PETER II | Peter II (1923–1970) menjadi raja Yugoslavia pada tahun 1934 ketika berusia 11 tahun apabila bapanya, Raja Alexander, dibunuh. | UMUM | |
SULTAN MUZAFFAR SYAH II | SULTAN MUZAFFAR SYAH II ( ? -1653), Sultan Perak yang ke-10 (1636-1653). Nama sebenar baginda ialah Raja Sulung. Baginda adalah putera Raja Mahmud Ibni Raja Kasab, Siak. Baginda menaiki takhta Perak pada ketika negeri itu di bawah kekuasaan Aceh. Berikutan dengan serangan pihak Aceh ke atas Perak pada tahun 1619, ramai kerabat diraja Perak telah dibawa ke Aceh sebagai tawanan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SNIPERSKOP | Sniperskop ialah peranti elektronik yang dapat digunakan untuk membidik raifal dengan tepat pada waktu malam. Ahli sains Amerika mencipta sniperskop ketika Perang Dunia II (1939–1945) untuk membolehkan pasukan tentera berjuang dengan lebih berkesan pada waktu malam. Sniperskop telah diganti dengan starlight skop yang dicipta pada tahun 1963 dan digunakan buat pertama kalinya ketika Perang Vietnam. Angkatan tentera dan polis bukan sahaja menggunakan starlight skop untuk menembak pada waktu malam, malah semasa meronda di tempat yang gelap. Askar-askar menggunakan peranti ini pada senjata yang lebih besar seperti meriam dan pelancar misil serta juga senapang. | UMUM | |
REVOLUSI GEMILANG | Revolusi Gemilang berlaku pada tahun l688 bagi menamatkan pemerintahan Raja James II di England dan melantik William III dan Mary II sebagai pewaris takhta. Revolusi itu memantapkan hak Parlimen untuk mengawal warisan terhadap takhta dan mengehadkan kuasa raja. Pada tahun l689, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Hak Asasi yang mengharamkan penganut Roman Katolik daripada menaiki takhta dan melarang seseorang raja daripada menangguh undang-undang, mengekalkan angkatan tentera ketika aman, atau pengenaan cukai tanpa kelulusan Parlimen. | UMUM | |
MENGELE, JOSEF | Mengele, Josef (1911–1979) ialah doktor Jerman yang memilih sendiri 400 000 orang tawanan perang untuk dibunuh di dalam bilik gas di Auschwitz, kem tahanan Nazi ketika Perang Dunia II (1939–1945). Dia juga melakukan ujian yang zalim ke atas banduan, dengan tujuan menghasilkan satu bangsa yang mempunyai rambut perang dan bermata biru. Para banduan menggelarkannya sebagai “Malaikat Maut”. | UMUM | |
SCAPA FLOW | Scapa Flow ialah lembangan laut yang dikelilingi oleh Kepulauan Orkney, di utara Scotland. Panjangnya ialah 24 kilometer dan lebarnya 13 kilometer. Scapa Flow menjadi ibu pejabat skuadron Armada Utama British semasa Perang Dunia I. Pada 21 Jun 1919, tentera laut Jerman yang kalah membocorkan dan menenggelamkan kapal yang masih berada di lembangan itu. Ketika Perang Dunia II, kapal selam Jerman menenggelamkan kapal perang British, Royal Oak , semasa melabuhkan sauhnya di Scapa Flow. Pada tahun 1970-an dan tahun 1980-an, Scapa Flow menjadi terminal penting untuk saluran paip minyak dari Laut Utara. Lihat juga Orkney. | UMUM | |
SEVASTOPOL | Sevastopol (pend. 335 000) terletak di Laut Hitam, di bahagian barat daya Semenanjung Krimea di Ukraine. Untuk lokasi, lihat Ukraine (peta). Sevastopol mempunyai sebuah pelabuhan yang panjang. Pengepungan bandar itu selama 11 bulan dari tahun 1854 hingga tahun 1855 menandakan kemuncak pertempuran dalam Perang Krimea. Sevastopol diserang sekali lagi pada tahun 1918, semasa Perang Dunia I. Pengepungan selama lapan bulan dari tahun 1941 hingga tahun 1942 ketika Perang Dunia II telah memusnahkan bandar tersebut. Sungguhpun demikian, sebahagian besar bandar ini telah didirikan semula. | UMUM | |
TASIK NASSER | Tasik Nasser, terbentuk apabila air Sungai Nil disekat oleh Empangan Tinggi Aswan di Mesir. Tasik ini dinamakan sempena nama presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser. Empangan yang mula beroperasi pada tahun 1968 itu terletak 684 kilometer ke selatan Kaherah. Tasik tersebut dipenuhi air sepenuhnya pada tahun 1981. Tasik Nasser meliputi kira-kira 4014 kilometer persegi. Air dari tasik tersebut digunakan untuk mengairi tanah ketika kekurangan air dan untuk menjana kuasa hidroelektrik. Kuil Abu Simbel yang dibina oleh firaun Ramses II, dipotong dari cenuram di sepanjang Sungai Nil dan dialihkan ke tanah yang lebih tinggi bagi mengelak daripada air yang naik (lihat Kuil Abu Simbel ). Lihat juga Empangan Tinggi Aswan. | UMUM | |
SUMPAH PEMUDA | SUMPAH PEMUDA, ikrar pergerakan pemuda Indonesia pada masa pergerakan nasional pada 28 Oktober 1928 di Jakarta. Pemuda Indonesia adalah tunggak penting dalam sejarah pertumbuhan bangsa dan negara Indonesia. Ketika dibuat sumpah ini hanya disebut sebagai ‘putusan kongres pemuda pemudi Indonesia’. Istilah Sumpah Pemuda hanya muncul dalam perkembangan kebangsaan Indonesia selanjutnya. Keputusan ini dipersetujui pada penutupan Kongres Pemuda II yang diadakan pada 27-28 Oktober 1928 di Jakarta. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
CIK SITI WAN KEMBANG | CIK SITI WAN KEMBANG (1580-1677), pemerintah negeri bernama ‘Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tagayong’ dengan gelaran Seri Maharaja Puteri. Mengikut sejarah tempatan, Cik Siti Wan Kembang ialah puteri kepada Raja Ahmad, Yang Dipertua Kelantan dengan isterinya yang bernama Cik Banun, anak bongsu kepada Nara Diraja, seorang pembesar Kelantan. Semasa Cik Siti Wan Kembang berusia lebih kurang empat tahun, Raja Ahmad mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Hussin dari Johor dengan gelaran Sultan Hussin. Raja Hussin ialah satu-satunya putera kepada Raja Umar, iaitu Sultan Johor yang bergelar Sultan ‘Ala Jalla Abdul Jalil II yang memerintah Johor dari tahun 1570 hingga tahun 1597. Sultan Hussin memerintah Kelantan selama 26 tahun, dari tahun 1584 hingga tahun 1610. Cik Siti Wan Kembang yang masih kecil itu diasuh oleh Sultan Hussin sebagai puteri angkat baginda. Apabila Sultan Hussin mangkat pada tahun 1610, Cik Siti Wan Kembang, ketika itu berusia lebih kurang 30 tahun, ditabal sebagai Raja Pemerintah Kelantan. Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam di Gunung Besar yang kemudian dinamai Gunung Cintawangsa yang sekarang ini terletak di sempadan Kelantan-Terengganu. Baginda tidak bersuami. Di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang negeri Kelantan bertambah maju dan terkenal sehingga ramailah pedagang termasuk yang datang dari luar negeri seperti dari negeri China, India dan Arab berniaga di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |