Daya memusat ialah daya yang memaksa sesuatu benda bergerak dalam laluan membulat. Mengikut hukum inersia, dengan ketiadaan daya, sesuatu objek bergerak dalam garisan lurus dengan kelajuan yang tetap. Daya luar mesti bertindak ke atas objek itu untuk membuatkannya bergerak dalam laluan yang melengkung. Apabila anda memusing seketul batu yang diikatkan pada benang, anda mesti menarik benang itu untuk menahan batu tersebut daripada melayang dalam satu garisan yang lurus. Daya yang digunakan oleh benang pada objek itu ialah daya memusat. |