ANOUILH, JEAN | Anouilh, Jean (1910–1987), penulis drama popular Perancis yang menghasilkan banyak karya. Dia terkenal dengan dramanya yang sangat cemerlang. Dia menyifatkan drama komedinya sebagai “ros” atau “bijak”. Biasanya dramanya menonjolkan kesulitan emosi yang berpunca daripada wang, sama ada kerana kekurangan wang atau terlalu banyak wang. Watak utama dalam dramanya terdiri daripada orang muda sensitif yang sentiasa tercari-cari kepastian dan orang tua yang agak aneh. Antara karya komedinya termasuklah Thieves Carnival (1932), Time Remembered (1939), Ring Round The Moon (1947), The Rehearsal (1950). | UMUM | |
SHAFFER, PETER LEVIN | Shaffer, Peter Levin (1926– ) ialah pengkritik dan penulis drama British yang terkenal, dengan dramanya Five Finger Exercise (1958), yang menerokai permusuhan dalam kalangan pelbagai generasi keluarga kelas pertengahan. Dramanya yang terkemudian termasuk The Private Ear and the Public Eye (1962), The Royal Hunt of the Sun (1964), Black Comedy (1965), The Battle of Shrivings (1970), Equus (1973), dan Amadens (1979). Sebahagian daripada karyanya telah difilemkan. Dia juga pernah menulis untuk rancangan televisyen. Shaffer lahir di Liverpool, England dan mendapat pendidikan di St. Paul School, London dan Cambridge University. Saudara kembarnya, Anthony Shaffer juga merupakan penulis drama. Dramanya yang paling terkenal, Sleuth, juga telah difilemkan. Dia juga menulis lakon layar untuk filem Death on the Nile dan Evil Under the Sun. | UMUM | |
MUSSET, ALFRED DE | Musset, Alfred de (1810–1857) ialah dramatis dan pemuisi Perancis. Kebanyakan dramanya ditulis untuk dibaca dan bukan untuk dipersembahkan di pentas. Musset paling dikenal kerana siri komedinya yang bersopan santun. Karya-karyanya secara kolektif dikenal sebagai Comédies et Proverbes. Melalui gaya puitis dan lucu dia menggambarkan fahamannya yang mendalam tentang tingkah laku manusia. Dramanya memperkatakan penderitaan cinta dan konflik yang abadi antara kesucian dengan sindiran tajam. Karya Musset, Lorenzaccio (1834), merupakan drama sejarah yang latarnya di Florence, Itali. Ia dipentaskan buat pertama kali pada tahun 1896. | UMUM | |
PINTER, HAROLD | Pinter, Harold (1930– ) ialah penulis drama Inggeris. Dramanya menekankan situasi ketegangan yang tidak terucap dan kadangkala sukar diterangkan antara watak-watak yang terlibat. | UMUM | |
SHEPARD, SAM | Shepard, Sam (1943– ), penulis drama dan pelakon filem Amerika. Dramanya yang terkenal menggambarkan masyarakat Amerika sebagai mati, merosot, atau mengalami kemusnahan. Kebanyakan karya Shepard menggabungkan simbolisme dan amalan dengan unsur kebudayaan popular, seperti Wild West, muzik rock, cerita detektif, dan pawagam. Shepard berlakon dalam beberapa buah filem, termasuklah Days of Heaven (1978), Frances (1982), The Right Stuff (1983), dan Country (1984). | UMUM | |
ODETS, CLIFFORD | Odets, Clifford (1906 – 1963) ialah dramatis Amerika yang terkenal kerana dramanya tentang konflik sosial yang ditulisnya pada tahun 1930-an. Hasil kerjanya yang paling berjaya telah dipersembahkan oleh kumpulan terkenal iaitu Group Theatre . | UMUM | |
TERENCE | Terence (195?–159? S.M.) ialah penulis drama komedi Rom. Karya dramanya, pada dasarnya, merupakan versi Latin daripada jalan cerita Yunani. Karya-karyanya lebih halus berbanding dengan karya-karya Plautus, dan ditandai gaya penulisan yang tulen, binaan cerita yang teliti, dan gambaran sifat yang baik. Kesemua enam karya drama komedinya masih boleh dibaca dan dipentaskan. | UMUM | |
PLAUTUS | Plautus (254?–184 S.M.) ialah penulis komedi Rom yang penting. Dramanya merupakan versi Komedi Baru Yunani yang menekankan pemuda yang mencintai hamba perempuannya, kekeliruan identiti, orang gaji yang licik, dan tuan yang terpedaya. Plautus menggabungkan unsur komedi Itali dengan jenakanya yang riang gembira. Teknik pembinaan plot yang bijak dan perwatakan, tidak membimbangkannya kerana dia hanya menghasilkan komedi yang penuh gelak ketawa. Dia pakar dalam dialog, menulis tentang kehidupan yang penuh kata-kata, ungkapan cinta, dan penganiayaan. | UMUM | |
ARISTOPHANES | Aristophanes (445?–385? S.M.) ialah penulis komedi Yunani purba yang teragung. Dramanya menggabungkan fantasi, riang gembira, dan lirik yang indah berserta kritikan serius terhadap politik, adab, pendidikan, muzik, dan sastera. Dia seorang pakar lagu dan ritma. | UMUM | |
ROSTAND, EDMOND | Rostand, Edmond (1868–1918) ialah penulis drama Perancis yang amat terkenal dengan dramanya yang ke-4, Cyrano de Bergerac (1897). Rostand menamakan drama itu “komedi wira”. | UMUM | |