MURAT, JOACHIM | Murat, Joachim (1771?–1815), komander askar berkuda Perancis yang terkenal semasa Napoleon I, memerintah Naples antara tahun 1808 hingga tahun 1814. Dia bertugas bersama-sama Napoleon Bonaparte dan mendapat ganjaran apabila berkhidmat di Itali pada tahun 1796. Napoleon melantiknya sebagai jeneral pada tahun 1799, apabila dia mengalahkan orang Turki di Mesir. Askar berkuda Murat memainkan peranan penting dalam kemenangan Napoleon di Austerlitz, Jena, dan Friedland (lihat Ney, Michel). | UMUM | |
YARRA | Yarra ialah sekoci Australia yang diketuai oleh Leftenan Komander R.W. Rankin. Semasa mengiringi sebuah konvoi ke Australia, semasa Perang Dunia II (1939–1945), ia bertembung dengan tiga buah kruiser dan dua buah kapal pembinasa Jepun di selatan pulau Jawa pada 4 Mac 1942. | UMUM | |
AUCHINLECK, SIR CLAUDE JOHN EYRE | Auchinleck, Sir Claude John Eyre (1884– 1981), marsyal medan perang British yang bertugas di Mesir dan Mesopotamia dalam Perang Dunia I (1914–1918). Dalam Perang Dunia II (1939–1945), dia menjadi ketua komander untuk kuasa Berikat di India pada tahun 1941 dan sekali lagi pada tahun 1943 hingga tahun 1947. Dia meghadapi cabaran paling hebat dalam kariernya sewaktu bertugas sebagai ketua komander di Timur Tengah (1941–1942). Tentera kelapan pimpinannya kekurangan tenaga dan senjata. Namun, Auchinleck tetap mara menentang kuasa Paksi dan dipaksa berundur. Dia mengumpulkan semua tenteranya di belakang El Alamein tetapi telah ditarik jawatan komandernya sebelum dia sempat bertindak. Dia lahir di Aldershot, Hampshire, England. | UMUM | |
MACARTHUR, DOUGLAS | MacArthur, Douglas (1880–1964) ialah jeneral Amerika yang terkemuka dalam Perang Dunia II dan Perang Korea. Dia juga menerima bintang kecemerlangan sebagai komander tertinggi pihak Berikat bagi pendudukan di Jepun selepas Perang Dunia II. | UMUM | |
RENJER ROGERS | Renjer Rogers ialah peninjau bagi Tentera British semasa Perang Tujuh Tahun (1756–1763). Robert Rogers (1731–1795) mengetuai pasukan renjer itu. Dia terkenal sebagai seorang komander yang berani dan pengikutnya sentiasa mengikut ke mana sahaja dia pergi. Para anggotanya terdiri daripada orang yang garang dan kasar serta tidak berdisiplin. Mereka selalu menghadapi masalah dengan pegawai atasan. | UMUM | |
SILANG, DIEGO | Silang, Diego (1730?–1763) ialah patriot Filipina yang menjadi wira di kalangan penduduk provinsi Ilocos di utara Pulau Luzon, Filipina apabila mengetuai pemberontakan pemerintahan Sepanyol pada tahun 1762. Pada tahun yang sama, British menawan Manila daripada Sepanyol. Silang bersekutu dengan British dan mula mengumpul penduduk Ilocos untuk mengisytiharkan kebebasan provinsi Ilocos dari Sepanyol. Komander British melantik Silang sebagai Gabenor Ilocos dan berjanji untuk menghantar senjata kepadanya. Tetapi bantuan British tidak pernah sampai. Silang mempertahankan wilayah itu daripada pihak Sepanyol selama tiga bulan. Pada bulan Mei 1763, dia dibunuh oleh pembunuh upahan Sepanyol. Balu Silang, Gabriela meneruskan pemberontakan. Tenteranya dikalahkan dalam pertempuran yang berlaku berhampiran pekan Vigan. Dia dan 100 orang pengikutnya dihukum gantung. | UMUM | |
THORNDIKE, DAME SYBIL | Thorndike, Dame Sybil (1882–1976) ialah pelakon wanita British yang unggul. Bakatnya yang serba boleh terserlah dalam persembahan komedi moden, tragedi Yunani, drama puisi, dan klasik dari beberapa buah negara. Dari tahun 1914 hingga tahun 1918, Thorndike berada di Teater Old Vic, London, melakonkan berbagai-bagai watak dalam drama Shakespeare. Semasa Perang Dunia II, dia mengunjungi beberapa buah bandar perlombongan dan perkampungan di Britain. Sybil Thorndike lahir di Gainsborough, Lincolnshire , England . Pada tahun 1961, Thorndike dilantik sebagai Komander Dame bagi Penerima Darjah Empayar British. | UMUM | |
PERISTIWA TRENT | Peristiwa Trent ialah peristiwa tentera laut pada tahun pertama Perang Saudara Amerika. Ia hampir mengheret England dalam konflik di Selatan. Pada musim luruh tahun 1861, dua orang pegawai yang mewakili pihak Gabungan , James M. Mason dan John Slidell belayar ke Eropah dengan misi mendapatkan bantuan Perancis dan England yang berkecuali agar membantu pihak Selatan. Oleh sebab kapal-kapal pihak Utara mengepung pelabuhan-pelabuhan Selatan, mereka terpaksa menaiki kapal British, iaitu Trenc di Havana, Cuba . Charles Wilkes, komander U.S.S. San Jacinto menahan kapal British itu tanpa arahan untuk berbuat demikian. Dia menangkap Mason dan Slidell dan dibawa ke Boston, Massachusetts. Tindakan ini mencabuli prinsip kebebasan di lautan kerana England adalah negara berkecuali. | UMUM | |
TELUK MANILA | Teluk Manila ialah pintu masuk ke bandar raya Manila di Luzon, Filipina. Teluk ini menghala ke barat daya Laut China Selatan. Untuk lokasi, lihat Filipina (peta) . Teluk Manila adalah lebih kurang 65 kilometer panjang dan 55 kilometer lebar. Perairannya cukup dalam untuk kapal-kapal besar berlabuh. Terdapat dua pelabuhan di Cavite dan Manila. Pulau Corregidor yang berbatu-batan terletak di muara Teluk Manila. Beberapa peperangan sengit berlaku semasa Perang Dunia II (1939–1945) di pulau ini. Pulau ini diserang oleh tentera Jepun pada awal Perang Dunia II . Semasa Perang Sepanyol-Amerika (1898), sebuah armada Amerika di bawah pimpinan Komander George Dewey memusnahkan tentera Sepanyol dalam peperangan di muara Teluk Manila. Lihat juga Corregidor ; Semenanjung Bataan. | UMUM | |
KARAENG BONTOMARANNU | KARAENG BONTOMARANNU ( ? -1667), dilantik sebagai raja di Bone yang ditakluk oleh Makasar pada tahun 1644. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Semasa Sultan Hasanuddin memerintah Makasar (1653-1669), Karaeng Bontomarannu dilantik sebagai ‘Tumabicara-butta’, satu jawatan yang sama tarafnya dengan Bendahara. Semasa Bugis menyerang Makasar pada tahun 1667, Karaeng Bontomarannu memimpin angkatan Makasar menyerang Butung pada bulan November 1666. Karaeng Bontomarannu menyerah diri setelah kalah kepada Cornelis Speelman (komander tentera Syarikat Hindia Timur Belanda), pada tahun 1667. Spellman dan Karaeng Bontomarannu kemudiannya bersahabat lalu dia dibebaskan. Dia kemudian mengambil kesempatan melarikan diri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |