DAKWAT | Dakwat ialah cecair, serbuk atau perekat berwarna yang digunakan untuk menulis, melukis atau mencetak. Terdapat beribu-ribu jenis dakwat, sebahagiannya digunakan untuk mencetak akhbar dan majalah atau untuk menulis dengan menggunakan pen mata bulat dan pena. | UMUM | |
DAKWAT LIMUNAN | Dakwat limunan ialah sejenis cecair yang digunakan untuk tujuan komunikasi sulit. Tulisan limunan dibentuk dengan menggunakan haba atau bahan kimia. Susu, dadih susu, larutan gula, atau sebarang jus sayur-sayuran yang tidak berwarna boleh dijadikan dakwat limunan. Cecair-cecair ini berwarna coklat apabila didedahkan kepada haba yang sederhana kuatnya agar tidak merosakkan kertas. | UMUM | |
SESSHU | Sesshu (1419–1506), sami Buddha, yang merupakan pelukis landskap Jepun yang paling masyhur dalam tradisi lukisan dakwat Cina. Gaya lukisannya mudah dikenali melalui gubahan yang begitu menonjol, lukisan yang begitu berpengaruh dengan mengetepikan unsur permodelan yang halus. Mahakaryanya ialah satu gulungan panjang lukisan yang menggambarkan pemandangan sungai di China. Sesshu mempelajari seni lukis dengan mengkaji karya pakar lukisan dakwat Cina tahun 1200-an. | UMUM | |
OFSET | Ofset ialah proses percetakan apabila percetakan mula-mula dilakukan di atas permukaan getah silinder yang berputar. Teraan itu kemudian dipindahkan ke kertas dengan tekanan silinder yang lain. Istilah ofset menjelaskan pindahan itu, atau pengofsetan dakwat dari satu plat cetakan kepada getah dan kemudian kepada kertas. | UMUM | |
MA YUAN | Ma Yuan ialah pelukis yang terkenal daripada ahli keluarga pelukis Cina yang dihormati. Bersama-sama rakan pelukisnya, Xia Gui (juga dieja dengan Hsia Kuei), Ma Yuan telah menghasilkan sebahagian daripada lukisan landskap dengan menggunakan dakwat terkenal pada awal tahun 1200-an pada Zaman Song (Sung) Selatan di China. | UMUM | |
MINYAK LINSID | Minyak linsid diperoleh daripada biji flaks. Ia adalah sejenis minyak pengering – iaitu, ia menyerap oksigen dari udara untuk membentuk satu lapisan teguh yang tahan pecah, serpih, dan tahan perubahan cuaca. Minyak linsid digunakan terutamanya dalam dakwat percetakan, cat, varnis, linoleum, dan lain-lain keluaran perindustrian. Di samping itu, ia kadangkala digunakan sebagai rawatan pelindung bagi konkrit. | UMUM | |
SYELEK | Syelek ialah cecair yang terbentuk daripada kepingan resin yang dilarutkan dalam alkohol. Ia digunakan sebagai varnis. Kepingan ini adalah bentuk kering suatu bahan melekit yang dinamakan resin lak (lihat Lak). Apabila syelek disapu pada sesuatu permukaan, alkohol dalam larutannya menyejat, meninggalkan kemasan yang berkilat. Kepingan resin syelek berwarna kuning, jingga, atau kemerahan, tetapi boleh dilunturkan menjadi putih. Syelek juga digunakan dalam pembuatan gula-gula, ubat, dakwat percetakan, dalam bahan penebat, dan sebagai pengeras. Lihat juga Lakuer; Resin; Varnis. | UMUM | |
SUMAC | Sumac ialah nama bagi sekumpulan pokok kecil dan pokok renek dalam famili gajus. Sesetengah jenis sumac adalah beracun, tetapi jenis-jenis lain tidak beracun dan mempunyai kegunaan komersial. Contohnya, sesetengah spesies di timur Asia, seperti sumac Cina, adalah sumber penting lakuer dan lilin semula jadi. Pokok asap biasa di selatan Eropah dan Asia membekalkan tanin, iaitu bahan yang digunakan dalam menyamak dan mencelup. Puru (ketumbuhan) sumac potanin Cina digunakan untuk membuat dakwat. | UMUM | |