PERCAMBAHAN | Percambahan ialah pertumbuhan biji benih. Semua biji benih memerlukan lembapan, oksigen, dan kepanasan untuk bercambah. Keperluan ini, terutamanya keperluan terhadap kepanasan, berbeza-beza dari spesies ke spesies. | UMUM | |
DERMATITIS | Dermatitis ialah radang kulit yang menyebabkan gatal atau melecur. Ia menyebabkan kemerahan, bengkak, lepuh, meleleh, kulit kasar atau kulit bersisik. Ia mungkin disebabkan oleh geseran, kepanasan, kesejukan, atau sinaran matahari. Walau bagaimanapun, agen kimia adalah paling biasa menyebabkan dermatitis. | UMUM | |
TEMPAT BERTEDUH | Tempat berteduh ialah suatu struktur atau keadaan semula jadi yang menyediakan perlindungan terhadap cuaca buruk, bahaya, atau gangguan serangga perosak. Manusia memerlukan tempat berteduh untuk melindungi diri mereka daripada kesejukan dan kepanasan yang melampau, serta daripada hujan, salji, dan angin. Terdapat pelbagai jenis tempat berteduh. Rumah ialah bentuk yang paling lazim. Jenis tempat berteduh lain ialah pondok hentian bas, pelindung bom, bangsal, dan pentas beratap. Tempat berteduh mudah alih termasuk khemah, treler, dan bot seperti bot rumah dan kapal layar. | UMUM | |
SENTUHAN | Sentuhan ialah deria yang memberikan kita rasa bersentuhan dengan sesuatu benda. Ia juga dinamakan organ taktil. Melalui deria ini kita boleh mengetahui bentuk dan kekerasan sesuatu benda. Menyentuh sesuatu benda boleh menimbulkan rasa panas, sejuk, sakit dan tekanan. Hujung saraf bebas dalam tisu memberikan rasa sakit. Sentuhan, kepanasan, kesejukan dan rasa sakit juga dinamakan deria kulit . | UMUM | |
PUPA | Pupa ialah peringkat yang agak tidak aktif dalam metamorfosis (perkembangan) kebanyakan serangga. Dalam metamorfosis lengkap , larva makan sehingga membesar sepenuhnya (lihat Larva ). Kemudian larva bersalin kulit menjadi pupa, satu bentuk sementara yang membolehkan struktur dewasa berkembang. Serangga dewasa muncul dengan memecahkan “kulit” pupa. Peringkat pupa mungkin lamanya satu atau dua hari, atau sehingga satu tahun atau lebih, bergantung pada spesies. Peringkat ini membolehkan sesetengah serangga dewasa, seperti rama-rama, mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza daripada ciri-ciri larva. Ia juga membolehkan sesetengah serangga yang berkembang mengelakkan kepanasan dan kesejukan yang melampau, kebuluran, dan kemarau. | UMUM | |