MUHARAM | Muharam, bulan yang pertama mengikut kalendar Hijrah. Ia dinamakan Muharam kira-kira pada tahun 412 M., ketika zaman Kilab ibn Murrah, iaitu datuk kelima kepada Rasulullah s.a.w. Bulan ini dinamakan Muharam kerana pada bulan ini orang Arab diharamkan berperang dan membuat serbuan. Dikatakan juga, ia dinamakan Muharam kerana pada masa itu mereka saling berperang dan melakukan pembunuhan yang besar, lalu mereka mengharamkan pembunuhan. Oleh sebab itu, mereka menamakan bulan itu Muharam. | UMUM | |
ALBIGENS | Albigens ialah sekumpulan orang yang dinamakan sempena nama Albi, sebuah bandar di selatan Perancis. Mereka ialah sebahagian daripada taifah yang dinamakan Cathari , yang berkembang pesat di beberapa bahagian di Perancis, Jerman, dan Itali pada tahun 1100-an dan 1200-an. Kumpulan Albigens percaya bahawa prinsip kebaikan dan kejahatan terus bertentangan dengan satu sama lain di dunia. | UMUM | |
TERIPANG | Teripang ialah nama komersial bagi spesies tertentu haiwan laut yang telah dikeringkan yang dinamakan gamat atau timun laut (lihat Gamat ). Teripang juga dinamakan bêche-de-mer . Ia digunakan sebagai makanan di Timur Jauh. Gamat mempunyai badan yang lembut bak cacing. Panjangnya berbeza-beza dari beberapa sentimeter hingga kira-kira 60 sentimeter. Untuk menyediakan spesies yang boleh dimakan, bahagian dalam dibuang dan badannya direbus. Kemudian ia direndam dalam air segar dan disalai atau dijemur dalam panas matahari. Ia menghasilkan bahan bak getah yang digunakan untuk memekatkan dan memperasa sup. Pusat utama industri teripang ialah Ujung Pandang, sebuah pelabuhan di Sulawesi, Indonesia. California di Amerika Syarikat juga mempunyai industri teripang. | UMUM | |
SPEKTROSKOPI JISIM | Spektroskopi jisim, juga dinamakan spektrometri jisim ialah satu kaedah untuk memisahkan atom atau molekul yang diionkan, mengikut jisim (m) dan cas elektriknya (z). Ia melibatkan penggunaan alat yang dinamakan spektrometer jisim. Spektroskopi jisim merupakan satu cara yang berkesan untuk mengenal unsur, isotop dan molekul. Ia juga boleh digunakan untuk menentukan komposisi dan struktur kimia sesuatu bahan yang lebih kompleks. | UMUM | |
MESMER, FRANZ ANTON | Mesmer, Franz Anton (1734–1815) ialah doktor Austria yang merintis amalan hipnotisme. Dia mengembangkan teori yang dinamakan “kemagnetan haiwan” yang kemudiannya dinamakan pemukauan (mesmerisme). Mesmer percaya terdapat cecair misteri yang boleh menembusi semua tubuh. Cecair ini membolehkan seseorang itu mempunyai kuasa, iaitu pengaruh “magnetik” ke atas orang lain. | UMUM | |
SABTU | Sabtu , disebut Saeter-daeg oleh orang Anglo- Saxon, ialah hari ketujuh dalam satu minggu. Ia dinamakan bersempena nama dewa Rom Saturn, dan merupakan satu-satunya hari yang dinamakan mengikut nama dewa Rom purba. Sabtu ialah hari Sabat di kalangan orang Yahudi dan pengikut Seventh-day Adventists. Kebanyakan majikan memberikan pekerjanya cuti separuh hari atau cuti penuh pada hari Sabtu. Lihat juga Minggu. | UMUM | |
MINUMAN RINGAN | Minuman ringan ialah minuman tanpa alkohol, berperisa, yang disediakan dengan air bergas. Minuman ini dinamakan ringan untuk membezakannya daripada minuman keras (beralkohol). Minuman ringan juga dinamakan sebagai pop soda, soda, atau pop. Kola adalah minuman ringan yang paling banyak digunakan. Perisa lain termasuk lemon, limau nipis, oren, anggur, dan air halia. Minuman ringan popular di banyak negara di dunia. | UMUM | |
PALATINATE | Palatinate ialah nama dua buah negara kecil dalam Empayar Jerman lama. Salah sebuah dinamakan Palatinate Atas dan yang sebuah lagi dinamakan Palatinate Bawah atau Palatinate Rhenish. | UMUM | |
SAPSUCKER | Sapsucker adalah satu daripada sekumpulan burung dalam famili belatuk. Ia hanya tinggal di Amerika Utara. Burung ini dinamakan sapsucker kerana sebahagian daripada dietnya ialah sap daripada pokok. Ia memperoleh sap ini dengan membuat lubang kecil yang dinamakan perigi pada kulit pokok. Ia juga memakan serangga yang tertarik kepada sap, memakan semut dan buah liar. Sapsucker yang biasa didapati di timur Amerika Syarikat ialah sapsucker perut kuning . Burung jantannya mempunyai jambul dan leher berwarna merah marak (skarlet) dan bahagian atas berwarna hitam dengan tanda-tanda putih. Pada musim sejuk sapsucker terbang ke selatan sejauh Amerika Tengah. Ia bertelur dalam lubang di pokok. Burung betina bertelur tiga hingga tujuh biji telur berwarna putih bersih. Sapsucker dada merah barat tinggal di Pantai Pasifik. Burung dewasa kedua-dua jantina mempunyai jambul, leher dan dadanya, berwarna merah. Sapsucker mempunyai tabiat yang hampir sama dengan burung belatuk tetapi kadangkala ia merosakkan pokok. | UMUM | |
OHM, GEORG SIMON | Ohm, Georg Simon (1727–1854) ialah ahli fizik Jerman, yang pada tahun 1827 telah menemui hukum matematik arus elektrik yang dinamakan hukum Ohm (lihat Hukum Ohm ). Ohm, iaitu unit rintangan elektrik, dinamakan sempena namanya. Penemuannya telah diabaikan sehinggalah pada tahun 1833, apabila dia menjadi profesor fizik di Nuremberg. Dia telah dilantik sebagai profesor fizik di University of Munich pada tahun 1849. Ohm lahir di Erlangen, Jerman. Dia mendapat ijazah dari University of Erlangen. | UMUM | |