Surah Saba’ ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-34 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 54 ayat. Surah ini dinamakan Saba’ kerana Allah S.W.T. ada menyebut dalam al-Qur’an cerita negeri Saba’, iaitu cerita tentang raja-raja Yaman. Penduduk di negara tersebut hidup dalam kenikmatan dan kemewahan, kegembiraan dan ketenangan. Tempat tinggal mereka dipenuhi dengan kebun-kebun dan taman-taman. Apabila mereka mengkufuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T., mereka dihancurkan dengan banjir besar. Kisah ini menjadi pengajaran kepada orang yang mahu mengambil iktibar. |