Stephenson, George (1781–1848) ialah jurutera British, hasil reka ciptanya membantu pembinaan sistem laluan kereta api British. Kemahiran Stephenson memperbaiki enjin pengangkut batu arang di dalam lombong menyebabkan dia mendapat gelaran “doktor enjin”. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membina lokomotifnya sendiri. Lokomotifnya yang pertama, Blücher (1814), mampu menarik lapan gerabak batu arang pada kelajuan 6 kilometer sejam. Kemudian, Stephenson memperkenalkan penggunaan stim yang disalurkan daripada silinder yang dapat meningkatkan tekanan angin dalam kotak api. Api akan menjadi semakin panas dan ini menghasilkan stim yang bertekanan lebih tinggi. Sebuah lagi lokomotif ciptaannya, Rocket (1829) bergerak selaju 46 kilometer sejam; satu kelajuan yang belum pernah dicapai sebelum ini. Lokomotif tersebut merupakan model bagi lokomotif stim yang dibina seterusnya. |