PERUMAHAN | Perumahan ialah apa jua bentuk bangunan yang menyediakan perlindungan kepada manusia. Dalam erti kata yang lebih umum, perumahan ialah peruntukan perumahan terancang yang mengambil kira soal perancangan bandar dan khidmat masyarakat yang dapat memberikan satu suasana penghidupan yang baik. | UMUM | |
BATAL | Batal, sesuatu yang tidak sah dan menyalahi hukum syarak. Dengan erti kata lain, amalan tersebut tidak diterima atau sia-sia dan tidak diberikan pahala. | AGAMA | Konsep |
PERANG SAUDARA AMERIKA | Perang Saudara Amerika (1861–1865) ialah satu konflik antara dua bahagian di Amerika Syarikat. Negara di selatan dikenali sebagai Selatan atau Negeri-negeri Gabungan, bertempur untuk mempertahankan perhambaan kaum kulit hitam dan kehidupan yang berasaskan pertanian. Negara di utara pula dikenali sebagai Utara atau Kesatuan, menentang perhambaan yang diamalkan di selatan serta bertujuan memelihara Kesatuan semua negeri di Amerika Syarikat. Perang Saudara Amerika mengorbankan lebih ramai nyawa penduduk Amerika Syarikat berbanding peperangan lain. Peperangan ini juga telah memecahbelahkan penduduk negara itu sehingga berlaku pergaduhan antara sesama saudara dalam sesetengah keluarga. Pertumpahan darah yang dahsyat itu telah menyebabkan kedukaan dan kesengsaraan yang berlarutan sehingga beberapa tahun. Malah sehingga kini, peperangan itu masih lagi tidak berakhir dalam erti kata yang sebenar. | UMUM | |
UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH | UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH, peraturan-peraturan yang diaplikasi kepada penduduk peribumi Sabah, yakni mereka yang diberi status ‘anak negeri’. Peraturan ini berasal daripada adat atau amalan penduduk peribumi Sabah yang berkaitan dengan kepercayaan, kekeluargaan, pewarisan, kejiranan, hubungan seksual dan tatacara menimbangkan konflik. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa adat yang dipakai oleh pelbagai suku kaum yang terdapat di Sabah seperti suku kaum Dusun-Kadazan, Murut, Bajau, Melayu, Bugis, Orang Sungai dan lain-lain lagi boleh dikekalkan dan merupakan sebahagian daripada undang-undang negara sekiranya ia menepati syarat-syarat berikut. Pertama, adat tersebut tidak boleh direka tetapi mempunyai sejarah turun-temurun. Kedua, adat tersebut masih dihayati oleh suku kaum berkenaan. Ketiga, adat itu mestilah diamalkan secara berterusan, yakni tidak pernah terputus daripada satu keturunan kepada satu keturunan, dan keempat, adat itu mestilah boleh dikuatkuasakan dalam erti kata bahawa ia jelas dari segi hukuman yang akan dikenakan terhadap pesalah. | BUDAYA | Konsep |
SANDBURG, CARL | Sandburg, Carl (1878–1967) ialah penyair, penulis biografi dan ahli sejarah Amerika. Dua tema utama menguasai karyanya. Salah satunya ialah usaha mencari erti sejarah Amerika. Satu lagi melibatkan keghairahannya terhadap manusia biasa Amerika. Dengan memetik kata-kata Rudyard Kipling, Carl Sandburg berkata tentang dirinya: “Aku akan menjadi jurubicara rakyat. Mulutku akan berdarah dan dari mulut itulah sumpalnya diragut. Aku akan mengatakan apa sahaja.” | UMUM | |
KAMUS PELBAGAI BAHASA | KAMUS PELBAGAI BAHASA, kamus yang mengandungi tiga bahasa atau lebih. Dengan kata lain kamus ini mempunyai kata masukan daripada satu bahasa, kemudian diberi erti, makna, padanan kata atau pengertian daripada dua atau tiga bahasa lain. Kamus jenis ini diwujudkan untuk memudahkan rujukan daripada pelbagai bahasa. Bilangan bahasa terlibat juga berbeza-beza daripada tiga kepada empat atau lima bahasa. Bahkan ada yang sampai ke jumlah lapan jenis bahasa. Kamus pelbagai bahasa biasanya mengandungi kata umum dan banyak juga kamus pelbagai bahasa yang mengandungi kata istilah untuk bidang ilmu yang tertentu. | BAHASA | Penerbitan |