ROMPAKAN | Rompakan bermakna mencuri atau mengambil wang atau barang-barang dengan segera secara paksa atau ancaman. Rompakan merupakan satu jenayah yang serius dan boleh dikenakan hukuman penjara. | UMUM | |
KEMAGNETAN | Kemagnetan ialah daya yang dikenakan oleh arus elektrik kepada arus elektrik yang lain. Kemagnetan boleh dihasilkan oleh pergerakan elektron dalam atom bahan tertentu yang dinamakan magnet. Daya magnet juga boleh juga dihasilkan oleh arus elektrik biasa yang mengalir melalui gegelung dawai, yang dinamakan elektromagnet. Daya magnet boleh menyebabkan tarikan atau tolakan – iaitu, daya magnet boleh mendekatkan magnet ataupun memisahkannya. | UMUM | |
KEKUATAN BAHAN | Kekuatan bahan ialah istilah yang digunakan oleh jurutera untuk menerangkan jumlah daya yang dapat dirintang oleh bahan tertentu. Jurutera juga menggunakan istilah ini untuk menerangkan bentuk dan saiz bahan boleh berubah akibat tekanan yang dikenakan terhadapnya. Selain itu, kekuatan bahan ialah suatu cabang kejuruteraan yang membincangkan kajian tentang pelbagai daya dan sifat bahan yang membolehkannya merintang daya sedemikian. | UMUM | |
SANTAU | SANTAU, ramuan beracun yang dikenakan kepada manusia untuk tujuan membalas dendam, menuntut bela, hasad dengki, sakit hati atau rasa tidak puas hati. Istilah santau tidak digunakan secara menyeluruh di kalangan orang Melayu. Terdapat kepercayaan bahawa iblis dan syaitan boleh dilibatkan sama dalam mengenakan santau. Ayat al-Quran, doa dan jampi serapah pula digunakan untuk memulihkan seseorang yang terkena santau. Dasar santau adalah sebenarnya racun. Bezanya, racun menghasilkan keadaan kesakitan dengan cepat dan jelas kelihatan, manakala kesan santau tidak kelihatan dalam jangka waktu yang singkat tetapi padahnya berlarutan. Pengamal perubatan tradisional lazimnya tidak dapat membezakan antara santau dan racun, tetapi santau dikenali dengan corak racun yang digunakan. | BUDAYA | Konsep |
PERJANJIAN HAY-PAUNCEFOTE | Perjanjian Hay-Pauncefote membolehkan Amerika Syarikat membina Terusan Panama. Ia telah ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan Great Britain pada tahun 1901. Perjanjian tersebut memberi kuasa hanya kepada Amerika Syarikat untuk membina atau mengawasi kerja-kerja pembinaan terusan yang merentangi segenting di Amerika Tengah dan juga hak untuk menguruskannya. Semua negara dikenakan bayaran laluan yang adil dan sama dan menikmati hak yang sama rata sewaktu aman. Pada masa peperangan, Amerika Syarikat boleh menutup terusan itu kepada mana-mana negara. Great Britain mengakui bahawa Amerika Syarikat juga mempunyai kuasa untuk mengukuh dan mempertahankan terusan tersebut. | UMUM | |
UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH | UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH, peraturan-peraturan yang diaplikasi kepada penduduk peribumi Sabah, yakni mereka yang diberi status ‘anak negeri’. Peraturan ini berasal daripada adat atau amalan penduduk peribumi Sabah yang berkaitan dengan kepercayaan, kekeluargaan, pewarisan, kejiranan, hubungan seksual dan tatacara menimbangkan konflik. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa adat yang dipakai oleh pelbagai suku kaum yang terdapat di Sabah seperti suku kaum Dusun-Kadazan, Murut, Bajau, Melayu, Bugis, Orang Sungai dan lain-lain lagi boleh dikekalkan dan merupakan sebahagian daripada undang-undang negara sekiranya ia menepati syarat-syarat berikut. Pertama, adat tersebut tidak boleh direka tetapi mempunyai sejarah turun-temurun. Kedua, adat tersebut masih dihayati oleh suku kaum berkenaan. Ketiga, adat itu mestilah diamalkan secara berterusan, yakni tidak pernah terputus daripada satu keturunan kepada satu keturunan, dan keempat, adat itu mestilah boleh dikuatkuasakan dalam erti kata bahawa ia jelas dari segi hukuman yang akan dikenakan terhadap pesalah. | BUDAYA | Konsep |