Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ku.rang] | کورڠ

Definisi : 1. tidak atau belum sampai kpd angka (ukuran, takat, dll) yg tertentu, tidak atau belum cukup (genap, lengkap, sampai, tepat, dll): tidak dapat dibayarnya harga tersebut kerana wangnya ~; sudah pun disusun rancangan mengirim pekerja-pekerja ke tempat-tempat yg ~ tenaga buruhnya; 2. utk me­nyatakan bilangan atau banyaknya yg belum cukup utk mencapai jumlah genap yg tertentu, tersedikit sebanyak (satu, dua, dll) utk menjadi atau mencapai (sesuatu jumlah dsb): ~ dua seratus dua lagi cukup atau genap seratus; ~ dua tahil empat kati dua tahil lagi menjadi empat kati; 3. lebih rendah atau sedikit drpd sesuatu apabila diperbandingkan: banyaknya hasil padi tahun ini ~ drpd hasil tahun lepas; nilai barang-barang yg diimport ~ drpd yg dieksport; bertambah ~ menjadi makin kurang (drpd keadaan sebelumnya); 4. tidak berapa (baik, maju, sihat, dll), tidak begitu; ~ maju tidak berapa maju; ~ manis a) tidak berapa manis (kerana tidak cukup gulanya, agak tawar; b) tidak berapa manis atau tertib (bkn tingkah laku dsb), kurang sopan; ~ mengerti; ~ pasti; ~ percaya; 5. tidak sempurna (terdapat kelemahan dsb), cacat, cela: cerpen itu tidak dapat disiarkan kerana banyak ~nya; 6. Id ditolak, diambil: lima ~ satu tinggal empat; ~ adat tidak sopan; ~ ajar tidak sopan, buruk (kasar) budi pekertinya; ~ akal a) bodoh; b) agak gila; ~ asam bp kurang ajar; ~ bahasa tidak bersopan santun, tidak halus budi bahasanya; ~ beres a) tidak berapa beres; b) agak gila sedikit; ~ darah penyakit atau keadaan tubuh yg lemah disebabkan tidak cukup darah dlm tubuh; ~ fikir tidak difikirkan (dikaji) betul-betul; ~ hati tidak berminat; ~ ingat a) tidak berapa ingat; b) kurang hati­-hati, kurang berjaga-jaga; ~ jadi tidak berapa banyak atau memuaskan buahnya atau hasilnya (bkn pokok buah-buahan, padi, dll); ~ jantan pengecut, penakut; ~ lebih = lebih ~ kira-kira, di sekitar (sesuatu angka dll); ~ makan (minum, tidur, dsb) tidak cukup makan (minum, tidur, dsb); ~ periksa tidak tahu (sesuatu perkara, keadaan, dsb); ~ sara Kl agak gila sedikit; ~ tenaga a) tidak mempunyai tenaga atau kekuatan; b) tidak cukup pekerja; ~ terima (penerimaan) tidak berapa menyambut baik (tidak berterima kasih), tidak senang; ~ umur belum cukup umur, belum mencapai umur yg ditentukan (utk sesuatu); ~ kerat, rengkuh yg lebih prb usaha tiada seberapa, hanya cakap yg lebih; ~ tambah-menambah, senteng bilai-membilai prb sesuatu pekerjaan hendaklah dikerjakan ber­sama-sama (dgn bergotong-royong) supaya sempurna; kurang-kurang 1. sekiranya kurang (tidak cukup atau memadai), jika tidak: ~ laku barang ini rugi besar nanti; 2. sangat kurang, makin kurang: ~ dikerah orang, lebih-lebih ia hendak datang; sekurang-kurangnya 1. paling kurang, yg tersedikit, serendah-rendahnya: perbelanjaan yg diperlukan utk melaksanakan rancangan itu ~ satu juta ringgit; kebanyakan penduduk di sini memiliki bendang ~ tiga ekar tiap-tiap satu keluarga; 2. setidak-tidaknya: bagaimana kejam sekali pun mereka, ~ tentu mempunyai belas kasihan terhadap seorang bayi; berkurang menjadi kurang, bertambah (makin) sedikit atau susut drpd sebelumnya, bertambah sembuh (penyakit): pd ketika itu tamu sudah mulai ~ kerana hari sudah jauh malam; penyakitnya ~ sesudah ia berehat; mengurang menjadi kurang (susut); mengurangi menjadikan berkurang (kerap­nya, derasnya, hebatnya, dll), menyusuti: sebuah motokar di sisiku tiba-tiba ~ kecepatan, hampir ia berhenti; mengurangkan 1. menjadikan kurang, me­nyusutkan, memotong (menjadikan sedikit): rancangan pembangunan negara akan ~ bilangan orang yg menganggur; langkah-langkah kesihatan telah diambil utk ~ bahaya penyakit; 2. memotong (mengambil, me­nolak) dr (sesuatu jumlah dsb): harganya akan dikurangkan 20% jika dibayar tunai; terkurang kurang banyak (kuat, lama, dll) drpd, tersedikit drpd: daya tarikan bumi di Madras, India, adalah ~ sedikit drpd tarikan bumi di Honolulu, Hawai; sel-sel darah putih itu jauh ~ jumlah bilangannya drpd sel-sel darah merah; kekurangan 1. tidak (tidak cukup) mem­punyai atau mendapat sesuatu yg diperlukan dll: kerja-kerja yg dijalankan tergendala kerana pejabat tersebut ~ kakitangan; serba ~ tidak cukup segala-galanya; 2. perihal atau keadaan kurang (tidak mencukupi): kemiskinan bukan terbatas kpd ~ makanan dan kebendaan semata-mata; 3. jumlah yg kurang atau yg menjadikan sesuatu tidak genap (tidak cukup dll), baki: yg dibayarnya tidak cukup, banyak juga ~nya; 4. cacat cela, ketidaksempurnaan, kelemahan: ia manusia biasa yg mempunyai ~, bukan nabi, bukan malaikat; perhimpunan penulis-penulis itu telah membincangkan beberapa ~ dlm novel-novel Melayu; kekurang...an perihal (keadaan) kurang ...: kekurangajaran, kekurangsenangan, berkekurangan mempunyai kekurangan: hidupnya tidak ~ dan dapat dikatakan senang juga; perkurangan perihal berkurang; pengurangan perihal atau perbuatan me­ngurangi (mengurangkan), penyusutan: ~ tentera tidak mungkin dapat dilakukan selagi keadaan belum aman; pengurang Id bilangan (angka) utk mengu­rangi. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ku.rang] | کورڠ

Definisi : 1 tidak cukup atau belum cukup jumlahnya (ukuran, takat dll) yg tertentu: Wangnya ~ utk membeli basikal. 2 lebih rendah jumlahnya apabila dibandingkan dgn yg lain (bkn hasil padi, pendapatan dll): Hasil padi tahun ini ~ drpd tahun sudah. 3 tidak berapa baik (maju, sihat dll): Saya tidak bekerja hari ini kerana badan saya ~ sihat. 4 tidak lengkap atau tidak sempurna; cacat; cela: Apa dipandang kpd saya, rupa tiada bahasa pun ~. ~ adat tidak sopan; biadab. ~ ajar tidak berbudi bahasa; buruk budi pekertinya. ~ akal bodoh; agak gila. ~ hati tidak berminat utk membuat sesuatu. ~ tenaga tidak mempunyai tenaga atau kekuatan yg cukup utk bekerja dll. berkurang menjadi kurang; beransur sembuh (bkn penyakit dll): Bilangan calon yg mengambil peperiksaan itu ~. Demamnya ~ setelah ia makan ubat. mengurangi menjadikan kurang: Sikap berdolak-dalik akan ~ kepercayaan orang ramai terhadapnya. mengurangkan menyebabkan jadi kurang; menyusutkan: Berbagai-bagai langkah telah diambil oleh kerajaan utk ~ kemalangan yg berlaku di jalan raya. memperkurang menjadikan lebih kurang (drpd yg asal). kekurangan 1 keadaan atau hal kurang; keadaan tidak mencukupi: ~ vitamin C dpt menyebabkan penyakit beri-beri. Kerja itu terpaksa ditangguhkan kerana ~ pekerja mahir. 2 sesuatu yg kurang: Walaupun dia kelihatan sempurna, tetapi masih ada ~ pd dirinya. 3 mengalami atau berada dlm keadaan sesuatu tidak mencukupi atau kurang drpd yg diperlukan: Mereka ~ bekalan makanan. pengurangan perbuatan atau hal mengurangkan; penyusutan. sekurang-kurangnya paling kurang; tersedikit; serendah-rendahnya: Tiap-tiap pemohon bagi jawatan tsb hendaklah mempunyai kelulusan ~ Sijil Rendah Pelajaran. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kurang
1. Bersinonim dengan belum cukup
( tidak sampai)
(kata tugas:)
Berantonim dengan lebih cukup

2. Bersinonim dengan potong
( tolak, diskaun, )
(kata kerja:)

3. Bersinonim dengan tidak berapa
( tidak begitu, tidak cukup, )
(kata tugas:)

4. Bersinonim dengan cacat
( cela)
(adjektif:)
Berantonim dengan sempurna

Kata Terbitan : kurang-kurang, sekurang-kurangnya, berkurang, berkurangan, mengurang, mengurangi, mengurangkan, memperkurang, kekurangan, pengurangan,

Puisi
 

Kurang bulat sembayan sakar,
     Akan membubur si kacang gadung;
Tanah bersukat jangan diekar,
     Kalau diekar siapa yang tanggung?


Lihat selanjutnya...(52)
Peribahasa

Kurang sisik,
     tinggal lidi di buku;
selidik,
     tinggal kaji di guru.

Bermaksud :

Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu, b. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang). sisik = menyisik, membuang sisik; di guru = pada guru.

 

Lihat selanjutnya...(87)


Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
SINDROM KURANG DAYA TAHAN PENYAKIT

Sindrom kurang daya tahan penyakit lihat

AIDS.

UMUM 
ALLOSAURUS

Allosaurus ialah dinosaur besar karnivor yang

hidup lebih kurang 150 juta tahun dahulu.

Allosaurus hidup di bahagian barat Amerika

Syarikat. Haiwan ini membesar sehingga lebih

kurang 11 meter panjang, berdiri lebih kurang dua

meter tinggi pada bahagian pinggul, dan beratnya

lebih kurang 1.8 tan metrik.

UMUM 
KELESUAN

Kelesuan ialah istilah lain bagi keletihan.

Seseorang itu sering mengatakan bahawa dia

berasa “lesu” apabila letih. Apabila seseorang itu

bekerja kuat, bermain bersungguh-sungguh,

kurang rehat atau kurang tidur, dia boleh berasa

lesu. Dalam kes seperti itu, kelesuan adalah

normal. Daripada pengalaman, adalah diketahui

bahawa perasaan ini akan hilang selepas berehat.

Tetapi kadangkala, kelesuan merupakan suatu

gejala penyakit. Orang yang mengalami penyakit

jasmani sering berasa lesu walaupun hanya

selepas membuat kerja ringan atau menggunakan

sedikit tenaga. Orang seperti ini memerlukan rehat

yang banyak, sering kali jauh lebih banyak

daripada yang diperlukan sekiranya mereka sihat.

Doktor mendapati bahawa kelesuan sering berlaku

jika seseorang itu menghidap banyak jenis

penyakit.

UMUM 
SEPAT BUNGA

Sepat bunga ialah nama bagi lebih kurang 25

spesies ikan yang kecil, memanjang yang terdapat

di perairan tropika dan panas. Kebanyakan sepat

bunga lebih kurang 15 sentimeter panjangnya,

mempunyai sirip dorsal yang panjang dan sirip

dubur yang panjang, yang bertemu di hujung

ekor yang runcing.

UMUM 
AIDS

AIDS ialah peringkat akhir jangkitan yang

mengancam nyawa akibat virus kurang daya tahan

(HIV). AIDS ialah akronim bagi sindrom kurang daya

tahan penyakit. Nama ini merujuk kepada hakikat

bahawa HIV merosakkan dengan teruk sistem imun

melawan penyakit pada pesakit. Kes AIDS pertama

kali dikenal pasti pada tahun 1981 di Amerika

Syarikat, tetapi penyelidik telah mengesan kes ini

seawal tahun 1959. Berjuta-juta kes AIDS telah

didiagnosis di seluruh dunia.

UMUM 
PULAU BATHURST

Pulau Bathurst terletak di Laut Timor, lebih

kurang 70 kilometer ke barat laut Darwin. Pulau ini

dipisahkan dari Pulau Melville oleh Selat Apsley

yang lebih kurang 1.5 kilometer lebar.

UMUM 
SUNGAI RHINE

Sungai Rhine ialah jalan air pedalaman yang

terpenting di Eropah. Panjang sungai ini lebih

kurang 1320 kilometer dan merupakan saliran air

bagi kawasan yang luasnya lebih kurang 224 600

kilometer persegi. Sungai ini bermula di sebelah

timur Switzerland. Ia membentuk sebahagian

sempadan Switzerland, Liechtenstein, Austria,

Perancis, dan Jerman. Sungai ini mengalir melalui

Jerman dan Belanda dan masuk ke Laut Utara.

Walaupun terdapat beberapa masalah pencemaran

daripada bahan buangan perindustrian,

sebahagian Sungai Rhine ini amat cantik dan

menarik banyak pelancong. Bagi orang Jerman,

Sungai Rhine merupakan lambang sejarah

kebangsaan mereka. Beberapa legenda orang

Jerman berkait dengan sungai ini.

UMUM 
STRATOSFERA

Stratosfera ialah suatu lapisan atmosfera bumi. Ia

terletak di atas troposfera, iaitu lapisan atmosfera

yang terdekat dengan bumi. Stratosfera bermula

lebih kurang 10 kilometer di atas permukaan bumi

di kawasan kutub dan lebih kurang 16 kilometer di

kawasan khatulistiwa. Sempadan atasnya yang

dikenali sebagai stratopaus, terletak pada ketinggian

lebih kurang 48 kilometer.

UMUM 
ZAMAN PLEISTOSEN

Zaman Pleistosen ialah tempoh zaman geologi

dalam sejarah bumi. Ramai ahli sains bumi percaya

zaman ini bermula lebih kurang dua juta tahun

yang lalu dan berakhir lebih kurang 10 000 tahun

lepas.

UMUM 
TITI

Titi ialah sejenis monyet kecil di Amerika Selatan.

Ia hidup di hutan hujan tropika di Amazon, di

Lembangan Sungai Orinoco dan di timur Brazil. Titi

jantan dan betina lebih kurang sama besarnya.

Panjangnya lebih kurang 30 sentimeter hingga 40

sentimeter dan panjang ekornya 35 sentimeter

hingga 40 sentimeter. Beratnya lebih kurang satu

kilogram. Bulunya berwarna kelabu, perang

kemerahan atau hitam. Ia hidup di atas pokok dan

sekali-sekala ia turun ke tanah. Makanan utamanya

buah-buahan dan juga banyak jenis daun dan

serangga.

UMUM 
12345678910...

Kembali ke atas