KELENJAR PARATIROID | Kelenjar paratiroid terdiri daripada empat kelenjar kecil yang berfungsi sebagai satu kelenjar. Kelenjar-kelenjar ini terletak di depan leher dekat kelenjar tiroid. Kelenjar paratiroid merembes hormon paratiroid (PTH), yang juga dinamakan parathormon , ke dalam darah. PTH membantu mengawal amaun kalsium dan fosfat dalam badan. Mineral ini diperlukan untuk beberapa proses badan yang penting, termasuk pertumbuhan tulang dan otot, dan fungsi saraf. | UMUM | |
KELENJAR TIROID | Kelenjar tiroid ialah kelenjar endokrin (pengeluaran hormon) yang terletak di depan leher. Ia mempunyai dua lobus (bahagian) di setiap sisi trakea (salur udara). Kedua-dua lobus ini disambungkan oleh satu jalur nipis tisu. Rangkaian pembuluh darah menyelaputi kelenjar ini. Tiroid mengambil iodin dari darah dan menggunakannya untuk membuat hormon aktif, tiroksina yang juga dikenali sebagai tetraiodotironina dan triiodotironina . Hormon tiroid tidak aktif tersimpan di dalam lobus dalam ruang yang dikenali sebagai folikel . | UMUM | |
PUNCA KUASA TIGA | Punca kuasa tiga ialah salah satu daripada tiga faktor yang sama bagi sesuatu nombor (lihat Faktor ). Nombor yang sama (m) diambil sebagai faktor tiga kali akan menjadi punca kuasa tiga nombor yang lain (n). Oleh itu, m X m X m = n. Contohnya punca kuasa tiga bagi 2 ialah 8, kerana 2 X 2 X 2 = 8 dan punca kuasa tiga bagi –5 ialah –125, kerana –5 X –5 X –5 = –125. Nombor nyata hanya mempunyai satu punca kuasa tiga nyata, iaitu nombor positif atau nombor negatif, bergantung pada sama ada nombor yang diberikan itu positif atau negatif. Simbol lain diletakkan di depan sesuatu nombor untuk menandakan bahawa puncanya hendaklah dicari , atau ditentukan. Simbol ini dituliskan √, dan dikenali sebagai tanda punca atau tanda radikal . Jika punca yang hendak dicari itu ialah punca kuasa tiga, maka angka kecil 3 hendaklah diletakkan di atas tanda punca tadi. Jadi 3 √8 menandakan bahawa punca kuasa tiga bagi 8 hendaklah ditentukan. | UMUM | |
SELVON, SAMUEL | Selvon, Samuel (1923– ) ialah penulis Caribbean yang menjadi terkenal kerana menghasilkan gambaran tragikomik tentang golongan miskin dan terbuang di Trinidad dan United Kingdom. Karyanya menerokai kehidupan mereka yang meninggalkan Caribbean untuk masa depan yang lebih cerah di United Kingdom, tetapi mereka hanya menghadapi prejudis, pemulauan, dan eksploitasi. | UMUM | |
ASTROLOGI | Astrologi ialah kajian bagaimana matahari, bulan, planet dan bintang kononnya berkaitan dengan kehidupan dan kejadian di bumi. Ia berdasarkan kepercayaan bahawa cakerawala membentuk pola yang boleh menggambarkan watak atau masa depan seseorang. Kebanyakan orang di seluruh dunia percaya pada astrologi. Mereka mendasarkan keputusan penting atas nasihat ahli astrologi (orang yang menilik nasib dengan mengkaji bintang). Orang lain mengatakan bahawa astrologi tidak mempunyai asas saintifik. Astrologi berbeza daripada astronomi. Astrologi berkembang daripada satu set prinsip yang berasal lebih 2000 tahun dahulu. | UMUM | |
MOHOR BESAR | Mohor Besar, di United Kingdom, digunakan untuk menandakan pengesahan raja terhadap kebanyakan dokumen negara. Setiap raja memiliki Mohor Besar khas, sebagai tambahan kepada mohor privi dan meterai. Mohor diraja yang pertama ialah Mohor Edward the Confessor. Mohor William Si Penakluk menggambarkan raja menunggang kuda dan bersenjata. Selepas penaklukan England, dia menambah sebuah ‘mohor balas’ dengan gambar penabalannya. Kemudian, gambar raja ditabal menjadi bahagian depan mohor dan raja di atas kuda di bahagian belakang. Lord chancellor ialah penyimpan Mohor Besar. Apabila seseorang raja meninggal dunia, mohor itu dipecahkan, dan dibuat yang baru. | UMUM | |
KUPU-KUPU LANG | Kupu-kupu lang ialah anggota famili kupu-kupu besar di seluruh dunia yang berwarna terang yang juga dikenali sebagai kupu-kupu sfinks. Kupu-kupu ini mempunyai badan yang kuat, bergaris arus; kepak depan yang langsing dan kepak belakang yang kecil. | UMUM | |
KELAWAR PENGHISAP DARAH | Kelawar penghisap darah ialah nama beberapa jenis kelawar. Nama ini diberi terutamanya kepada kelawar tertentu di Amerika Tengah dan bahagian tropika Amerika yang menyerang kuda, lembu, unggas dan lain-lain haiwan berdarah panas, dan menghisap darah mangsanya. Yang paling terkenal ialah kelawar penghisap darah biasa , iaitu haiwan kecil berwarna perang kemerah-merahan kira-kira lapan sentimeter panjangnya. Gigi depan kelawar ini berbentuk segi tiga dan sangat tajam, yang memotong seperti pisau cukur. Esofogusnya pendek dan sempit dan tidak membolehkan apa pun lalu kecuali bendalir. | UMUM | |
PINGGUL | Pinggul ialah bahagian badan di antara badan dengan paha. Sendi pinggul dibentuk oleh tulang pinggul (yang terdiri daripada tiga tulang yang bercantum iaitu ilium, iskium dan pubis ) dan pangkal femur (tulang paha). Pangkal femur dipadankan dengan asetabulum, iaitu rongga pada tulang pinggul. Susunan ini membentuk sendi bebola dan rongga yang memberikan kekuatan dan membolehkan pelbagai pergerakan dalam semua arah. Beberapa otot yang kuat mengelilingi sendi ini, termasuk gluteus maksimus yang besar, bulat di belakang; gluteus medius di sisi; dan rektus femoris yang panjang bak pengikat di depan. Otot-otot ini menegakkan sendi supaya seseorang boleh berdiri. Ia juga menggerakkan kaki untuk berjalan dan berlari. | UMUM | |
MOTOSIKAL | Motosikal, juga dikenali sebagai motor ialah kenderaan yang beroda dua atau tiga, berkuasa enjin petrol yang dipasang di bahagian tengah antara roda depan dan roda belakang. Motosikal mempunyai rangka yang lebih berat dan kuat daripada basikal iaitu kenderaan yang menjadi asas penciptaannya. Manusia di merata pelosok dunia menggunakan motosikal sebagai pengangkutan atau menunggangnya sebagai aktiviti sukan dan rekreasi. Di seluruh dunia, polis menggunakan motosikal dalam usaha mengejar dan mengawal trafik kerana kenderaan tersebut boleh dikendalikan dengan mudah di celah-celah lalu lintas. Di Amerika Syarikat, sesetengah pasukan bomba menggunakan motosikal untuk membawa kakitangan perubatan ke tempat kemalangan. Di bandar-bandar besar di United Kingdom dan di tempat-tempat lain, motosikal digunakan untuk menghantar dokumen dan bungkusan kecil. | UMUM | |