Rabu ialah nama hari keempat dalam seminggu. Dalam bahasa Inggeris hari Rabu disebut Wednesday . Hari tersebut mendapat namanya daripada Woden, atau Odin, iaitu ketua dewa dalam mitologi Teutonik yang dianggap suci. Pada awal era Kristian, orang Jerman menggelarnya hari Woden. Kemudian, nama tersebut ditukar kepada Wednesday. Orang Rom menamakan hari keempat dalam seminggu ini sempena planet Utarid (Mercury), yang dipercayai mengawal jam pertama pada hari itu. Planet itu pula telah dinamakan sempena dewa Merkuri. Dari sinilah timbulnya perkataan Latin Dies Mercurii . Bahasa Rom yang berasaskan bahasa Latin masih mengekalkan nama ini. Contohnya bahasa Perancis menggelar Wednesday sebagai mercredi . Rabu berasal daripada bahasa Arab al- Arbi‘a’ , iaitu hari keempat dalam seminggu. |