Sayap kiri ialah istilah yang bermaksud parti atau cabang kumpulan politik yang radikal. Istilah ini berasal daripada badan perundangan Perancis yang pertama selepas Revolusi Perancis. Perwakilan konservatif duduk di sebelah kanan speaker, sementara ahli majlis perundangan yang lebih bersifat radikal duduk di sebelah kiri. Kemudian, masyarakat seluruh dunia menggunakan istilah kiri dan kanan untuk menunjukkan dua pemahaman politik yang bertentangan, iaitu egalitarianisme radikal dan konservatisme. Pada umumnya, kumpulan berhaluan kiri menilai kesamaan lebih tinggi daripada kebebasan individu. Sebaliknya, kumpulan berhaluan kanan menganggap kebebasan lebih tinggi daripada kesamaan. Kini, kumpulan sayap kiri sering dikaitkan dengan sosialisme atau komunisme. |