| SUDERMANN, HERMANN | Sudermann, Hermann (1857–1928) ialah penulis drama dan novel Jerman yang dikaitkan dengan pergerakan naturalisme. Novelnya yang terkenal, iaitu Dame Care (1887), menceritakan tentang seorang lelaki muda yang dibebani masalah akibat kegagalan hidup bapanya. Melalui pengorbanan, anaknya mesti menempuh cabaran takdir yang berlaku berulang kali. Regina (1890) merupakan novel sejarah yang memaparkan perjuangan seorang lelaki menentang prasangka. | UMUM | |
| ADAT PERKAHWINAN SULU | ADAT PERKAHWINAN SULU, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Sulu di Filipina. Orang Sulu berkahwin pada usia yang amat muda, anak lelaki berumur 15 atau 16 tahun dan anak perempuannya lebih muda. | BUDAYA | Konsep |
| ADAT PERKAHWINAN MELAYU-COCOS | ADAT PERKAHWINAN MELAYU-COCOS, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Cocos di Pulau Cocos, Australia. Di kalangan masyarakat ini, anak-anak muda diberi kebebasan mencari pasangan hidup sendiri dan kemudian barulah meminta persetujuan daripada ibu bapanya. Umur bagi anak perempuan berkahwin ialah 17 tahun ke atas dan bagi lelaki 21 tahun atau lebih. Pada masa dulu, pergaulan antara anak-anak muda tidaklah begitu bebas. Kesempatan mencari jodoh ialah pada waktu bulan terang. Anak-anak gadis berkumpul di hadapan rumah mereka meraut lidi daun kelapa untuk dibuat penyapu. Para pemuda mencari peluang untuk berkenalan pada waktu itu dan apabila mencapai persetujuan untuk mendirikan rumah tangga, hal itu disampaikan kepada ibu bapa masing-masing. | BUDAYA | Konsep |
| SEKOLAH MELAYU PRINCES' ROAD | SEKOLAH MELAYU PRINCES’ ROAD, antara sekolah Melayu lelaki yang tetua di Selangor. Sekolah ini mula dibina pada tahun 1938 dalam kawasan lebih kurang 3 hektar di Princes’ Road (kini Jalan Raja Muda Abdul Aziz) Kuala Lumpur. Sekolah ini mula dibuka pada 15 Mei 1939 dan guru besar pertamanya ialah Encik Abdul Manan Dato’ Betuah. Kini, sekolah ini mempunyai empat blok termasuk kantin dan lapan unit rumah kediaman guru. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
| BUDAK RAJA | BUDAK RAJA, hamba lelaki di istana. Istilah ini berkaitan dengan orang Melayu atau masyarakat Melayu Pahang dan juga negeri-negeri Melayu yang lain. Budak raja terdiri daripada sama ada orang muda daripada keluarga baik-baik; ada juga mereka yang terdiri daripada anak-anak yang dilahirkan hasil perhubungan putera-putera raja atau golongan bangsawan dengan perempuan biasa, atau mereka yang telah melakukan kesalahan jenayah di daerahnya dan meminta perlindungan raja. Oleh sebab kebanyakan budak raja ialah kaum kerabat istana atau orang besar-besar, maka budak raja boleh dianggap sebagai golongan yang memerintah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
| SERI PANGGUNG | SERI PANGGUNG, gelaran untuk watak wirawati dalam drama bangsawan. Dalam persembahan bangsawan, apabila seseorang sudah bergelar seri panggung bererti orang itu pelakon yang terkenal dan serba berkebolehan. Pelakon utama lelaki dalam bangsawan pula dipanggil orang muda. | BUDAYA | Jawatan/Gelaran |
| ADAT PERKAHWINAN TEMIAR | ADAT PERKAHWINAN TEMIAR, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Temiar di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Temiar tidak mempunyai istilah khusus untuk merujuk kepada perkahwinan kecuali perkataan ‘seklog’ yang bermaksud tidur atau tidur bersama. Masyarakat Temiar tidak membenarkan perkahwinan antara ahli keluarga dan saudara sedarah. Perkahwinan antara ahli keluarga yang rapat seperti sepupu juga tidak digalakkan. Secara umumnya masyarakat Temiar mengutamakan perkahwinan monogami, tetapi poligami khususnya poligini masih diterima oleh masyarakat ini. Perkahwinan secara endogami juga banyak berlaku berbanding dengan eksogami. Dari segi umur, orang lelaki biasanya berumur 16 tahun manakala orang perempuan lebih muda daripada itu. Selepas berkahwin, pasangan suami isteri biasanya akan membentuk keluarga asas sendiri. | BUDAYA | Konsep |