MODULASI FREKUENSI | Modulasi frekuensi, biasanya dikenali sebagai FM, ialah kaedah menghantar isyarat bunyi melalui gelombang radio. Modulasi frekuensi dan modulasi amplitud (AM) adalah dua cara utama memancarkan muzik dan pertuturan. | UMUM | |
SPICA | Spica ialah bintang yang paling cerah dalam buruj Virgo. Spica paling jelas kelihatan di langit senja pada musim bunga. Ia terletak lebih kurang 220 tahun cahaya dari Bumi dan memancarkan cahaya sehingga 2400 kali ganda cahaya matahari (lihat Tahun cahaya). | UMUM | |
SIRIUS | Sirius, yang juga dikenali sebagai Bintang Anjing, ialah bintang yang paling terang yang dapat dilihat dari bumi pada waktu malam. Saiz Sirius lebih kurang sama dengan saiz matahari, tetapi memancarkan hampir-hampir 30 kali ganda cahaya. Bintang ini merupakan bintang magnitud pertama (lihat Bintang [Mengukur kecerahan]). | UMUM | |
MOSELEY, HENRY GWYN-JEFFREYS | Moseley, Henry Gwyn-Jeffreys (1887–1915), ahli fizik yang terkenal dengan kajiannya tentang sinar-x. Pada sekitar tahun 1913, dia menemui hubungan yang sistematik antara spektrum sinar-x dan nombor atom bagi unsur yang memancarkan sinar-x tersebut. Penemuan ini membolehkan ahli sains menentukan nombor atom bagi elemen yang tidak diketahui dan menyusun unsur tersebut di tempat yang betul di dalam jadual berkala (lihat Unsur kimia). | UMUM | |
ARKA ELEKTRIK | Arka elektrik ialah lengkung haba dan cahaya yang kuat yang terbentuk apabila arus elektrik yang kuat melompat merentasi lompang antara dua elektrod. Gas dalam udara yang terdapat di antara dua elektrod berperanan sebagai konduktor dan memancarkan arus merentasi lompang itu. | UMUM | |
SODDY, FREDERICK | Soddy, Frederick (1877–1956) ialah ahli kimia British yang menjalankan penyelidikan tentang struktur atom. Dia menerima Hadiah Nobel tahun 1921 untuk kimia kerana penyelidikannya. Dia, dan Ernest Rutherford, menunjukkan bahawa unsur radioaktif berubah bentuk menjadi unsur kimia yang lain semasa ia memancarkan keradioaktifan. Soddy memberi nama isotop kepada atom daripada unsur yang sama yang berbeza beratnya, (lihat Isotop). Soddy lahir di Eastbourne, Sussex, England dan menuntut di Oxford University. Dia juga mengajar di universiti tersebut. | UMUM | |
NOVEL HIKAYAT | NOVEL HIKAYAT, bentuk novel Melayu yang memancarkan dua ciri khusus, iaitu ciri moden dan ciri tradisional. Novel ini terhasil sebelum Perang Dunia Kedua. | SASTERA | Penerbitan |
RUMAH API | Rumah api ialah menara yang memancarkan cahaya yang kuat sebagai bantuan pandu arah kepada pelaut. Rumah api membantu pelayar menetapkan kedudukan mereka, menandakan bahawa tanah daratan semakin hampir, dan memberi amaran tentang kawasan berbatu dan terumbu yang berbahaya. | UMUM | Umum |
KUNANG-KUNANG | Kunang-kunang ialah mana-mana anggota daripada satu famili khusus kumbang berbadan lembut yang terkenal kerana mengeluarkan cahaya berkerlipan. Terdapat kira-kira 1900 spesies (jenis) kunang-kunang. Anggota famili kunang-kunang hidup di semua benua kecuali di Antartika. Banyak spesies kunang-kunang aktif pada waktu awal malam, apabila ia boleh dilihat terbang terawang-awang dengan senyap di padang rumput dan laman rumput, memancarkan cahaya kuning. | UMUM | |
TAYLOR, G.A. | Taylor, G.A. (1872–1928) ialah juruterbang dan juruteknik perintis Australia yang dianggap oleh ramai ahli sejarah sebagai orang yang melakukan penerbangan pertama di Australia. Dia membuat penerbangan tersebut pada tahun 1909 di Narrabeen, Sydney, dengan sebuah pesawat udara peluncur yang dibinanya. Pada awal tahun 1900-an, dia cuba mencari-cari prinsip-prinsip penerbangan, dan pada tahun 1908, dia mula membina serangkaian layang-layang kotak. Pada tahun berikutnya, dia menubuhkan Aerial League dan dari sinilah gerakan kelab penerbangan Australia berkembang. Pada tahun 1910 dan tahun 1911, Taylor berjaya memancarkan mesej radio dari sebuah kereta api yang bergerak ke kereta api lain. George Augustine Taylor lahir di Sydney. | UMUM | |