MENYADUR ANOD | Menyadur anod ialah sejenis elektrolisis yang digunakan untuk menyalut logam dengan lapisan pelindung oksida. Logam bertindak sebagai anod (kutub Positif) sel elektrolit. Ion oksida bercas negatif dialirkan menerusi larutan yang dinamakan elektrolit, dan mengoksidakan permukaan logam. Aluminium boleh disadur anod dalam larutan asid sulfurik. Magnesium sering disadur anod dalam larutan dikromat. | UMUM | |
PERAK NIKEL | Perak nikel ialah aloi kuprum, nikel dan zink. Aloi ini juga dinamakan perak Jerman kerana ia pertama kali dibuat di Hildburghausen, Jerman. Ia adalah logam berwarna kekuningan yang lebih keras daripada perak. Perak nikel mudah kusam, tetapi ia mudah digilap. Banyak barang perak yang digunakan hari ini dibuat daripada perak nikel yang disadur dengan perak sebenar. Ia kelihatan seperti perak asli apabila baru, tetapi sadurannya pudar setelah digunakan. | UMUM | |
CERITA PARA NABI | CERITA PARA NABI, hasil sastera Melayu klasik yang disadur daripada sastera Parsi dan Arab. Cerita ini adalah untuk menyebarluaskan ajaran Islam, meningkatkan keimanan, menyampaikan sifat peribadi yang mulia dan untuk memberi pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat Islam, supaya mereka dapat mengambil teladan daripada peristiwa yang menimpa golongan masyarakat yang mengingkari Allah dan sunah. | SASTERA | Konsep |
SI LUNCAI | SI LUNCAI, cerita rakyat yang digolongkan dalam cerita jenaka Melayu. Cerita ini disadur daripada hikayat Hindu tua, iaitu Jataka, Panca Tanderan dan Katha Sarit Sagara. Cerita Si Luncai telah diubahsuai sehingga menjadi sebahagian warisan tradisi setempat. Cerita ini telah sebati dengan masyarakat Melayu dan mereka menganggap watak Si Luncai sebagai manusia yang hidup di Alam Melayu. Struktur cerita Si Luncai yang menarik dan mudah membolehkannya diceritakan oleh sesiapa sahaja dalam bentuk pertuturan seharian. | SASTERA | Karya |
CERITA BERBINGKAI | CERITA BERBINGKAI, cerita yang mempunyai satu cerita pokok yang menjadi bingkai atau dasarnya, kemudian terdapat beberapa cerita sisipan sebagai bantuan. Cerita ini ialah hasil sastera asing yang diterjemah dan disadur ke dalam sastera Melayu. Cerita atau hikayat berbingkai ini sangat terkenal dalam kesusasteraan India, Parsi dan Arab. Mengikut R.O. Winstedt cerita tersebut telah timbul dan dikenal oleh bangsa Melayu sejak abad ke-16 lagi. Pada umumnya, cerita tersebut menggunakan bahasa Melayu yang baik. Cerita berbingkai yang terkenal dalam sastera Melayu ialah Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Bakhtiar, Hikayat Kalilah dan Daminah, Hikayat Panca Tanderan, Hikayat Seribu Satu Malam dan Hikayat Ghulam. | SASTERA | Konsep |
HUKUM KANUN BRUNEI | HUKUM KANUN BRUNEI, teks undang-undang tradisional Brunei. Undang-undang ini merupakan adunan antara hukum adat resam dengan hukum Islam yang bersumberkan al-Qu’ran dan hadis. Teks Hukum Kanun Brunei disadur atau disusun berdasarkan teks Undang-undang Melaka yang dihasilkan pada zaman kegemilangan Melaka pada akhir abad ke-15. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Karya |
KELULI TAHAN KARAT | Keluli tahan karat ialah nama kumpulan keluli aloi yang tahan terhadap pengaratan dan bentuk kakisan lain. Sebagai kumpulan, keluli tahan karat kelihatan menarik dan mudah disenggara. Keluli jenis ini menunjukkan keutuhan dan kemuluran yang luar biasa dan unik dari segi ketahanan umum terhadap cuaca serta kebanyakan jenis bahan pengakis lain. Kebanyakan keluli tahan karat yang digunakan di kediaman digilap dengan baik dan kelihatan bersinar bak perak tetapi keemasan ini tidak diperlukan untuk menghalang kakisan. Keluli dengan lapisan tahan karat pula biasanya ialah keluli biasa yang disadur dengan selapisan keluli tahan karat pada satu bahagian atau kedua-dua bahagian permukaannya. | UMUM | |