Teller, Edward (1908–2003) ialah ahli sains atom Amerika yang terkemuka, yang sering dikenali sebagai bapa bom hidrogen. Usahanya dalam bidang fizik nuklear telah membawa kepada pembuatan bom-H pada tahun 1952. Teller lahir pada 15 Januari 1908 di Budapest, Hungary. Dia menerima ijazah kedoktoran dalam bidang fizik dari University of Leipzig, Jerman, pada tahun 1932. Dia menyertai projek bom atom masa perang di Amerika Syarikat pada tahun 1941. Dia bekerja dengan Makmal Kebangsaan Los Alamos (New Mexico) sehingga tahun 1952. Kemudian dia menyertai Lawrence Livermore Laboratory, iaitu pusat penyelidikan di Livermore, California, yang khusus untuk mereka bentuk senjata nuklear. Teller juga bertugas sebagai profesor fizik di University of California dari tahun 1953 hingga tahun 1975. Dia adalah pengarah makmal Livermore dari tahun 1958 hingga tahun 1960 dan pengarah bersekutu dari tahun 1972 hingga tahun 1975. |