TEORI MAKLUMAT | Teori maklumat , memerihalkan bagaimana mesej dipancar dan diterima melalui sistem maklumat elektronik seperti televisyen, radio atau telegraf. Teori ini menyediakan hukum matematik bagi menentukan kebarangkalian bahawa semua bahagian mesej yang tersendiri, yang dikenal sebagai bit , akan dipancar tanpa sebarang herotan. Jurutera-jurutera elektronik kemudian menggunakan hukum tersebut bagi meningkatkan keupayaan, kecekapan, dan kejelasan sistem maklumat. Penerapan praktik hukum-hukum ini disebut sebagai sains maklumat. | UMUM | |
PERANG DINGIN | Perang Dingin ialah istilah yang digunakan bagi memerihalkan persaingan hebat yang tercetus selepas Perang Dunia II pada tahun 1945 antara kumpulan negara komunis dengan negara bukan komunis. Pada satu pihak terdapat Kesatuan Republik Sosialis Soviet (K.R.S.S.) dengan sekutu komunisnya yang sering dirujuk sebagai Blok Timur . Di sebelah pihak yang lain pula ialah Amerika Syarikat dengan sekutu demokrasinya yang biasanya dirujuk sebagai Blok Barat . Pergelutan kuasa tersebut dinamakan Perang Dingin kerana ia tidak membawa kepada peperangan sebenar atau perang “panas” pada skala yang luas. | UMUM | |
STRABO | Strabo (63 S.M.?– 24 M.?) ialah ahli geografi dan sejarah Yunani. Dia menjadi terkenal kerana penulisan Geography sebanyak 17 jilid yang memerihalkan seluruh bahagian dunia yang diketahui ketika itu. Jilid-jilid tersebut adalah sumber maklumat geografi yang terbaik tentang negara-negara Mediterranean pada permulaan Zaman Kristian. Strabo juga menulis suatu sejarah yang panjang tetapi kini telah hilang. Dia lahir di Amasia, Pontus. Dia menuntut di Rom dan Iskandariah, dan mengembara ke negara Arab, selatan Eropah, serta utara Afrika. | UMUM | |
DIMENSI KEEMPAT | Dimensi keempat. Biasanya, kita memikirkan ruang terdiri daripada tiga dimensi: panjang, lebar dan tinggi. Sebuah kotak berukuran 6 meter panjang, 4 meter lebar, dan 2 meter tinggi boleh digambarkan oleh set nombor yang tertib (6, 4, 2). Set sedemikian juga boleh digunakan untuk memerihalkan kedudukan suatu titik dalam ruang– contohnya, kedudukan sebuah kapal terbang. Namun, ketiga-tiga nombor ini tidak dapat mewakili kedudukan kapal terbang yang sedang bergerak. Untuk menandakan kapal terbang yang sedang dalam penerbangan pada kedudukan tertentu, seperti (6, 4, 2), kita perlukan dimensi keempat, iaitu masa. | UMUM | |
AUTISME | Autisme ialah gangguan perkembangan yang teruk yang bermula sebelum kanak-kanak berumur empat tahun. Keadaan ini jarang berlaku dan muncul sebagai sekumpulan simptom, yang paling jelas ialah ketidakupayaan untuk berhubung dengan orang lain. Autisme tulen, juga dikenali sebagai autisme kebayian awal atau autisme kebayian , terjadi pada lebih kurang seorang dalam setiap 700 orang kanak-kanak. Kanak-kanak lelaki lebih mudah terkena penyakit ini berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Belum ada penawar lagi bagi penyakit ini. Istilah autistik kadangkala digunakan untuk memerihalkan orang yang mengalami masalah emosi yang teruk yang menyamai autisme. | UMUM | |