaman. Orang Arab sering berulang-alik ke pasar tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan. | UMUM | |
SUWARNABHUMI | SUWARNABHUMI, rujuk orang India kepada Kepulauan Melayu yang dikatakan menghasilkan banyak emas. ‘Suwarnabhumi’ adalah perkataan Sanskrit yang bermaksud Bumi Emas. Bagi sebahagian besar sejarawan, kawasan yang dikenal sebagai Suwarnabhumi ini sama dengan kawasan yang dipanggil Suwarnadwipa (Pulau Emas) yang terdapat dalam beberapa buah prasasti dan karya sastera India. Sesetengah sejarawan berpendapat Suwarnabhumi atau Suwarnadwipa itu merujuk khusus kepada Pulau Sumatera. Ada pendapat lain yang menyatakan bahawa tidak semestinya Sumatera kerana pada masa itu pengetahuan orang India tentang Kepulauan Melayu ini tidaklah begitu lengkap untuk mengetahui perbezaan antara pulau-pulau yang terdapat di sana. Di samping itu, penulis Arab juga berpendapat perkataan Suwarnabhumi (Suwarnadwipa) itu merujuk kepada keseluruhan Kepulauan Melayu. Al-Biruni mengatakan bahawa kepulauan Zabaj yang disebut oleh orang Arab itu dipanggil oleh orang Hindu (India) sebagai ‘Surawn dib’ (Pulau Emas). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |