Naysaburiy, ‘Abdullah al- (706–776 H./1306– 1374 M.), faqih Mazhab Hanafi, cemerlang dalam bahasa Arab, mendalami tentang al-Manqul dan al- Ma‘qul . Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Husayniy al-Naysaburiy. Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menyifatkannya sebagai Zamakhshariy pada zamannya. Al-Naysaburiy bekerja sebagai guru di al-Madrasah al-Asadiyyah di Halab, iaitu sebuah sekolah Mazhab Syafi‘i dan juga mengajar di Qubbat al-Asadiyyah di Damsyik, sebuah sekolah Mazhab Hanafiy. Dia menetap di Damsyik dan Kaherah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Al-Naysaburiy kemudiannya dilantik sebagai syeikh tarekat di salah sebuah tempat bersuluk ( al-khawaniq ). Dia menulis kitab Syarh al- Manar mengenai Usul al-Fiqh berdasarkan perbincangan yang dibuat oleh al-Nasafiy dan menulis Syarh al-Tashil mengenai nahu. |