OSWALD, LEE HARVEY | Oswald, Lee Harvey (1939–1963), dituduh membunuh John F. Kennedy, presiden Amerika Syarikat, pada 22 November 1963, di Dallas, Texas. Dua hari kemudian, ketika berjuta-juta orang menonton peristiwa itu di televisyen, Oswald dibunuh. Dia ditembak mati oleh pemilik kelab malam Dallas, Jack Ruby, semasa sedang dipindahkan dari penjara bandar ke penjara wilayah di Dallas. Ruby merempuh pegawai-pegawai polis yang mengelilingi Oswald untuk menembaknya. | UMUM | |
EKSTRADISI | Ekstradisi ialah tindakan menyerahkan orang yang dituduh melakukan jenayah oleh sebuah negara kepada sebuah negara yang lain. | UMUM | |
KEM TAHANAN | Kem tahanan ialah tempat musuh politik, sama ada musuh benar atau yang dituduh, dipenjara, biasanya tanpa dibicarakan. Istilah ini mula-mula digunakan oleh Great Britain sebagai penjara tahanan Perang Boer, di Afrika kira-kira pada tahun 1900. Polis rahsia Soviet pula telah memenjarakan berjuta-juta orang di kem buruh selepas tahun 1928, iaitu semasa pemerintahan kuku besi Joseph Stalin. Semasa Perang Dunia II (1939–1945), kerajaan Amerika Syarikat dan Kanada menahan beribu-ribu orang keturunan Jepun di kem (lihat Perang Dunia II). Kem tahanan yang terkenal ialah kem yang dibina oleh Nazi di Jerman. | UMUM | |
KETERANGAN RAJA | Keterangan raja. Di United Kingdom, apabila seseorang yang dituduh melakukan jenayah memberikan keterangan di mahkamah terhadap rakannya yang terlibat dalam jenayah yang sama, secara sukarela dan setelah mendapat keizinan, dia dikatakan membuat keterangan raja. | UMUM | |
MATA HARI | Mata Hari (1876 –1917) ialah penari Belanda yang dihukum mati oleh negara Perancis kerana dituduh menjadi perisik Jerman semasa Perang Dunia I (1914– 1918). | UMUM | |
MAHKAMAH | Mahkamah ialah sebuah institusi kerajaan yang menyelesaikan pertikaian undang-undang dan mengendali keadilan. Mahkamah menyelesaikan konflik melibatkan individu, pertubuhan, dan kerajaan. Mahkamah juga menentukan, sama ada orang yang dituduh melakukan jenayah itu bersalah atau tidak, dari segi undang-undang, dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah. | UMUM | |
SERVETUS, MICHAEL | Servetus, Michael (1511–1553), doktor dan ahli teologi Sepanyol. Huraiannya tentang peredaran pulmonari dianggap sebagai satu laluan klasik dalam ilmu fisiologi. Dia lahir di Tudela, Sepanyol, dan belajar ilmu perubatan di Paris. Dia menjadi pensyarah di Paris dan kemudian mengamalkan bidang perubatan di beberapa bandar di Perancis. Servetus tidak disukai oleh pihak berkuasa gereja Katolik Roman dan juga Protestan. John Calvin secara khususnya, mengecam Servetus kerana enggan bersetuju dengan doktrin yang telah diterima umum. Servetus akhirnya dibicarakan, dituduh sebagai seorang penyeleweng agama, dan dibakar di sebuah pancang di Champel, Switzerland . | UMUM | |
MIKI, TAKEO | Miki, Takeo (1907–1988), berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun dari bulan Disember 1974 hingga bulan Disember 1976. Miki juga mengetuai Parti Liberal-Demokratik Jepun. Dia meletakkan jawatan selepas pilihan raya pada tahun 1976. Dalam pilihan raya tersebut, Parti Liberal- Demokratik hanya dapat mengekalkan kuasa di Diet (Parlimen), tetapi dengan jurang kemenangan yang lebih kecil daripada pilihan raya yang terdahulu. Sebelum dan semasa tempoh Miki memegang jawatan, beberapa ahli Parti Liberal-Demokratikbukan Miki-dituduh mengamalkan rasuah. Tuduhan ini turut menjadi salah satu sebab kemerosotan parti tersebut. | UMUM | |
ENGKU NGAH | ENGKU NGAH, (1774 – 1828), bangsawan Riau. Engku Ngah dikenal juga dengan nama Raja Idris bin Raja Haji, putera kedua Yang Dipertuan Raja Haji, Riau. Ibunya, Encik Uning, berasal dari Inderagiri. Engku Ngah berkahwin dengan raja Safiah, anak Yang Dipertuan Muda Raja Ali, dan mendapat dua orang anak perempuan. Nama Engku Ngah disebut beberapa kali dalam Tuhfat al-Nafis, karya yang dimulakan oleh bapa saudaranya. Raja Ahmad dan dilengkapi oleh sepupunya Raja Ali Haji. Engku Ngah merupakan salah seorang anggota angkatan Riau yang menyerang Melaka pada tahun 1784, tetapi dia meninggalkan Melaka dengan beberapa orang Bugis yang lain selepas Belanda menawan Riau pada tahun 1787. Orang Bugis kemudian kembali ke Melaka, tetapi disebabkan perkelahian yang berterusan dengan orang Melayu, Engku Ngah bersama-sama beberapa orang anak raja yang lain pergi ke Selangor. Pada sekitar tahun 1804, dia membantu Selangor menyerang Perak. Sebagai ganjaran, dia diberikan hak ke atas perlombongan bijih timah di daerah Kelang. Tidak lama kemudian, Engku Ngah kembali ke Riau. Menurut Tuhfat al-Nafis, Engku Ngah dimurkai oleh orang istana kerana hubungannya dengan ulama Minangkabau dan dituduh mengamalkan tarekat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |