TANAH JAJAHAN | Tanah jajahan ialah petempatan yang ditubuhkan oleh sesuatu kumpulan penduduk di luar negara asal mereka, tetapi tetap diperintah oleh tanah air mereka. Tanah jajahan ditubuhkan dengan tujuan untuk mencari lebih banyak kawasan yang dapat dijadikan tempat tinggal agar dapat mengurangkan tekanan kepadatan di tanah air mereka, untuk meningkatkan perdagangan dengan mencari pasaran bagi barang-barang buatan, untuk mendapatkan sumber bahan mentah, untuk melindungi kepentingan ketenteraan, dan untuk meningkatkan prestij negara ibunda. Hampir separuh daripada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah bekas tanah jajahan yang mendapat kemerdekaan sejak Perang Dunia II (1939–1945). | UMUM | |
TANAH JAJAHAN HUKUMAN | Tanah jajahan hukuman ialah petempatan di luar sesebuah negara tempat negara tersebut memenjarakan para banduan. Dari tahun 1500-an hingga pertengahan tahun 1900-an, banyak negara Eropah menggunakan tanah jajahan hukuman untuk mengurangkan kesesakan di penjara dan untuk membuang banduan ke tempat yang jauh. Kadang-kadang banduan ini digunakan sebagai buruh untuk membangunkan sumber alam sesebuah tanah jajahan. | UMUM | |
JAJAHAN | JAJAHAN, wilayah yang diletakkan secara khusus di bawah pemerintahan sesebuah negeri. Perkataan jajahan hanya digunakan sekali-skala dalam teks awal yang berbahasa Melayu seperti Sejarah Melayu. Pada zaman Kesultanan Melaka, jajahan telah mengetepikan wilayah yang tidak ditadbir secara langsung seperti Siak, Inderagiri dan Kampar. Ketiga-tiga wilayah tersebut telah diperintah oleh beberapa orang raja yang dilantik oleh kerajaan pusat di Melaka dan hanya dikenal sebagai tanah atau negeri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
TANAH JAJAHAN TELUK MASSACHUSETTS | Tanah Jajahan Teluk Massachusetts ialah salah satu penempatan orang Eropah yang pertama di New England, Amerika Syarikat. Ia ditubuhkan di Salem, Massachusetts, pada tahun 1628, oleh sekumpulan kecil pengikut Puritan Inggeris. Pengikut Puritan ingin mengekalkan ketulenan agama mereka serta bebas daripada apa yang mereka rasakan sebagai kejahatan Gereja England. John Endecott telah mengetuai kumpulan pertama peneroka tersebut. Pada tahun 1630, John Winthrop, yang menjadi gabenor koloni tersebut, telah mengetuai 1000 orang lagi peneroka menuju Boston. Lihat juga Massachusetts ; Puritan; Williams, Roger. | UMUM | |
JAJAHAN MELAYU, | JAJAHAN MELAYU, akhbar mingguan. Akhbar ini diterbitkan di Taiping, Perak, pada 4 November 1896 oleh Sayid Abul Hassan bin Burhan yang berasal daripada keturunan Jawi Peranakan. Sebelum ini, Sayid Abul Hassan menerbitkan akhbar Seri Perak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Karya |
PEJABAT TANAH JAJAHAN | Pejabat yang menjaga hal-ehwal wilayah jajahan Great Britain di seberang laut. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERSEKUTUAN AUSTRALIA | Persekutuan Australia terbentuk dari tahun 1901, apabila keenam-enam tanah jajahan Australia menjadi negeri-negeri Komanwel Australia. Sebelum tahun 1889, beberapa kaedah penggabungan tanah jajahan tersebut telah dicuba, tetapi gagal. Pada tahun tersebut, Sir Henry Parkes, perdana menteri New South Wales, mendesak para penjajah tersebut supaya membentuk sebuah kerajaan pusat. Pada tahun 1890-an, banyak percubaan untuk membentuk sebuah persekutuan menemui kegagalan. Para perwakilan jajahan tersebut bersidang pada tahun 1891, 1893, 1898, dan 1899. Pada tahun 1899, sebuah jawatankuasa penggubal merangka Perlembagaan Persekutuan dan penduduk Australia mengundi untuk membentuk sebuah persekutuan. Duke of York, kemudian bergelar Raja George V, mengisytiharkan Komanwel Australia pada 1 Januari 1901. | UMUM | |
DOMINION OF NEW ENGLAND | Dominion of New England ialah kumpulan tanah jajahan Inggeris di Amerika Syarikat yang dipersekutukan pada tahun 1686 oleh Raja James II, England. Jajahan dalam dominion ini ialah Connecticut, Massachusetts, New Hampshire, New Jersey, New York, Plymouth, dan Rhode Island | UMUM | |
PERISYTIHARAN KEMERDEKAAN | Perisytiharan Kemerdekaan ialah dokumen bersejarah bagi tanah jajahan British di Amerika yang mengisytiharkan kebebasan daripada pemerintahan British. Kongres Benua Kedua adalah satu perjumpaan perwakilan dari setiap tanah jajahan yang menetapkan hari perisytiharan itu pada 4 Julai 1776. Tarikh ini diraikan sebagai tarikh kelahiran Amerika Syarikat. | UMUM | |
NEW SWEDEN | New Sweden ialah satu-satunya tanah jajahan Sweden di Amerika. New Sweden terletak di sepanjang Sungai Delaware, dari muara Teluk Delaware hingga ke kawasan yang kini dikenali sebagai Trenton, New Jersey. Peneroka Sweden mengasaskan jajahan ini pada tahun 1638, dan membina Fort Christina di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Wilmington, Delaware . | UMUM | |