SPOCK, BENJAMIN MCLANE | Spock, Benjamin McLane (1903–1998), doktor Amerika, menjadi masyhur kerana bukunya tentang penjagaan kanak-kanak. Bukunya yang paling terkenal Common Sense Book of Baby and Child Care (1946) telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 25 bahasa. Untuk edisi kemudiannya, tajuk buku ini dipendekkan kepada Baby and Child Care. Bukunya yang lain termasuk Feeding Your Baby and Child (1955), Baby’s First Year (1955), Dr. Spock Talks with Mothers (1961), Problems of Parents (1962), dan Caring for Your Disabled Child (1965). | UMUM | |
MORISON, SAMUEL ELIOT | Morison, Samuel Eliot (1887–1976) ialah ahli sejarah Amerika, guru sejarah, dan pemenang dua Hadiah Pulitzer. Bukunya Admiral of the Ocean Sea, tentang riwayat hidup Columbus, memenangi hadiah tersebut pada tahun 1943, dan bukunya John Paul Jones menerima hadiah pada tahun 1960. Buku-bukunya yang lain termasuklah History of United States Naval Operations in World War II yang ditulis dalam 15 jilid (1947– 1962), The Intellectual Life of Colonial New England (1960), One Boy’s Boston (1962), The Oxford History of the American People (1965), The European Discovery of America: The Northern Voyages (1971) dan The European Discovery of America: The Southern Voyages (1974). | UMUM | |
SACKVILLE-WEST, VICTORIA MARY | Sackville-West, Victoria Mary (1892–1962) ialah penulis wanita Inggeris. Bukunya menggambarkan latar belakang keluarganya, daripada golongan bangsawan luar bandar. Dia sering dikenali sebagai Vita Sackville-West. Novelnya yang terkenal, The Edwardians (1930), menyelidik kehidupan kelas atasan orang Inggeris semasa pemerintahan Edward VII pada awal tahun 1900-an. Dengan berlatarbelakangkan kawasan luar bandar, buku tersebut cuba menggambarkan aspek sosial dan emosi pada masa tersebut. Dia juga menulis tentang kehidupan luar bandar dalam novel All Passion Spent (1931) dan The Dark Island (1934); dalam buku bukanfiksyen Country Notes (1939), English Country Houses (1941) dan In Your Garden (1951); dan dalam banyak puisi. Buku puisinya yang terkenal ialah The Land (1929). | UMUM | |
ADAMSON, JOY | Adamson, Joy (1910–1980), pengarah dan pelukis, yang menjadi termasyhur kerana bukunya Born Free: A Lioness of Two Worlds (1960). Buku ini menceritakan bagaimana Adamson dan suaminya memelihara Elsa, anak singa yatim piatu, semasa mereka tinggal dan bertugas di Kenya, Afrika Timur. Pasangan Adamsons melatih Elsa memburu haiwan-haiwan lain untuk makanan supaya ia akhirnya dapat mencari makan sendiri dalam hutan. | UMUM | |
AYER, SIR ALFRED JULES | Ayer, Sir Alfred Jules (1910 –1989), ahli falsafah British, memprolehi reputasi awal kerana bukunya Language, Truth and Logic (1936). Buku ini memperkenalkan falsafah yang dikenali sebagai positivisme logik dan doktrin bahawa pesoalan dalam metafizik adalah tanpa makna. Karya-karya falsafahnya yang terkemudian termasuk The Foundations of Empirical Knowledge (1940) dan The Problem of Knowledge (1956). Ayer lahir di London dan mendapat pendidikan di Eton College serta Oxford University. Dia menjadi profesor di London University pada tahun 1946, dan memegang jawatan Profesor Wykeham Professor of Logic di Oxford University pada tahun 1959 hingga 1978. | UMUM | |
ATWOOD, MARGARET | Atwood, Margaret (1939– ), penyair, penulis novel dan pengkritik Kanada. Atwood mula dikenali melalui bukunya The Circle Game (1966). Buku sajaknya yang lain termasuk The Journals of Susanna Moodie (1970), sebuah biografi mengenai seorang penulis Kanada; Power Politics (1971), sebuah kajian mengenai had-had antara hubungan lelaki dengan perempuan; dan Two-Headed Poem (1978), yang mengandungi sajak-sajak mengenai seorang ibu dan anaknya. Buku Selected Poems diterbitkan pada tahun 1978 dan Selected Poems II pada tahun 1986. | UMUM | |
NOSTRADAMUS | Nostradamus (1503–1566) ialah nama Latin bagi Michel de Notredame, ahli astrologi dan doktor Perancis. Kemasyhurannya kerana bukunya Centuries (1555), satu siri ramalan dalam bentuk puisi. Kemasyhuran Nostradamus berkekalan pada tahun 1559 apabila Raja Henry II dari Perancis meninggal dunia sebagaimana yang diramal dalam Centuries. | UMUM | |
ALCOTT, LOUISA MAY | Alcott, Louisa May (1832–1888) merupakan penulis Amerika yang terkenal dengan novel kanak-kanaknya. Bukunya yang terkenal, Little Women (1868–1869) menceritakan empat orang adik beradik perempuan yang membesar di sebuah bandar kecil di New England pada pertengahan tahun 1800-an. Di samping menulis, Alcott berusaha mendapatkan hak mengundi untuk wanita dan aktif dalam pergerakan antiminum arak. | UMUM | |
PEVSNER, SIR NIKOLAUS | Pevsner, Sir Nikolaus (1902–1983) ialah pengarang dan sarjana keturunan Jerman. Dia menjadi terkenal dengan siri bukunya, The Buildings of England yang diterbitkan antara tahun 1951 hingga tahun 1974. Terbitannya yang lain termasuk The Sources of Modern Architecture and Design (1968). | UMUM | |
NAMIER, SIR LEWIS | Namier, Sir Lewis (1888–1960) merupakan salah seorang ahli sejarah yang paling berpengaruh pada zamannya. Bukunya, The Structure of Politics at the Accession of George 111 (1929), menunjukkan pengetahuannya yang mendalam tentang sejarah politik British pada zaman pemerintahan George. Hasilnya yang penting tentang sejarah zaman George juga termasuklah Crossroads of Power (1982), iaitu himpunan 20 hasil ceramahnya. Hasil karyanya yang lain termasuk In the Margin of History (1939), Conflicts (1942), Avenues of History (1952), In the Nazi Era (1952), Personalities and Powers (1955), dan Vanished Supremacies (1958). Namier lahir di Rusia. Dia menuntut di Oxford University. | UMUM | |