KATAK | Katak ialah haiwan kecil, tidak berekor dan mempunyai mata yang tersembul. Hampir semua katak mempunyai kaki belakang yang panjang. Kaki belakang yang kuat membolehkan katak melompat lebih jauh lagi daripada panjang badannya. | UMUM | |
TARSIER | Tarsier ialah mamalia kecil yang mempunyai kepala yang bulat dan mata yang luar biasa besarnya bak mata burung hantu. Seperti manusia dan beruk, tarsier tergolong dalam order primat (lihat Primat ). Tarsier hidup di Indonesia dan Filipina. Telinganya besar dan ekornya panjang, kurus dan tidak berbulu. Kaki depannya pendek dan kaki belakangnya panjang yang membantunya melompat dari dahan ke dahan tempat tinggalnya. Kesemua jari tangannya yang panjang dan kebanyakan jari kakinya mempunyai kuku, tetapi jari kakinya yang kedua dan ketiga mempunyai cakar. Tarsier tidak boleh menggerakkan matanya. Tetapi ia boleh memusingkan kepalanya hampir kesemua arah. Tarsier membesar kira-kira sebesar tikus. Ekornya boleh tumbuh sehingga 25 sentimeter panjangnya. Namanya berasal daripada tulang tarsus yang panjang pada kakinya. Tarsier tidur pada siang hari dan bergerak dari pokok ke pokok pada malam hari, memakan serangga, siput, dan cicak kecil. Pengelasan saintifik. Tarsier tergolong dalam famili tarsier, Tarsiidae. Ia adalah genus Tarsius . | UMUM | |
SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG | SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG, novel karya Azizi Haji Abdullah. Novel ini telah diterbitkan pada tahun 1982 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel yang memenangi hadiah Kedua hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1981 ini, pernah dijadikan teks mata pelajaran kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). | SASTERA | Karya |
TIKUS KANGGARU | Tikus kanggaru ialah rodensia yang melompat seperti kanggaru dengan menggunakan kaki belakangnya yang panjang dan kuat. Tikus kanggaru membesar hanya kira-kira 38 sentimeter panjangnya termasuk ekornya sepanjang lebih daripada 20 sentimeter. Ia mempunyai kaki depan yang pendek, kepala dan mata yang besar. Bulunya yang lembut berkilat berwarna kuning atau perang di bahagian atas dan putih di bahagian bawah. | UMUM | |
SIPUT | Siput ialah haiwan yang badan lembutnya biasanya diliputi cangkerang berlingkar. Siput merayap menggunakan organ berotot yang kuat yang dikenali sebagai kaki. Badannya mempunyai kepala berserta tentakel, mata, mulut, dan gigi yang halus. Mungkin terdapat lebih daripada 80 000 jenis siput. Sesetengahnya lebih kecil daripada saiz kepala jarum peniti. Yang lain membesar sehingga 60 sentimeter panjangnya. | UMUM | |
APENNINES | Apennines adalah nama banjaran gunung yang menganjur dari Teluk Genoa ke bahagian jari kaki negara Itali yang kelihatan seperti bentuk kasut. Banjaran ini mempunyai tiga bahagian, iaitu Apennines utara, Apennines tengah, dan Apennines selatan. Kawasan ini meliputi dua per tiga daripada semenanjung Itali. Gunung tua ini adalah antara bahagian paling rendah di Eropah. Gunung ini telah haus dek angin dan hujan selama berjuta-juta tahun. Kemuncak paling tinggi ialah Monte Corno (2914 meter) dan Gunung Amaro (2795 meter). Kemuncak paling terkenal ialah gunung berapi Vesuvius di Teluk Nepal. Gunung ini semata-mata terdiri daripada batu kapur dan marmar. Kuari yang terdapat berhampiran dengan Carrara terkenal kerana marmarnya yang berwarna putih bersih. Lihat juga Vesuvius. | UMUM | |
NUMBAT | Numbat ialah marsupial Australia, sebesar tikus besar. Badannya mempunyai jalur berwarna yang menyerlah dan ekornya berbulu lebat. Bahagian atas numbat berwarna merah karat dan bahagian bawahnya putih. Kaki belakang ketiga disilangi oleh kira-kira enam jalur putih; satu jalur hitam terentang pada mata dari muncung ke telinga. | UMUM | |
PERTUMBUHAN SEMULA | Pertumbuhan semula pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan, ialah keupayaan untuk menggantikan bahagian yang hilang atau yang rosak dengan tumbuhan bahagian yang baru. Pertumbuhan semula selalunya dilakukan pada tumbuh-tumbuhan. Jika pohon atau pokok renek dicantas berhampiran dengan pangkalnya, pucuk baru mungkin tumbuh daripada tunggulnya. Di kalangan haiwan, span, snidaria, dan cacing ringkas menunjukkan kuasa pertumbuhan semula yang luar biasa. Ia boleh dipotong kecil-kecil dan setiap potongan boleh tumbuh menjadi haiwan yang baru. Tapak sulaiman boleh tumbuh tangan yang baru. Udang krai, ketam, dan lain-lain haiwan berkaitan boleh tumbuh cakar, mata, dan kaki yang baru. | UMUM | |
ARNAB JACK | Arnab jack ialah satu daripada empat jenis arnab besar yang ditemui di kawasan gurun dan prairi di barat Amerika Utara. Empat jenis yang dimaksudkan ialah arnab jack berekor hitam, arnab jack berekor putih, arnab jack sebelah putih, dan arnab jack antelop. Kesemua jenis arnab ini mempunyai kaki belakang yang panjang, mata yang besar, dan telinga yang panjang dan nipis. Arnab ini mempunyai bulu berwarna kelabu kecoklatan dan perut yang berwarna putih melepak. Arnab jack jenis antelop adalah jenis arnab yang terbesar, beratnya lebih kurang 3.5 kilogram. Arnab ini membesar hampir 70 sentimeter panjangnya. | UMUM | |
KUSTA | Kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen, ialah sejenis penyakit berjangkit yang kronik. Penyakit ini khususnya menyerang bahagian kulit; membran mukus, terutamanya dalam hidung; dan sistem saraf periferal, yang merangkumi saraf yang menghubungkan saraf tunjang dengan otot-otot. Pada peringkat lanjut penyakit ini, fungsi mata, hati, limpa, otot, dan sumsum tulang juga boleh terjejas. Kusta biasanya tidak membawa maut. Walau bagaimanapun, pesakit yang tidak dijaga atau dirawat boleh mengalami kecacatan pada bentuk tangan dan kaki. | UMUM | |