KELESUAN | Kelesuan ialah istilah lain bagi keletihan. Seseorang itu sering mengatakan bahawa dia berasa “lesu” apabila letih. Apabila seseorang itu bekerja kuat, bermain bersungguh-sungguh, kurang rehat atau kurang tidur, dia boleh berasa lesu. Dalam kes seperti itu, kelesuan adalah normal. Daripada pengalaman, adalah diketahui bahawa perasaan ini akan hilang selepas berehat. Tetapi kadangkala, kelesuan merupakan suatu gejala penyakit. Orang yang mengalami penyakit jasmani sering berasa lesu walaupun hanya selepas membuat kerja ringan atau menggunakan sedikit tenaga. Orang seperti ini memerlukan rehat yang banyak, sering kali jauh lebih banyak daripada yang diperlukan sekiranya mereka sihat. Doktor mendapati bahawa kelesuan sering berlaku jika seseorang itu menghidap banyak jenis penyakit. | UMUM | |
SARDONIKS | Sardoniks ialah sejenis kalsedoni, iaitu bentuk mineral kuarza yang berira halus. Kebanyakan sardoniks mempunyai lingkaran yang lurus atau melengkung sedikit, berwarna perang kemerahmerahan dan putih. Sumber utama sardoniks ialah Brazíl, Uruguay dan India. Sardoniks merupakan salah satu daripada batu permata yang kurang mahal. Ia digunakan pada cincin dan barang kemas lain. Tukang emas memotongnya rasa atau berbentuk kubah untuk memaparkan lingkaran warnanya. Kameo kadangkala dipotong dari sardoniks untuk mendapatkan lapisan warnanya. Sardoniks adalah salah satu permata kelahiran bulan Ogos. Lihat juga Kalsedoni; Oniks; Permata. | UMUM | |
NEKTARIN | Nektarin ialah sejenis pic yang berkulit licin. Nektarin biasanya berwarna kuning kemerahan yang lebih pekat daripada pic, dan rasanya lebih manis sedikit. Pic dan nektarin kedua-duanya tergolong dalam spesies yang sama dan berasal dari China kira-kira 2500 tahun yang lalu. Seperti pic, nektarin, terutamanya ditanam di tempat yang beriklim Mediterranean. Ia juga boleh ditanam jauh ke utara di kawasan yang teduh. Di tanah yang kurang subur, tanaman ini mungkin dicantumkan dengan stok akar yang lebih tahan lasak seperti kacukan pic/badam baka kacukan. Pengelasan saintifik. Nektarin tergolong dalam spesies pic Prunus persica . Ia adalah P. persica var . nectarina . Lihat juga Pic. | UMUM | |
NIHILISME | Nihilisme ialah nama yang digunakan bagi pelbagai pandangan falsafah dan politik yang ekstrem dan negatif. Istilah nihilisme berasal daripada perkataan Latin yang bermakna tiada apa- apa . Penihilis yang paling radikal akan menafikan kewujudan apa-apa sahaja. Pandangan yang kurang sedikit radikalnya, yang biasanya disebut sebagai sikap skeptik , menafikan pandangan bahawa apa-apa sahaja boleh diketahui. | UMUM | |
ARES | Ares ialah dewa perang dalam mitologi Yunani. Ares ialah anak lelaki kepada Zeus dan Hera, raja dan permaisuri segala dewa. Dewi orang Rom Mars menyerupai Ares, tetapi Ares kurang penting dari segi moral dan agama bagi orang Yunani daripada Mars bagi orang Rom. Ares mencerminkan aspek perang yang paling kejam dan ganas. Orang Yunani, yang meletakkan sedikit nilai pada kualiti ini, tidak menghormati Ares. | UMUM | |
MERBUK MERATAP | Merbuk meratap ialah burung di Amerika yang mengeluarkan bunyi koo yang sedih. Ia membiak dari selatan Kanada hingga ke Mexico, dan berhijrah ke selatan sejauh Panama pada musim sejuk. Burung ini lebih kurang 30 sentimeter panjangnya. Ia berwarna perang kekelabuan, dan sedikit warna samar di dadanya. Tepi ekornya berwarna putih dan berbintik-bintik hitam. Burung ini terbang laju. | UMUM | |
TAJAK | TAJAK, alat pertanian untuk mencangkul tanah atau membersihkan rumput di sawah. Alat ini terdiri daripada mata tajak yang diperbuat daripada besi yang berbentuk tirus, tajam di bahagian hadapannya; dan pemegang atau hulunya yang diperbuat daripada kayu bulat. Biasanya hulu diperbuat daripada kayu yang keras dan boleh tahan lama, misalnya kayu cingam, halban dan kopi. Panjangnya lebih kurang 10 cm hingga 15 cm. Kayu yang dipilih tidak terlalu lurus, tetapi melengkung sedikit untuk membolehkan tajak digunakan dengan mudah. | BUDAYA | Alat/Alatan |