PERLUMBAAN | Perlumbaan ialah pertandingan kelajuan. Orang bertanding dalam acara lumba lari, renang dan berjalan kaki. Sukan seperti lumba kuda dan lumba kereta melibatkan manusia yang menunggang haiwan atau mengendalikan mesin. Haiwan terlatih juga bertanding antara satu sama lain dalam lumba anjing dan merpati. Sesetengah perlumbaan merupakan antara sukan yang paling popular di dunia, menarik berjuta-juta penonton setiap tahun. Di samping penonton yang menghadiri perlumbaan utama, ramai lagi yang mengikutinya di kaca televisyen. | UMUM | |
PUTERI KAWAT | Puteri kawat juga dikenali sebagai majorette, bertanding dalam pasukan antara satu sama lain secara latihan dan dalam pelbagai taktik yang rumit. Pasukan puteri kawat kadangkala berarak dalam pesta dan upacara keraian seperti tatu tentera dan pesta keramaian. Pasukan-pasukan ini bertanding pada peringkat kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Terdapat kejohanan khas untuk remaja berumur 13 tahun dan kategori bawah 12 tahun. | UMUM | |
OLAHRAGA | Olahraga ialah sukan yang menemukan olahragawan untuk bertanding dalam acara lumba lari, berjalan, melompat, dan membaling. Acara balapan terdiri daripada lumba lari atau berjalan pelbagai jarak. Acara padang ialah pertandingan dalam acara melompat atau membaling. Pertandingan balapan dan padang boleh diadakan di dalam bangunan atau di luar bangunan. Lelaki dan perempuan bertanding berasingan dalam sesuatu acara olahraga. | UMUM | |
DEKATLON | Dekatlon ialah pertandingan yang memakan masa selama dua hari dalam sepuluh acara untuk menentukan johan secara keseluruhan. Atlet akan bertanding dalam acara pecut 100 meter, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi, dan larian 400 meter dalam urutan yang sama pada hari yang pertama. Acara pada hari kedua ialah lari berhalangan 110 meter, lempar cakera, lompat bergalah, lontar lembing dan lari 1500 meter. Atlet bertanding melawan masa dan jarak piawaian yang telah ditetapkan, bukannya bertanding antara satu sama lain. Setiap acara dapat menghasilkan hingga 1200 mata. Atlet yang meraih mata keseluruhan yang paling banyak memenangi pertandingan dekatlon ini. | UMUM | |
POLO AIR | Polo air sejenis sukan yang melibatkan dua pasukan bertanding di dalam kolam dan cuba menjaringkan gol dengan membaling atau menolak sebiji bola getah berongga ke arah pintu gol lawan. Satu mata diperoleh bagi satu gol yang masuk ke gawang. Polo air adalah salah satu sukan yang paling lasak kerana pemain menendang dan bergelut atau kadangkala menekan kepala lawan ke dalam air, sungguhpun perbuatan tersebut menyalahi peraturan. | UMUM | |
PERTANDINGAN LOMPAT KUDA | Pertandingan lompat kuda ialah pertandingan sukan menunggang kuda. Dalam acara pertandingan lompat kuda, penunggang bertanding dengan menunggang kuda atau kuda padi dan melompat melepasi pelbagai halangan yang disediakan khas. Halangan yang lazim termasuk pintu pagar, pagar, palang selari, dan tembok tiruan. Sesetengah padang pertandingan lompat kuda memasukkan halangan yang tetap seperti tebing, pagar pokok yang kekal, dan lompatan air. Dua atau lebih halangan yang diletakkan kurang daripada 12 meter jaraknya dikenali sebagai kombinasi. Halangan mempunyai ketinggian (sehingga lebih kurang 1.7 meter) atau kelebaran (sehingga lebih kurang 2.2 meter, melainkan lompat air, yang mungkin sepanjang 4.25 meter). Halangan seperti oxer (kombinasi pagar pokok dan selusur) atau palang tiga serangkai mempunyai ketinggian dan kelebaran. Padang yang tipikal mempunyai 10 atau 12 halangan, tetapi padang bagi acara antarabangsa mungkin mempunyai lebih halangan. | UMUM | |
SUKAN OLIMPIK | Sukan Olimpik ialah pertandingan atlet antarabangsa yang paling penting di dunia. Sukan Olimpik menemukan beribu-ribu atlet terbaik dunia untuk bertanding antara satu sama lain dalam pelbagai sukan individu dan berpasukan. Berjuta-juta orang menyaksikan sukan ini, dan lebih satu bilion orang di seluruh dunia menonton Sukan Olimpik di kaca televisyen. | UMUM | |
PERLUMBAAN MOTOBOT | Perlumbaan motobot ialah sukan yang menarik dan banyak persaingan. Perlumbaan ini diadakan untuk menguji prestasi motobot dan kemahiran pemandunya. Setiap tahun, beribu-ribu orang bertanding dalam pelbagai perlumbaan motobot. Kategori perlumbaan berdasarkan faktor seperti saiz bot, bentuk badan bot serta lokasi dan kekuatan enjin bot. | UMUM | |
ZAHARIAS, BABE DIDRIKSON | Zaharias, Babe Didrikson (1911?–1956) ialah atlet Amerika yang dianggap sebagai salah seorang atlet wanita teragung dalam sejarah sukan. Dia memperoleh kemasyhurannya yang bertahan lama dalam sukan golf dan olahraga, malah dia juga bertanding dalam pasukan bola keranjang, besbol, biliard poket, tenis, menyelam, dan juga berenang. | UMUM | |
MEMANAH | Memanah ialah sejenis sukan yang menggunakan busur dan anak panah. Pemanah yang terlibat dalam sukan ini boleh mengambil seberapa banyak acara yang dipertandingkan. Antara yang paling popular melibatkan acara memburu, pemanahan sasaran, pemanahan padang, dan pemanahan udara. Bagi acara memburu, pemanah menggunakan busur dan anak panah. Sukan jenis ini menyalahi undang-undang hampir di semua negara, termasuk juga Britain. Bagi pemanahan sasaran dan pemanahan terbuka, pemanah bertanding dengan memanah sasaran. Sementara dalam pemanahan udara, pemanah dikehendaki memanah ke suatu jarak yang jauh. Ramai pemanah amatur dari seluruh dunia menyertai pertandingan memanah yang dianjurkan di peringkat antarabangsa. Memanah merupakan salah satu acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Musim Panas. | UMUM | |