NORNS | Norns ialah tiga Nasib dalam mitologi Scandinavia . Mereka merupakan tiga orang adik- beradik perempuan: Urd (masa lampau), Verdandi (masa kini), dan Skuld (Masa Depan). Urd seorang yang tua dan memandang kepada masa lampau. Verdandi memandang tegak ke hadapan, iaitu kepada masa kini. Manakala Skuld mewakili masa hadapan, dan memandang ke arah bertentangan dengan Urd. Mengikut mitologi ini, nasib manusia dan dewa ditentukan oleh Norns. Orang Scandinavia awal mempercayai bahawa terdapat banyak lagi Norns yang lebih kecil, iaitu satu untuk setiap orang. | UMUM | |
AMPERE, ANDRE MARIE | Ampere, Andre Marie (1775–1836), ahli matematik dan ahli fizik Perancis, menemui hukum elektromagnetisme pada tahun 1820-an. Dia menunjukkan bahawa arus elektrik yang selari menarik satu sama lain jika bergerak dalam arah yang sama, dan menolak jika arahnya bertentangan. Teori matematiknya yang menjelaskan fenomena ini menjadi asas perkembangan elektrodinamik. Dia mendapati bahawa arus elektrik yang mengalir melalui kawat yang bergelung bertindak seperti magnet. Ini menyebabkan terciptanya galvanometer, alat untuk mengesan dan menyukat arus elektrik. | UMUM | |
GERAKAN ANTIPENYERAHAN SARAWAK | GERAKAN ANTIPENYERAHAN SARAWAK, gerakan menentang keputusan Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Britain. Keputusan Brooke diambil tanpa mendapat persetujuan rakyat Sarawak, Majlis Negeri dan Tuan Muda Bertram Brooke. Keputusan Brooke bertentangan dengan jaminan Dinasti Brooke bahawa Sarawak adalah hak orang tempatan dan mereka hanya memerintah Sarawak seperti yang diamanahkan dalam perlembagaan. Mengikut Perlembagaan 1941, tujuan utama Dinasti Brooke adalah untuk menyediakan Sarawak ke arah kemerdekaan. Gerakan antipenyerahan bertujuan untuk menuntut kembali status Sarawak sebagai sebuah negeri yang merdeka, sama ada di bawah Dinasti Brooke ataupun di bawah kerajaan orang tempatan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |