Abu al-Aliyah Rufay (? –93 H./? –711 M.), imam yang hebat bacaan al-Qur'annya (qari), hafiz dan ahli tafsir yang ternama. Nama penuhnya ialah Abu al-Aliyah Rufay ibn Mahran al-Riyahiy al- Basriy. Sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW, usianya masih muda dan dia memeluk Islam pada zaman Abu Bakar al-Siddiq dan mula tekun mempelajari Islam. Dia sering mendengar pengajaran daripada Umar, Ali, Ibn Mas’ud, Aisyah dan para sahabat besar yang lain. Dia hafaz al-Qur'an dan membacanya di hadapan Ubay ibn Ka’b. Dia amat bersemangat menyebarkan ilmunya lantaran suaranya yang lunak. Ramai yang telah belajar qira’at dengannya. Antara mereka ialah Su’ayb ibn al-Habhab, dan Abu ‘Amru ibn al-’Aka’. Dia mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan mengamalkan sunnah. Dia terkenal dengan sifatnya yang zuhud, warak dan mengelakkan diri daripada fitnah. |