DAMPIER, WILLIAM | Dampier, William (1651–1715) ialah orang Inggeris pertama yang memberi gambaran bertulis tentang tanah besar Australia, haiwan dan tumbuhan, serta Orang Asli Australia yang hidup di sana. Dia telah tiga kali belayar mengelilingi dunia. | UMUM | |
PHAËTHON | Phaëthon dalam mitologi Yunani, ialah putera Helios dewa matahari, dan Clymene, dewi laut. Untuk mengetahui sama ada Helios adalah bapanya yang sebenar, Phaëthon mengembara ke istana dewa matahari di timur. Di sana, untuk menenangkan Phaëthon, Helios berjanji akan menunaikan sebarang permintaannya. Phaëthon, secara terburu-buru, meminta untuk memandu rata matahari merentasi langit untuk satu hari. Helios, dengan hati yang berat, membenarkannya, tetapi Phaëthon, sebagai makhluk biasa, tidak berupaya mengawal kuda berapi yang menarik rata tersebut. | UMUM | |
OKAPI | Okapi ialah haiwan nadir yang hidup di hutan tebal di sekitar lembangan Sungai Congo di Afrika. Ia ditemui di sana oleh penjelajah Eropah pada tahun 1900. Okapi tingginya kira-kira 1.5 meter pada paras bahu. Ia berkaitan dengan zirafah, tetapi lehernya jauh lebih pendek. Badan okapi berwarna perang berangan tua, mukanya putih, pinggul dan kaki atasnya berbelang-belang putih. Okapi jantan mempunyai sepasang tanduk yang pendek dan berbulu. | UMUM | |
ORANG ASLI AMERIKA | Orang Asli Amerika. Orang yang kini dikenali sebagai Orang Asli atau Peribumi Amerika ialah orang yang mula-mula tinggal di Amerika Utara dan Amerika Selatan. Mereka sudah tinggal di sana selama beribu-ribu tahun sebelum orang Eropah sampai. | UMUM | |
SANTAYANA, GEORGE | Santayana, George (1863–1952) ialah ahli falsafah dan pengarang. Dia lahir di Sepanyol tetapi membesar di Amerika Syarikat dan menghabiskan kira-kira sebahagian umurnya di sana. Dia melahirkan falsafahnya dalam karya bersifat teknikal dan juga dalam dialog, esei kesusasteraan, sonet, dan novel, The Last Puritan (1936). | UMUM | |
‘ABD AL-RAHMAN AL-DAKHIL | ‘Abd al-Rahman al-Dakhil (113 H.-172 H./731M.- 788M.) terkenal dengan gelaran saor quraysh; dan dikenali pula dengan al-Dakhil kerana kemasukannya ke Andalus dan seterusnya mengasaskan Kerajaan Umayyah di sana. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Rahman ibn Mu’awiyah ibn Hisham ibn ‘Abd al-Malik ibn Marwan. Dia lahir di Damsyik dan membesar dalam keadaan yatim. Dia telah berjaya melepaskan diri daripada ancaman golongan Abbasiyyah sewaktu mereka merampas kuasa Kerajaan Umayyah di Syam. Kebanyakan orang Umawiyyah telah dibunuh. ‘Abd al-Rahman bersembunyi dan berjaya menyusup keluar hinggalah dia tiba di Maghribi. Di sana, dia bertemu pula dengan hambanya Badar dan mendapat biaya sara hidup daripada saudara perempuannya Ummu al-Isba. Dia menumpang di rumah bapa saudaranya daripada Kabilah Tafzawah yang berbangsa Tartar. Ibunya berasal dari suku kaum ini. Di sini dia telah menghubungi golongan Umawiyyah di Andalus dengan menghantar Badar sebagai utusannya. Lantas dikirimkan satu pasukan yang terdiri daripada para pembesar Umawiyyah dan mereka memberi sumpah setia kepada ‘Abd al- Rahman. | UMUM | |
AVEBURY | Avebury, sebuah kampung di tengah-tengah Wiltshire, terkenal sebagai tapak beberapa struktur prasejarah paling lama di England. Kampung ini terletak di Sungai Kennet, 11 kilometer ke barat Marlborough. Di sana tersergam sebuah bulatan tanah besar yang membentuk sebahagian daripada kubu Zaman Besi. Avebury mempunyai batu-batan dalam bentuk bulatan kira-kira 305 meter lebar. Kebanyakan batunya kira-kira dua meter tinggi, tetapi ada yang setinggi enam meter. Bukit Silbury yang terletak berhampiran adalah tumulus (anak bukit tiruan) yang terbesar di Eropah. | UMUM | |
ANEMIA | Anemia ialah keadaan jumlah sel darah merah yang sihat berkurangan di bawah paras normal. Sel darah merah mengambil oksigen di dalam paru-paru dan membawanya ke tisu-tisu di seluruh badan. Di sana, oksigen digabungkan dengan makanan untuk mengeluarkan tenaga. Dalam diri orang yang mengalami anemia, darah tidak dapat membekalkan tisu dengan oksigen yang mencukupi. Maka orang itu berasa lemah atau letih. Simptom lain ialah pening, sakit kepala, kulit pucat atau sejuk, degupan jantung yang deras, dan kesukaran bernafas. | UMUM | |
ABU AL-FARAJ, AL-ASFAHANIY, | Abu al-Faraj, al-Asfahaniy (284 H.–356 H./ 897 M.– 966 M.), tokoh sastera yang terkenal pada abad ketiga Hijrah dan berasal daripada keluarga Umawiyyah. Nama penuhnya ialah Abu al-Faraj Aliy ibn al-Husayn ibn Muhammad ibn Ahmad al- Asfahaniy. Dia lahir di Isfahan dan kemudian berpindah ke Baghdad untuk menetap di sana. Di Baghdad, Abu al-Faraj berguru dengan para alim ulama dalam bidang bahasa dan periwayatan seperti Abu Bakar ibn Darid, Abu Bakar ibn al- Anbariy, al-Fadl ibn al-Hibab al-Jumhiy, ‘Ali ibn Sulayman al-Akhfashiy, Naftawayh, Muhammad ibn Jarir al-Tabariy, Ahmad ibn Ja‘far, Jahzah dan beberapa orang perawi lagi. Abu al-Faraj mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk syair, lagu, cerita-cerita rakyat, hadith sahih, ilmu keturunan, bahasa, nahu, ilmu tentang amalan khurafat, ilmu peperangan dan sejarah. Dia juga menguasai ilmu yang berkaitan dengan deria dan cara perubatannya, ilmu kedoktoran, astronomi dan farmasi. Oleh sebab kemampuannya menguasai pelbagai bidang ilmu ini, dia layak digelar sebagai seorang pakar, fasilitator, ahli sejarah dan hafiz. | UMUM | |
SHIRAZIY, ABU ISHAQ AL- | Shiraziy, Abu Ishaq al- (393–476 H. / 1003–1084M.), ahli fiqh, sejarawan dan juga sasterawan. Nama penuhnya ialah Ibrahim ibn ‘Ali ibn Yusuf al- Shiraziy al-Shafi’iyy Abu Ishaq. Dia lahir di Fayruz Abad dan menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sana. Kemudian dia berhijrah ke Shiraz dan Basrah serta Baghdad. Dia berguru daripada ulama-ulama terkenal di sana seperti Abu ‘Abdullah al-Baydawiy, Abu Hatim al-Qazwiniy, al-Zujjaj, Abu Bakr al-Barqaniy dan Abu al-Tayyib al-Tabariy. Walau bagaimanapun berlaku sedikit perselisihan antaranya dengan al-Tabariy dalam pengajiannya. Ramai tokoh yang berguru padanya. Antaranya ialah Abu ‘Abdullah al-Hamidiy, Abu al-Qasim al- Samarqandiy dan Abu al-Hasan ibn ‘Abd al-Salam dan ramai lagi. Al-Shiraziy sendiri pernah berkata: “Semasa saya pergi ke Khurasan, di sana saya tidak temui walau seorang kadi, mufti mahupun khatib melainkan semuanya terdiri daripada murid-murid dan sahabat saya”. Al-Shiraziy mengarang beberapa buah buku yang menjadi bahan rujukan dalam mazhab Syafi’i. Antaranya seperti al-Tabsirat fi Usul al-Fiqh, al-Lam ’ fi Usul al-Fiqh’ al- Nakt fi al- Khilaf wa al-Tanbih’ al-Muhadhdhib Tabaqat al- Fuqaha’. Al-Shiraziy meninggal dunia di Baghdad. | UMUM | |