NADIR | Nadir ialah titik di angkasa yang betul-betul berada di atas kepala seseorang yang berdiri. Bagi seseorang pemerhati di bumi, langit kelihatan seperti separuh kubah dengan bahagian tepinya membentuk satu bulatan besar yang terletak di atas permukaan bumi yang rata. Bayangkan satu garisan ladung tergantung dari bahagian pusat kubah ini, betul-betul di atas kepala anda, dan melalui pusat bumi ke angkasa sehingga ke titik pusat separuh kubah yang tidak kelihatan itu yang terletak di bawah bumi. Kedua-dua titik yang menandakan penghujung garisan ladung yang kita bayangkan tadi, ialah zenit dan nadir. Titik-titik ini ialah kutub bagi ufuk, dan setiap satunya berkedudukan 90° darjah dari ufuk tersebut. Lihat juga Zenit. | UMUM | |
ANTIPOD | Antipod ialah dua tempat yang betul-betul bertentangan kedudukannya antara satu dengan yang lain pada glob. Kata ini asalnya kata Yunani yang bermaksud kaki ke kaki . Dua orang yang berdiri di antipod akan bertemu tapak kaki masing- masing. Kawasan yang terletak di sekitar Australia dan New Zealand biasanya dikenal sebagai antipod. Orang Inggeris adalah yang mula-mula sekali menggunakan istilah antipod kerana kedua- dua negara itu terletak hampir bertentangan dengan England. | UMUM | |
RIZOM | Rizom ialah batang mendatar yang tumbuh di permukaan tanah atau betul-betul di bawah permukaan tanah. Rizom mengeluarkan daun dan bunga di atas permukaan tanah, dan akar kecil di bawah permukaan tanah. | UMUM | |
SFEROID | Sferoid ialah rajah padu yang menyerupai sfera tetapi bentuknya tidak betul-betul bulat. Bumi ialah sferoid oblat kerana lebarnya di sepanjang Garisan Khatulistiwa melebihi ukuran panjangnya dari Kutub Utara ke Kutub Selatan. Bola ragbi ialah sferoid lonjong kerana ukuran panjangnya melebihi ukuran lebarnya. | UMUM | |
ANTIJIRIM | Antijirim ialah jirim yang terdiri daripada zarah asas yang bertentangan dengan zarah biasa. Zarah yang bertentangan ini dinamakan antizarah . Sesuatu antizarah betul-betul sama sifatnya dengan zarah biasa kecuali casnya yang bertentangan. Contohnya, elektron ialah zarah biasa yang mempunyai cas elektrik negatif. Antizarahnya, iaitu positron, betul-betul sama dengannya kecuali positron mempunyai cas elektrik positif. Antizarah juga bergabung seperti zarah biasa. Contohnya, antineutron boleh bergabung dengan antiproton dan dengan itu membentuk antideuteron, iaitu nukleus atom antideuterium. | UMUM | |
TASIK ILMEN | Tasik Ilmen ialah tasik air tawar yang terletak di bahagian barat laut Rusia betul-betul di selatan Novgorod. Panjangnya kira-kira 42 kilometer dan lebarnya 34 kilometer. Sungai yang mengalir ke dalam tasik tersebut termasuklah Sungai Msta, Lovat’ dan Shelon’. Tasik Ilmen mengalir ke utara melalui Sungai Volkhov masuk ke Tasik Ladoga. Sungai Msta dan Volkhov dihubungkan oleh dua terusan yang merupakan sebahagian daripada jalan air yang menganjur dari Laut Baltik ke Laut Hitam. Untuk lokasi, lihat Rusia (peta rupa bumi). | UMUM | |
SINAR ULTRAUNGU | Sinar ultraungu ialah bentuk cahaya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, yang terletak betul-betul melepasi penghujung warna ungu kebiruan dalam spektrum cahaya tampak. Matahari ialah sumber semula jadi utama sinar ultraungu. Kilat, atau sebarang percikan elektrik yang lain di udara juga mengeluarkan sinar ultraungu. Sinar ini boleh dihasilkan secara tiruan dengan melalukan arus elektrik melalui satu gas atau wap seperti wap merkuri. Sinar ultraungu boleh menyebabkan selaran matahari. Pendedahan yang berlebihan terhadap sinar ini boleh menyebabkan kanser kulit. Sinar ultraungu juga memusnahkan organisma yang berbahaya dan mempunyai manfaat yang lain. | UMUM | |
MEXICALI | Mexicali (pend. 601 938) ialah ibu negeri dan salah sebuah bandar yang terbesar di negeri Baja California Norte di Mexico. Mexicali terletak betul-betul di seberang sempadan dari Calexico, California, A.S. Untuk lokasinya, lihat Mexico (peta politik). Nama kedua-dua buah kota ini merupakan gabungan perkataan Mexico dan California. | UMUM | |
PERSEKUTUAN NEGERI-NEGERI MICRONESIA | Persekutuan Negeri-negeri Micronesia ialah negara yang terletak di Lautan Pasifik Utara. Persekutuan Negeri-negeri Micronesia (Federated States of Micronesia [FSM]) terdiri daripada 607 buah pulau yang terletak betul-betul ke utara garisan Khatulistiwa dalam kumpulan Pulau Caroline. Jumlah keluasan hanya 702 kilometer persegi tetapi pulau itu berserakan dalam kawasan lautan seluas kira-kira 2.5 juta kilometer persegi. Amerika Syarikat mengambil alih kepulauan ini pada tahun 1945. Amerika Syarikat masih lagi bertanggungjawab terhadap pertahanannya walaupun FSM kini adalah sebuah negara merdeka. | UMUM | |
KOHLRABI | Kohlrabi ialah sayur yang batangnya besar dan ditanam untuk dimakan. Bahagian atas batangnya berbentuk seperti bebawang dan tumbuh betul-betul di atas tanah. | UMUM | |