| SUNGAI RAJANG | SUNGAI RAJANG, sungai terbesar dan terpanjang di Sarawak. Sungai Rajang atau Batang Rajang sepanjang lebih 560 km dan boleh dimudiki kapal bersaiz sederhana sehingga 128 km. Bahagian muara sungai ini terletak dalam kawasan Bahagian Sibu dan Bahagian Sarikei, manakala bahagian hulunya terletak dalam Bahagian Kapit. Cawangan utama sungai ini ialah Sungai Baleh, Sungai Balui dan Sungai Belaga. Di bahagian muaranya membentuk sebuah delta yang subur dan terkenal dengan tanaman sagu yang diusahakan oleh kaum Melanau dan Melayu, khususnya di Kampung Igan dan Kampung Oya. Pada masa silam, Sungai Rajang digeruni oleh ancaman pelanunan orang Iban dari Saribas, misalnya legenda pahlawan yang digelar Rentap. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
| TEMENGGUNG JUGAH ANAK BARIENG, TUN | TEMENGGUNG JUGAH ANAK BARIENG, Tun (1900-1981), ahli politik. Dia lahir di Nanga Gaat, Kapit, Sarawak. Penglibatan awalnya dalam politik bermula pada 1 Mei 1924, apabila dia dilantik sebagai penghulu. Dia telah mendamaikan permusuhan yang telah lama berlaku antara kaum Iban dengan suku kaum Kayan, Kenyah dan Kajang. Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), dia bersama-sama pengikutnya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menentang tentera Jepun. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
| IBAN | IBAN, suku bangsa di Sarawak. Orang Iban dikenal juga sebagai Dayak Laut. Suku bangsa ini dipercayai berasal dari Sumatera berhijrah ke Kalimantan, Indonesia dan kini bertumpu di Bahagian Simanggang dan Bahagian Kapit, Sarawak. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
| RASCOM | RASCOM, pasukan kawalan keselamatan kawasan Rajang, Sarawak. Organisasi tentera yang terdiri daripada pelbagai bahagian di bawah pemerintahan bersama ini lebih dikenal sebagai Rajang Area Security Commad atau RASCOM dan ditubuhkan di Bahagian Ketiga Sarawak. Pada 25 Mac 1972, keseluruhan Bahagian Ketiga Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan Keselamatan Istimewa oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia. Kawalan RASCOM meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Mukah, Oya dan Dalat. Kawasan kawalan diperluaskan di Binatang (Bintagor), Sarikei dan Julau, serta Song dan Kapit. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |