PERANG MU'TAH | Perang Mu’tah berlaku antara orang Islam dengan orang Rom di Syam ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup. Antara sebab tercetusnya peperangan ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. mengutuskan seorang utusan untuk menghantar kitab al-Quran kepada raja Basrah (di Syam). Apabila utusan yang membawa kitab tersebut singgah di kampung Mu’tah, dilihat oleh Syurahbil ibn ‘Amru al-Ghassaniy lalu dia dibunuh. Mengikut peraturan pada masa itu, utusan tidak boleh dibunuh. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. berasa marah lalu Baginda menghantar satu pasukan tentera seramai 3000 orang ke Mu’tah pada bulan Jamadilawal tahun kelapan Hijrah. | UMUM | |
NABI MUSA A.S. | Nabi Musa a.s. ialah nabi dari kalangan Bani Israel , juga merupakan (Utusan Allah) bagi mereka. Namanya ialah Musa ibn ‘Imran tetapi bukan abang Maryam binti ‘Imran (Ibu Nabi Isa a.s.) seperti anggapan sesetengah orang. Ini adalah kerana perbezaan masa di antara kedua-duanya beratus- ratus tahun. Baginda diutuskan oleh Allah SWT. kepada Firaun dan kaumnya yang amat menyombongkan diri dan suka membuat kerosakan. Baginda juga salah seorang nabi yang paling kerap disebut dalam al-Qur'an, malah disebutkan kisah baginda secara terperinci di beberapa tempat dalam al-Qur'an. Beberapa ayat yang lain turut menceritakan kehidupan Nabi Musa a.s. secara ringkas. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Qur'an) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan, dan seorang Rasul lagi nabi. Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Thur Sina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata-kata dengan Kami. Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya Harun yang juga seorang nabi”. (Surah Maryam 19:51–53) | UMUM | |
NUFAYR IBN MALIK | Nufayr ibn Malik (?–80 H./?–699 M.) ulama hadith. Nama sebenarnya ialah al-Imam al-Kabir Nufayr ibn Malik ibn Amir Abu Abd al-Rahman al- Hadramiy al-Himsiy. Dia sempat mengenali Rasulullah s.a.w. dan mengunjungi Baginda seperti yang disebut oleh Ibn al-Athir. Dia meriwayatkan hadith daripada Abu Bakar (dipercayai kemungkinan dia pernah berjumpa dengan Abu Bakar), ‘Umar, al-Miqdad, Abu Dhar, Abu Darda, Aishah dan sahabat-sahabat lain. Hadith-hadith Nufayr ibn Malik diriwayatkan pula oleh anaknya Abd al-Rahman, Makhul, Khalid ibn Mi dan beberapa orang lagi. Dia tergolong dalam kalangan ulama hadith yang pakar. Hadithnya terdapat dalam semua kitab hadith kecuali kitab Sahih al-Bukhariy . Ini adalah kerana Nufayr ibn Malik meriwayatkan hadith daripada sahabat-sahabat tanpa berjumpa dengan mereka, sedangkan al-Bukhariy tidak menerima sesuatu hadith kecuali guru yang meriwayatkan hadith berjumpa sendiri dengan perawinya. Nufayar ibn Malik dikatakan meninggal dunia pada tahun 75 H. | UMUM | |
MODAL | Modal adalah istilah ekonomi bermaksud kekayaan, selain daripada tanah, yang digunakan untuk menambahkan kekayaan. Wang simpanan adalah modal, kerana digunakan untuk menambah kekayaan menerusi faedah atau dividen. Tanah dan sumber-sumber semula jadi tidak dikira sebagai modal kerana bukan dikeluarkan oleh manusia. Kebanyakan aset yang digunakan dalam perniagaan adalah modal, kerana ia digunakan untuk mendapatkan keuntungan. Barang-barang peribadi seperti makanan, perabot, dan pakaian dianggap sebagai harta, tetapi bukannya modal. Barang-barang ini tidak menambahkan kekayaan. Terdapat dua jenis modal perniagaan, modal tetap dan modal kerja. | UMUM | |
TAYMUR, MAHMUD AHMAD | Taymur, Mahmud Ahmad (1312–1393 H./1894– 1973 M.), ahli sastera dan penulis novel Mesir moden dari kalangan keluarga sarjana dan sasterawan. Ini kerana ayahnya, Ahmad Taymur Basya adalah seorang pencinta bahasa dan ilmu-ilmu bahasa Arab. | UMUM | |
SAHARA BARAT | Sahara Barat ialah sebuah kawasan di pesisir barat laut benua Afrika yang terletak di antara Maghribi, Algeria, Mauritania dengan Lautan Atlantik. Sahara Barat pernah dikenali sebagai Gurun Sepanyol. Kawasan ini adalah di bawah jajahan Sepanyol pada awal tahun 1500-an dan sekali lagi dari tahun 1860 hingga 1976. Sahara Barat memperoleh kemerdekaan daripada Sepanyol. Sejak itu, peperangan terus berlaku antara puak pembebasan tempatan gurun yang dikenali sebagai Polisario Front yang menganggap gurun tersebut negara berasingan dan mereka menolak untuk bersatu dengan Maghribi kerana menganggap gurun tersebut adalah sebahagian daripada negara mereka. | UMUM | |
ROMANIA | Romania , juga dieja Rumania, ialah negara di timur Eropah. Namanya bererti tanah orang Rom. Negara ini dinamai sedemikian kerana ia adalah sebahagian daripada empayar Rom pada zaman purba. Orang Romania merupakan satu-satunya bangsa Eropah timur yang bahasa dan keturunan mereka berasal daripada orang Rom. Bucharest ialah ibu negara dan bandar terbesar di Romania. | UMUM | |
MAKKAH, PEMBUKAAN | Makkah, Pembukaan. Peristiwa pembukaan Makkah berlaku pada 20 Ramadan tahun 8 H. Sebab berlakunya pembukaan atau penaklukan ini adalah kerana dalam syarat-syarat perjanjian Hudaibiyah sebelum itu telah dinyatakan antara lain: “Sesiapa yang mahu berikat dengan Muhammad dan membuat perjanjian dengannya, maka ia bebas berbuat demikian dan sesiapa yang mahu berikat dengan kaum Quraisy dan membuat perjanjian dengannya, maka ia bebas berbuat demikian”. | UMUM | |
RENIUM | Renium ialah unsur kimia dengan simbol Re. Ia adalah logam nadir, mahal, berwarna putih keperakan. Ia didapati sedikit dalam mineral seperti gadolinit , dan molibdenit . Renium mempunyai satu daripada takat lebur yang paling tinggi antara unsur kimia. Oleh kerana ini ia tahan terhadap suhu tinggi. Tenium adalah bahan yang berharga dalam aloi (campuran logam) tertentu. Ia kadangkala dicampurkan dengan tungsten atau platinum untuk membuat kelengkapan elektrik tahan panas. Ia juga digunakan untuk membuat filamen (dawai halus) untuk alat yang dikenali sebagai spektrometer , yang digunakan untuk mengukur jisim atom dan molekul yang bercas. | UMUM | |
SURAH GHAFIR | Surah Ghafir ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-40 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 85 ayat. Surah ini dinamakan Ghafir (Maha Pengampun) kerana adalah satu sifat daripada sifat-sifat Allah S.W.T. yang disebutkan di awal surah ini sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Yang mengampunkan dosa, dan Yang menerima taubat; Yang keras seksanya; Yang melimpah-limpah kurnianya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nyalah tempat kembali”. (Surah Ghafir 40:3) | UMUM | |