ANTIPOD | Antipod ialah dua tempat yang betul-betul bertentangan kedudukannya antara satu dengan yang lain pada glob. Kata ini asalnya kata Yunani yang bermaksud kaki ke kaki . Dua orang yang berdiri di antipod akan bertemu tapak kaki masing- masing. Kawasan yang terletak di sekitar Australia dan New Zealand biasanya dikenal sebagai antipod. Orang Inggeris adalah yang mula-mula sekali menggunakan istilah antipod kerana kedua- dua negara itu terletak hampir bertentangan dengan England. | UMUM | |
PERSEKUTUAN NEGERI-NEGERI MICRONESIA | Persekutuan Negeri-negeri Micronesia ialah negara yang terletak di Lautan Pasifik Utara. Persekutuan Negeri-negeri Micronesia (Federated States of Micronesia [FSM]) terdiri daripada 607 buah pulau yang terletak betul-betul ke utara garisan Khatulistiwa dalam kumpulan Pulau Caroline. Jumlah keluasan hanya 702 kilometer persegi tetapi pulau itu berserakan dalam kawasan lautan seluas kira-kira 2.5 juta kilometer persegi. Amerika Syarikat mengambil alih kepulauan ini pada tahun 1945. Amerika Syarikat masih lagi bertanggungjawab terhadap pertahanannya walaupun FSM kini adalah sebuah negara merdeka. | UMUM | |
KELENJAR PROSTAT | Kelenjar prostat ialah organ sistem reproduksi lelaki. Kelenjar ini merembeskan bendalir kental yang keputih-putihan dalam tubuh. Semua mamalia jantan mempunyai bentuk kelenjar prostat yang serupa. Pada orang lelaki, kelenjar itu terletak betul-betul di bawah pundi air kencing dan bersetentangan dengan bahagian rektum. Beratnya lebih kurang 20 gram dan besarnya lebih kurang sebesar buah berangan. Prostat terdiri daripada tisu yang berotot dan berkelenjar, serta mempunyai permukaan yang bergentian lagi liat. | UMUM | |
ATHANASIUS, SAINT | Athanasius, Saint (295?–373) ialah ketua paderi Kristian yang utama pada zamannya. Dia seorang yang penting kerana banyak tulisannya yang mempertahankan agama Kristian ortodoks daripada bidasan penganut Aria. Aria ialah mazhab agama yang percaya bahawa Tuhan bapa sahajalah yang betul-betul tuhan. Athanasius juga memperkenalkan cara hidup komuniti agama Kristian Timur yang disebut sebagai kebiaraan kepada agama Kristian Barat. | UMUM | |
ATAVISME | Atavisme, yang juga disebut pengembalian , ialah kemunculan semula secara tiba-tiba sesuatu ciri pada haiwan atau tumbuhan. Sebelum ini, ciri itu hanya pernah terdapat pada nenek moyang kuno haiwan atau tumbuhan itu. Ciri itu muncul semula disebabkan gen (unit kewarisan) diasing-asingkan semula menjadi gabungan yang tidak wujud pada nenek moyang baru (lihat Gen ). Misalnya, beberapa jenis tikus putih dan tikus hitam mungkin membiak betul-betul menurut warna sebenarnya selama beberapa generasi. Tetapi, jika tikus itu dikacukkan, warna anaknya mungkin kembali kepada warna nenek moyangnya dan kelihatan berlainan daripada ibu bapanya. | UMUM | |
MIKROTOMI | Mikrotomi pada asalnya bermakna potongan mikroskopik. Tetapi kini, ia bermakna seni menyediakan objek untuk pemeriksaan melalui mikroskop. Tanpa persediaan, sebilangan kecil objek boleh diperiksa dengan betul melalui mikroskop (lihat Mikroskop). Sekeping logam, misalnya mesti digilap dengan baik dan digores sebelum strukturnya boleh dilihat. Batu-batan digergaji menjadi hirisan cukup nipis untuk dilihat melalui teknik mikrotomi. | UMUM | |
MOSELEY, HENRY GWYN-JEFFREYS | Moseley, Henry Gwyn-Jeffreys (1887–1915), ahli fizik yang terkenal dengan kajiannya tentang sinar-x. Pada sekitar tahun 1913, dia menemui hubungan yang sistematik antara spektrum sinar-x dan nombor atom bagi unsur yang memancarkan sinar-x tersebut. Penemuan ini membolehkan ahli sains menentukan nombor atom bagi elemen yang tidak diketahui dan menyusun unsur tersebut di tempat yang betul di dalam jadual berkala (lihat Unsur kimia). | UMUM | |
ANAI-ANAI | Anai-anai ialah nama biasa bagi kumpulan serangga yang hidup dalam komuniti seperti semut. Ia telah lama dikenali sebagai semut putih. Nama ini tidak betul kerana anai-anai hanya sama dengan semut dari segi tabiat hidup bersama dan saiznya yang kecil. Sebenarnya, anai-anai lebih rapat berkaitan dengan lipas dan belalang. Bahagian-bahagian mulut, sesungut, pinggang yang besar, sayap primitif dan ciri-ciri lainnya sama seperti yang ada pada lipas. Semut mempunyai pinggang yang kecil dan sesungut bersiku. | UMUM | |
SENI LIBERAL | Seni liberal ialah tabiat ilmiah tentang pemikiran dan pertuturan yang dianggap penting bagi manusia yang bebas. Dari segi sejarah, seni liberal termasuk dua kumpulan pengajian. Yang pertama ialah penggunaan bahasa (nahu) yang betul, berfikir dengan jelas (logik), dan menyatakan idea seseorang dengan meyakinkan (retorik). Kumpulan kedua termasuk pelbagai cabang matematik. Pada mulanya, cabang ini adalah aritmetik, geometri, astronomi dan harmoni. Daripada pengajian tradisional ini, lahir pula kumpulan sains semula jadi, sains sosial dan kemanusiaan. Kolej yang memberi tumpuan kepada pengajian ini biasanya dikenali sebagai kolej seni liberal. | UMUM | |
SURGERI POKOK | Surgeri pokok ialah penjagaan pokok, terutamanya dengan memangkas, memasang pendakap, menampal lubang dan membuang kayu reput. Surgeri pokok secara besar-besaran memerlukan ahli surgeri pokok yang pakar dalam kaedah berkenaan. Ahli surgeri pokok juga merawat luka dan cedera pada pokok. Mereka menyembur pokok dengan bahan kimia untuk melindunginya daripada serangga dan penyakit dan mereka memberikan baja dan lembapan yang betul untuk pokok. Banyak komuniti menggaji ahli surgeri pokok untuk merawat pokok di taman dan kawasan rekreasi. | UMUM | |