GEMPA BUMI | | UMUM | |
MAGNITUD RICHTER | Magnitud Richter ialah angka yang menunjukkan kekuatan gempa bumi. Ahli-ahli sains mengira magnitud Richter dengan menggunakan maklumat yang diperoleh daripada seismograf, sejenis alat yang merakam pergerakan bumi. Ahli seismograf Amerika (ahli sains yang mengkaji gempa bumi), Charles F. Richter, telah membangunkan sistem ini untuk mengukur kekuatan gempa bumi pada tahun 1935. Kadangkala sistem ini dikenali sebagai skala Richter. | UMUM | |
SEISMOLOGI | Seismologi ialah kajian tentang gelombang seismik (gelombang kejutan) yang dihasilkan oleh gempa bumi atau letupan. Ahli seismologi mengkaji gelombang ini untuk mempelajari gempa bumi dan struktur bumi. Seismologi membentuk satu cabang geofizik, iaitu sains yang menggunakan fizik untuk mengkaji bumi dan atmosferanya. | UMUM | |
POSEIDON | Poseidon ialah dewa laut, dewa gempa bumi dan dewa kuda orang Yunani. Orang Rom menganggap Poseidon sama dengan dewa Neptune mereka. Poseidon merupakan anak kepada Rhea dan Cronus, dari keturunan dewa-dewa yang digelar Titan. Dewa Zeus dan Hades merupakan saudara kandung Poseidon. Apabila ketiga-tiga bersaudara ini mengundi untuk membahagikan alam sejagat, Poseidon mendapat laut sebagai kawasan di bawah penguasaannya, Zeus mendapat syurga dan Hades mendapat alam ghaib. Ketiga-tiga bersaudara ini memerintah bumi, tetapi Zeus yang menguasai keseluruhannya. | UMUM | |
SKALA RICHTER | Skala yang memberi gambaran kekuatan atau keamatan gempa bumi di seseatu tempat. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Alat/Alatan |
SEICHE | Seiche ialah gelombang panjang di tasik, teluk atau lembangan yang serupa. Seiche biasanya disebabkan oleh angin kencang, gempa bumi kecil, atau perubahan dalam tekanan atmosfera. Seiche ringan kerap berlaku di Tasik Geneva di Switzerland dan di Tasik Erie serta Tasik Garam Besar di Amerika Utara. | UMUM | |
ANTIGUA | Antigua (pend. 15 801), yang dahulunya Antigua Guatemala, ialah ibu negara Guatemala pada zaman penjajahan. Ia diasaskan pada tahun 1543. Bandar ini terletak di barat Guatemala City, ibu negara Guatemala kini (lihat Guatemala [peta]). Pada tahun 1773, gempa bumi telah memusnahkan Antigua. Ibu negaranya dipindahkan ke tempatnya kini pada tahun 1776. Puing-puing akibat gempa bumi ini menjadi tarikan ramai pelancong. | UMUM | |
SKOPJE | Skopje (pend. 503 449) ialah ibu negara Macedonia, negara yang terletak di tenggara Eropah. Skopje terletak di utara Macedonia, di sepanjang Sungai Vardar (lihat Macedonia [peta]). Kira-kira 80 peratus daripada bandar tersebut musnah atau mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada tahun 1963. Bandar tersebut dibina semula dengan binaan tahan gempa bumi. Antara struktur tinggalan zaman lampau termasuk bandar berkubu purba, permandian Turki, dan masjid. | UMUM | |
SEISMOGRAF | Seismograf ialah alat yang menguatkan dan merakamkan pergerakan kecil bumi. Daripada rakaman ini, ahli sains yang dikenali sebagai ahli seismologi boleh menentukan lokasi dan keamatan gempa bumi. Ahli sains juga menggunakan seismograf untuk mencari minyak, mengkaji bahagian dalam bumi, dan mengukur ketebalan glasier. | UMUM | |
LI SIGUANG | Li Siguang (1889–1971), ahli geologi China. Dia memberi sumbangan penting kepada sains palaeontologi (kajian tentang fosil), glasiologi (kajian tentang glasier), dan seismologi (kajian tentang gempa bumi). Li Siguang mengasaskan disiplin ilmu baharu iaitu mekanik geologi. Disiplin ini ialah cabang ilmu geologi, yang membincangkan aspek tegasan dan terikan. Teorinya tentang geomekanik memainkan peranan penting dalam penemuan beberapa telaga minyak yang besar di China. Karya utamanya termasuk Quartenary Glaciation in the Lushan Area , Central China (1947), dan Introduction to Geomechanics (1962). | UMUM | |