TAMAN TEMA | Taman tema ialah pusat hiburan luar yang menawarkan aktiviti tunggangan, permainan, pameran, dan pertunjukan yang berdasarkan satu atau lebih idea istimewa, atau tema. Penggunaan tema merupakan perbezaan utama di antara taman tema dan taman hiburan tradisional. Taman hiburan menawarkan pilihan pelbagai jenis hiburan, seperti pengenderaan roller-coaster , roda ferris, kuda pusing, dan permainan sampingan termasuk baling kelapa, dan galeri sasar. Taman tema menawarkan hiburan berkaitan antara satu sama lain dengan idea yang biasa seperti hidupan liar, pengembaraan angkasa, atau cara manusia hidup pada zaman silam. Di dalam taman hiburan, pengunjung perlu membayar untuk setiap permainan, tunggangan, atau hiburan lain secara berasingan. Di dalam taman tema, pengunjung biasanya membayar sekali gus untuk masuk dan menyertai semua acara permainan dan hiburan. | UMUM | |
RASUAH | Rasuah ialah perbuatan memberi atau menawarkan sesuatu yang berharga kepada seseorang yang mempunyai kedudukan yang dipercayai sebaliknya melanggar tugas, atau undang-undang untuk memberi faedah kepada pemberi rasuah. | UMUM | |
BAHAGIAN BAHASA MELAYU USM | BAHAGIAN BAHASA MELAYU USM, bahagian yang menawarkan kursus Bahasa Melayu kepada guru Bahasa Melayu. Bahagian ini ditubuhkan pada sidang akademik 1980/81 dalam Unit Bahasa Universiti Sains Malaysia. | BAHASA | Konsep |
MIGRASI | Migrasi, dalam istilah biologi ialah perpindahan haiwan ke satu tempat yang menawarkan keadaan kehidupan yang lebih baik. Banyak burung, ikan, serangga, dan mamalia selalu bermigrasi untuk mengelakkan perubahan keadaan cuaca dan bekalan makanan yang tidak sesuai. Manusia juga bermigrasi, atau berhijrah, tetapi mereka berbuat demikian atas sebab politik, sosial dan juga biologi. | UMUM | |
LIGA ANTARABANGSA LA LECHE | Liga Antarabangsa La Leche ialah sebuah pertubuhan wanita yang menawarkan maklumat dan galakan kepada para ibu yang hendak menyusui anaknya. La leche adalah perkataan sepanyol yang bermaksud susu. Liga ini menyediakan kaunseling dan pendidikan kepada ibu bapa dan orang profesional melalui pertemuan, seminar dan penerbitan. | UMUM | |
PESTA DUNIA | Pesta dunia ialah pameran antarabangsa yang memperagakan barangan yang berkaitan dengan perdagangan, industri dan sains. Kebanyakan pesta ini menawarkan aktiviti hiburan dan kebudayaan serta mempromosikan pelancongan dalam sesuatu wilayah atau negara. Peserta pameran termasuklah syarikat kerajaan dan syarikat swasta. | UMUM | |
SMITH | Smith ialah nama keluarga dua bersaudara Australia yang membuat penerbangan pertama antara United Kingdom (UK) dengan Australia. Pada tahun 1919, kerajaan persekutuan Australia menawarkan hadiah kepada rakyat Australia yang berjaya terbang dari United Kingdom ke Australia dalam 30 hari. Kedua-dua bersaudara itu, bersamasama James Bennett dan Wallace Shiers, menerbangkan pesawat pengebom Vimy Vickers dari United Kingdom ke Australia dalam masa 28 hari. Hanya mereka berdua berjaya melengkapkan penerbangan dalam masa yang ditetapkan. Keduadua bersaudara itu dikurniakan darjah kesateria kerana kejayaan mereka. | UMUM | |
PERWAKILAN BERKADAR | Perwakilan berkadar ialah satu sistem memilih anggota dewan perundangan. Sistem ini dirangka untuk memberi parti politik dalam dewan perundangan kerusi menurut kadar bahagiannya daripada jumlah keseluruhan undi dalam pemilihan. Sistem ini juga menawarkan peluang kepada calon parti minoriti supaya dapat dipilih. Perwakilan berkadar mempunyai tiga ciri asas: (1) tiga orang atau lebih ahli dewan perundangan dipilih dari tiap-tiap daerah pada waktu yang sama; (2) kertas undi dikira dengan cara khas untuk memberikan setiap parti politik bahagian undi yang dibuang; dan (3) biasanya terdapat lebih daripada dua buah parti politik yang aktif. Unsur- unsur ini terdapat dalam Sistem Senarai dan Sistem Hare . | UMUM | |
BURSA DERIVATIF MALAYSIA BERHAD | Bursa Derivatif Malaysia Berhad ialah bursa yang menawarkan Kontrak Hadapan dan Opsyen yang beroperasi di bawah Akta Industri Hadapan 1993. | EKONOMI DAN PENGURUSAN | Institusi/Organisasi |
AGENSI PELANCONGAN | Agensi pelancongan ialah perniagaan yang membantu mengatur perjalanan dan percutian orang ramai dengan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pemergian mereka. Agensi pelancongan membuat tempahan bilik hotel dan pengangkutan serta mengatur perjalanan untuk melihat tempat-tempat yang menarik. Agensi ini juga menawarkan panduan bagi pelanggannya untuk memperoleh pasport dan visa yang diperlukan untuk melancong ke luar negara. Agensi pelancongan juga memberikan maklumat tentang undang-undang dan peraturan sesebuah negara kepada pelanggannya. Agensi ini mengatur pelancongan untuk orang perseorangan atau secara berkumpulan. | UMUM | |