DATUK SUTAN MAHARADJA (1860 -1921), pelopor persuratkhabaran Melayu di Sumatera, Indonesia. Dia lahir di Sulit Air, Sumatera, Indonesia. Dia bersekolah Eropah di Kota Padang pada tahun 1873. Meskipun tidak tamat, dia belajar hukum daripada seorang jaksa dan peguam. Pada tahun 1882, Datuk Sutan Maharadja dilantik sebagai pembantu jaksa di Indrapura dan sebagai jaksa di Padang dan Pariaman, hingga tahun 1891. Dia bekerja sebagai wartawan Palita Ketjil, akhbar Melayu yang tertua di Sumatera (pertama terbit awal 1880-an). Melalui Palita Ketjil, dia melawan pemikiran agama yang antitarekat dan adat matrilineal yang disuarakan oleh seorang ulama Minangkabau, Syekh Ahmad Chatib. Pada tahun 1895, dia bekerja dengan Warta Berita, dan pada tahun 1904, dia bekerja dengan Tjaja Soematera. Melalui akhbar ini, dia melancarkan ‘revolusi adat demokratis’ melawan keabsahan kedudukan Tuanku Panglima Regen, penguasa peribumi tertinggi dan bangsawan Padang.
Thanks for clicking. That felt good.