| ILMU PENGASIH | ILMU PENGASIH, jampi, azimat, doa, ubat guna-guna dan seumpamanya yang digunakan oleh orang Melayu untuk menanam dan membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap orang lain. Antara ilmu pengasih yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu ialah ilmu tepuk bantal, pemanggil, penunduk dan nasi tangas. | BUDAYA | Konsep |
| ILMU HITAM | ILMU HITAM, kuasa alam dalam masyarakat Melayu tradisional. Kuasa ini digunakan untuk melakukan sesuatu yang jahat. Penguasaan ilmu ini disebarkan secara sulit. Hanya bomoh atau pawang yang mahir tentang ilmu hitam ini dianggap pakar atau orang yang berkebolehan, tetapi mereka ini dipandang rendah oleh masyarakat. | BUDAYA | Konsep |
| SAINS SOSIAL | Sains sosial. Umumnya para sarjana mengenal pasti tiga kategori ilmu: (1) sains semula jadi dan matematik, (2) ilmu kemanusiaan, dan (3) sains sosial. Sains semula jadi berhubung dengan alam dan dunia fizikal. Ilmu kemanusiaan cuba mentafsir erti kehidupan di dunia bukannya cuba menjelaskan dunia fizikal atau masyarakat. Sains sosial memberi tumpuan kepada kehidupan manusia dengan orang lain dalam sesuatu kumpulan. Sains sosial termasuklah antropologi, ekonomi, sejarah, sains politik, sosiologi, psikologi sosial, kriminologi, dan sains undang-undang. Sesetengah sarjana menganggap pendidikan, etika dan falsafah sebagai sebahagian daripada sains sosial. Kajian dalam lapangan lain, seperti biologi, geografi, perubatan, kesenian, dan linguistik, juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kategori sains sosial yang luas. | UMUM | |
| SIHIR | SIHIR, ilmu hitam untuk tujuan pembenci, pengasih dan perosak yang wujud sejak zaman dahulu di kalangan masyarakat Melayu yang menganut kepercayaan animisme dan Hindu. Ilmu sihir dalam masyarakat Melayu muncul dalam pelbagai bentuk dan dikenali dengan pelbagai nama, antaranya termasuklah tuju, lambai semangat, pulau dan santau. Prinsipnya sama sahaja iaitu menguasai semangat individu yang disihir dan mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang terkena sihir. | BUDAYA | Konsep |
| PANGLIMA | PANGLIMA, gelaran yang diberikan kepada tokoh yang mempunyai sifat kepahlawanan seperti berani, bijak dan tangkas bermain senjata. Seorang panglima mestilah sudah mengetahui dan mempelajari segala selok belok ilmu hulubalang. Dalam kehidupan sehari-hari masyarakat tradisi Melayu, gelaran panglima lazim diberikan kepada individu yang berlagak atau mempunyai sifat dan ilmu tersebut. Kadangkala seorang panglima juga dilantik menjadi ketua daerah atau angkatan perang dan pertahanan diraja kerana kegagahan dan ketaatannya. Walau bagaimanapun 'panglima' lebih merupakan gelaran dan bukan pangkat yang tetap seperti laksamana. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
| PERPUSTAKAAN | Perpustakaan . Perpustakaan merupakan suatu bahagian yang amat penting dalam sistem pendidikan di dunia dan dalam proses menyimpan dan mendapat kembali maklumat. Perpustakaan menyediakan pengetahuan yang telah dikumpulkan dari zaman ke zaman melalui buku, filem, rakaman, dan media lain. Manusia dari semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, guru, eksekutif perniagaan, pegawai kerajaan, para sarjana, dan ahli sains, menggunakan sumber yang ada di perpustakaan untuk kerja mereka. Sebilangan besar daripada orang awam turut mengunjungi perpustakaan untuk memenuhi keperluan menimba ilmu pengetahuan atau untuk mendapatkan bahan bagi kegiatan masa lapang mereka. Di samping itu, ramai orang menikmati perbincangan buku, pertunjukan filem, kuliah, dan kegiatan lain yang diaturkan oleh perpustakaan tempatan mereka. | UMUM | |
| ORANG DAGANG | ORANG DAGANG, satu istilah yang merujuk kepada orang luar. Dalam konteks masyarakat Melayu, orang luar ini biasanya mereka yang datang merantau dari daerah atau negeri di tanah seberang Kepulauan Melayu ke Semenanjung Tanah Melayu dengan tujuan tertentu. Kedatangan mereka biasanya adalah, sama ada untuk tujuan meneroka, berdagang, mencari kehidupan baharu, menuntut ilmu atau melarikan diri atas sebab-sebab tertentu dari tempat asalnya untuk tinggal menetap di kawasan baharu. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
| DERMACIPTA DEWAN | DERMACIPTA DEWAN, bantuan kewangan yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penciptaan karya asli dalam bahasa Melayu. Dermacipta Dewan ini diwujudkan pada 6 Disember 1980, untuk membolehkan para penulis, ilmuwan, budayawan, sasterawan, dan golongan profesional menghasilkan karya asli dalam bentuk buku, terutamanya karya ilmu pengetahuan yang dapat memberikan sumbangan besar kepada pemikiran masyarakat umum. Karya kreatif yang tinggi mutunya, dan memerlukan bantuan kewangan untuk membuat penyelidikan juga dipertimbangkan. | SASTERA | Anugerah/Hadiah |