DANDANG | Dandang ialah bekas logam untuk memanaskan cecair hingga berubah menjadi wap. Kebanyakan dandang memanaskan air menjadi stim wap. Stim digunakan untuk memanaskan suhu bangunan. | UMUM | |
API | Api . Kegunaan terawal api bagi manusia adalah untuk memanaskan badan. Apabila peradaban semakin maju, manusia belajar menggunakan api dengan banyak cara lain. Manusia belajar menggunakan api untuk memasak makanan, membentuk senjata dan perkakas, untuk membuat tembikar daripada tanah liat, dan untuk lampu. Tetapi manusia awal mempunyai cara yang terlalu perlahan dan agak tidak memuaskan untuk menyalakan api. | UMUM | |
KETUHAR GELOMBANG MIKRO | Ketuhar gelombang mikro ialah sejenis perkakas yang memanaskan makanan menggunakan gelombang radio pendek yang menembusi makanan itu. | UMUM | |
SUSU SEJAT | Susu sejat ialah susu manis penuh yang kirakira 60 peratus airnya telah dikeluarkan. Susu sejat disediakan dengan memanaskan susu penuh pasteur homogen dalam tangki vakum untuk menyejatkan airnya. Susu ini kemudiannya ditinkan, dikedapkan dan serta-merta disteril dengan haba. Tidak seperti susu pekat, susu sejat tidak ditambah dengan gula untuk mengawetnya, tetapi vitamin D sering ditambah untuk pemakanan. John Meyenberg, pereka berbangsa Switzerland, menerima paten pada tahun 1884 kerana pertama kali berjaya mencipta kaedah memekatkan susu tanpa menambah gula. Lihat juga Susu. | UMUM | |
KUASA ELEKTRIK | Kuasa elektrik ialah penggunaan tenaga elektrik untuk melakukan kerja. Ia menerangi, memanaskan dan menyejukkan suhu rumah. Elektrik juga dapat membekalkan kuasa untuk set televisyen, peti sejuk, pembersih vakum dan banyak lagi alat rumah. Kuasa elektrik menggerakkan jentera di kilang. Eskalator, lif dan komputer, dan banyak lagi alat bagi kegunaan di kedai dan pejabat menggunakan kuasa elektrik. Elektrik memacu dan menggerakkan kereta api dan sistem pengangkutan bawah tanah. Di ladang, jentera elektrik melakukan kerja seperti mengepam air, memerah susu lembu dan mengeringkan rumput kering. | UMUM | |
SULFUR DIOKSIDA | Sulfur dioksida ialah gas beracun tidak berwarna, dan mempunyai bau yang menusuk hidung. Sulfur dioksida terbentuk secara semula jadi daripada aktiviti gunung berapi dan daripada pereputan jirim organik. Ia boleh dibuat dengan membakar sulfur atau memanaskan sebatian sulfur logam. Ia juga dilepaskan ke dalam atmosfera oleh loji penapisan minyak, kilang dan loji kuasa elektrik yang membakar batu arang atau minyak. Dalam udara yang dihidu manusia, bahan ini boleh merengsakan mata dan sistem pernafasan. Ia juga mungkin larut dalam titisan air untuk membentuk hujan asid, yang boleh mendatangkan mudarat atau membunuh hidupan liar dan merosakkan bangunan. Hujan asid juga mungkin terbentuk apabila sulfur dioksida di udara bertukar menjadi sulfur trioksida. Banyak kerajaan mengehadkan amaun sulfur dioksida yang boleh dilepaskan oleh industri ke dalam udara. | UMUM | |
TIERRA DEL FEUGO | Tierra del Feugo ialah nama gugusan pulau yang terletak di luar di hujung paling selatan di Amerika Selatan. Tierra del Feugo bermaksud Tanah api. Nama ini diberi oleh Ferdinand Magellan pada tahun 1520 kerana dia ternampak api di sepanjang pantai. Ketika penduduk asli yang tinggal di sini biasanya memasang banyak unggun api untuk memanaskan diri, Magellan sedang mencari laluan ke Pasifik. | UMUM | |
TERMOSFERA | Termosfera ialah lapisan paling atas di atmosfera bumi. Ia bermula pada altitud lebih kurang 85 kilometer dan berterusan hingga 480 kilometer di ruang angkasa. Termosfera mengandungi hanya sebahagian kecil gas yang terdapat di atmosfera. Oleh sebab itu, tekanan atmosfera di termosfera bawah adalah satu juta kali lebih rendah daripada tekanan di aras laut. Termosfera terdedah sepenuhnya kepada sinaran matahari. Sinaran ini memanaskan atmosfera tipis di termosfera ke tahap suhu yang tinggi. Suhu meningkat dengan cepat daripada –93 ° C pada altitud 89 kilometer hingga melebihi 1500 ° C di thermopause , iaitu bahagian atas termosfera. | UMUM | |
METEOR | Meteor ialah jalur cahaya terang yang muncul dalam masa singkat di langit. Pemerhati sering menamakan meteor tahi bintang atau bintang gugur kerana ia kelihatan seperti bintang yang gugur dari langit. Kadangkala meteor yang paling terang dinamakan bola api. Meteor muncul apabila zarah atau serpihan logam atau batu yang dinamakan meteoroid memasuki atmosfera bumi dari angkasa lepas. Geseran udara memanaskan meteoroid menjadikannya berkilau dan mewujudkan ekor yang bersinar daripada gas dan zarah meteoroid lebur. Gas ini termasuk bahan meteoroid yang terwap dan gas atmosfera yang dipanaskan semasa meteoroid melalui atmosfera. Kebanyakan meteor berkilau selama kira-kira sesaat. | UMUM | |