PINDAR | Pindar (522?–443 S.M.) ialah penyair lirik agung Yunani. Dia disanjung kerana mencipta oda Pindar. Jenis oda ini terbina daripada tiga rangkap iaitu strop, antistrop, dan epod – yang diulang bersiri. Pindar menggubah puisi yang sangat indah dan halus ini untuk meluahkan sanjungan dan pujian terhadap acara tertentu seperti meraikan kejayaan atlit dalam pertandingan sukan kebangsaan yang hebat. | UMUM | |
MESIN TELETAIP | Mesin teletaip ialah mesin taip elektro mekanikal yang menghantar denyutan elektrik melalui dawai kepada alat penerima yang kemudiannya akan mencetak mesej tersebut. Semasa jurutaip menekan setiap mata taip pada alat penghantar, ia mengaktifkan denyutan elektrik yang bertindak balik menekan huruf yang sama pada penerima. Mesin teletaip biasanya disambung secara bersiri dan banyak alat penerima di berbagai-bagai tempat seluruh dunia boleh dikendalikan dari satu alat pemancar sahaja pada satu masa. | UMUM | |
IAKAH SALMAH? | IAKAH SALMAH?, novel kedua yang ditulis oleh Ahmad bin Haji Muhammad Rashid Talu yang diterbitkan dalam tujuh jilid, mempunyai 648 halaman dan diterbitkan dari bulan Disember 1928 hingga September 1929. Novel Melayu yang diterbitkan secara bersiri ini merupakan satu fenomena baharu dalam penerbitan novel pada tahun 1920-an yang dimulai dengan Syed Syeikh Ahmad al-Hadi. | SASTERA | Karya |
SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR | SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR, novel karya Sasterawan Negara Keris Mas. Novel ini pernah disiarkan secara bersiri dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman mulai 22 Mac hingga 8 November 1981. Novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1982. Novel ini dihasilkan oleh penulis setelah dia bergelar Sasterawan Negara. | SASTERA | Karya |
TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK | TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK, novel karya HAMKA yang pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Pedoman Masyarakat pada tahun 1939. Tenggelamnya Kapal van der Wijck diterbitkan oleh M. Sjarkawi di Medan pada tahun 1939. novel ini telah diulang cetak pada tahun 1949. Cetakan ketiga (1951) hingga ketujuh novel ini dibuat di Jakarta oleh Balai Pustaka. Pada tahun 1976 hingga tahun 1986, novel ini telah diulang cetak sebanyak 10 kali oleh penerbit Bulan Bintang. Mulai tahun 1963, novel ini diterbitkan di Malaysia oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur. | SASTERA | Karya |
SITI NURBAYA | SITI NURBAYA, novel karya Marah Rusli. Novel ini diterbitkan pada tahun 1922 oleh Balai Pustaka. Hingga tahun 1993, ia telah diulang cetak sebanyak 21 kali. Judul asal novel ini ialah Siti Nurbaya, Kasih Tak Sampai. Novel ini pernah disiarkan secara bersiri oleh Televisi Republik Indonesia pada tahun 1991. | SASTERA | Karya |
BAKAT TV | BAKAT TV, pertandingan bagi mencungkil bakat baharu dalam semua bidang hiburan yang dibuat secara tahunan oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Bakat TV dimulakan pada tahun 1970 dan berakhir pada tahun 1981. Selepas itu, Bakat TV ditukar bentuk menjadi Bakat RTM. Pada tahun 1970, semua jenis bakat digabungkan dalam satu pertandingan iaitu nyanyian solo, nyanyian berpadu suara, solo instrumental, pancaragam, aneka persembahan (silap mata, mimik dan lawak jenaka), dan disiarkan di televisyen secara bersiri. | BUDAYA | Kegiatan |