MATA JALAN | Mata jalan ialah stad jalan yang memantulkan cahaya. Mata jalan diletakkan berderet di sepanjang jalan utama. | UMUM | |
TUN FATIMAH | TUN FATIMAH ( ? - ?), raja perempuan Melaka. Dia ialah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Dia digambarkan sebagai gadis yang sangat cantik. Mengikut Sejarah Melayu, kecantikan Tun Fatimah seperti “... laut madu, bercahaya-cahaya, berkilat, seperti bulan purnama ketika cuaca”. Tun Fatimah berkahwin dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja Tun Tahir. Sultan Mahmud yang berangkat menghadiri majlis perkahwinan Tun Fatimah jatuh hati kepadanya dan mendendami Bendahara Tun Mutahir kerana tidak memberitahu baginda yang dia mempunyai anak perempuan yang cantik. Hasil perkahwinan tersebut, Tun Fatimah dikurniakan cahaya mata dan diberi nama Tun Terang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TIUB FOTOPENDARAB | Tiub fotopendarab ialah suatu pengesan cahaya elektronik yang amat sensitif. Kebanyakan tiub fotopendarab lebih sensitif kepada cahaya berbanding mata manusia, dan digunakan untuk mengukur keamatan cahaya yang terlalu lemah. Misalnya, ahli fizik menggunakannya dalam pembilang kelipan untuk menyukat cahaya yang dikeluarkan oleh sinar kosmik, zarah nuklear, sinar gama, atau sinar-x. Lihat Sinaran [Pembilang kelipan]. | UMUM | |
MATA ELEKTRIK | Mata elektrik, juga dikenali sebagai fotosel, ialah alat elektronik yang sama ada menghasilkan arus atau mengalirkan arus apabila cahaya menyinarinya. | UMUM | |
SINAR ULTRAUNGU | Sinar ultraungu ialah bentuk cahaya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, yang terletak betul-betul melepasi penghujung warna ungu kebiruan dalam spektrum cahaya tampak. Matahari ialah sumber semula jadi utama sinar ultraungu. Kilat, atau sebarang percikan elektrik yang lain di udara juga mengeluarkan sinar ultraungu. Sinar ini boleh dihasilkan secara tiruan dengan melalukan arus elektrik melalui satu gas atau wap seperti wap merkuri. Sinar ultraungu boleh menyebabkan selaran matahari. Pendedahan yang berlebihan terhadap sinar ini boleh menyebabkan kanser kulit. Sinar ultraungu juga memusnahkan organisma yang berbahaya dan mempunyai manfaat yang lain. | UMUM | |
SINAR INFRAMERAH | Sinar inframerah, sering dinamakan sinar haba, menyerupai sinar cahaya, tetapi ia tidak dapat dilihat oleh mata kita. Sinar ini adalah suatu bentuk sinaran elektromagnet dan berkelakuan seperti sinar cahaya dari segi pemantulan dan pembiasan (lihat Cahaya [Pemantulan; Pembiasan]). | UMUM | |
AURORA | Aurora ialah pancaran cahaya semula jadi di langit yang hanya boleh dilihat oleh mata kasar pada waktu malam. Aurora di Hemisfera Utara dikenali sebagai aurora borealis , atau cahaya utara . Aurora di Hemisfera Selatan dikenali sebagai aurora australis . Aurora ialah kesan paling nyata daripada aktiviti matahari pada atmosfera bumi. | UMUM | |
SILAU SALJI | Silau salji ialah kekurangan tahap penglihatan sementara akibat cahaya matahari yang terang yang terpantul dari salji. Penyembuhan dalam tempoh 24 jam adalah biasa. Kadangkala seseorang itu menghadapi masalah membezakan warna selepas silau salji, dan melihat semua benda berwarna merah bagi tempoh yang lama. Dalam kebanyakan kes, silau salji akan hilang apabila seseorang itu merehatkan mata dan tidak keluar rumah. Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang jarang-jarang berlaku, pendedahan yang berpanjangan kepada cahaya terpantul boleh mengakibatkan retinopati suria iaitu gangguan yang mungkin boleh menyebabkan sesetengah hilang penglihatan yang kekal. Memakai cermin mata hitam atau gogal gelap dapat menghalang silau salji. | UMUM | |
TANGLUNG LABU | Tanglung labu ialah nama yang biasa diberikan kepada labu kosong yang mata, hidung, dan mulutnya diukir di satu sisi sahaja. Tanglung labu biasanya dibuat pada 31 Oktober iaitu hari Halloween. Lilin atau lampu diletakkan di dalam labu ini, dan cahaya yang bersinar membentuk objek yang seram melalui bentuk yang telah diukir. Istilah ini juga merujuk kepada cahaya seram yang kerap bersinar dari tunggul atau balak yang reput di tanah berpaya. Api St. Elmo kadang-kadang dikenal sebagai tanglung labu. Lihat juga Api Saint Elmo; Hallowen. | UMUM | |
MIOPIA | Miopia juga dikenali sebagai rabun jauh ialah kecacatan penglihatan yang menyebabkan penglihatan objek jauh yang kabur. Biasanya penglihatan objek dekat masih jelas, kecuali untuk kes-kes miopia yang keterlaluan. Bagi pembentukan imej, sinaran cahaya yang dipantulkan atau dipancarkan oleh sesuatu objek mesti bertemu di retina. Retina ialah tisu peka cahaya yang terdapat di belakang dan di sisi biji mata. Bagi kebanyakan orang yang miopia, biji mata lebih panjang daripada normal dari hadapan ke belakang. Akibatnya, sinaran cahaya dari objek yang jauh bertemu di depan retina. Apabila sinaran mengenai retina, imej yang terbentuk adalah kabur. | UMUM | |