| MAKANAN SEJUK BEKU | Makanan sejuk beku. Penyejukbekuan ialah satu daripada cara yang terbaik untuk mengawet makanan. Syarikat pemproses makanan menyejukbekukan makanan seperti makanan panggang, jus oren, daging, piza, sayur-sayuran dan makanan pramasak lengkap. Ramai orang menyejukbekukan makanan di rumah. Penyejukbekuan mengawet makanan dengan mencegah pertumbuhan mikrob yang merosakkan makanan dan dengan melambatkan tindak balas kimia perosak makanan. Semua makanan sejuk beku hendaklah disimpan pada suhu –18°C atau di bawah suhu ini. | UMUM | |
| TAKSIDERMI | Taksidermi ialah teknik untuk mengawet haiwan untuk menunjukkannya seperti rupanya semasa ia hidup. Perkataan taksidermi berasal daripada dua perkataan Yunani yang bermakna susunan dan kulit . Muzium sejarah alam semula jadi biasanya mempamerkan pelbagai haiwan dalam latar semula jadinya. | UMUM | |
| MAKANAN TERNAKAN | Makanan ternakan ialah istilah bagi makanan yang diberikan kepada haiwan ternakan. Makanan pelawas (makanan kasar) yang digunakan termasuk kacang soya, kacang duduk, dan tumbuh-tumbuhan padang rumput ternak seperti rumput dan alfalfa. Sesetengah tumbuh-tumbuhan ini dikeringkan dan diberikan kepada haiwan ternakan sebagai rumput kering. Penternak sering mengawet keseluruhan pokok jagung dan lain-lain tanaman, dan menggunakannya sebagai makanan ternakan yang dikenali sebagai silaj . Bijian jagung, betari atau barli boleh dikisar dan dicampurkan dengan bahan lain untuk membuat satu lagi makanan ternakan. | UMUM | |
| ASAP | Asap terdiri daripada zarah pepejal dan cecair yang terbahagi kepada bahagian-bahagian kecil yang terampai di dalam gas. Asap terbentuk terutamanya daripada zarah karbon yang terhasil daripada pembakaran bahan api. Asap boleh membahayakan paru-paru. Asap juga menghitamkan bangunan, menghakis logam, dan merosakkan tumbuhan. Semua ini mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar. Asap mempunyai sedikit kegunaan. Ini termasuklah mengawet daging, menghasilkan isyarat tentera berwarna, dan melindungi dusun daripada kesan fros. | UMUM | |
| TERMOS | Termos ialah bekas penyimpan cecair panas atau sejuk untuk beberapa jam. Ia juga dikenali sebagai kelalang vakum atau kelalang Dewar . Botol termos mempunyai beberapa saiz, berbeza mengikut kapasiti, iaitu daripada 60 mililiter hingga 60 liter. Ia juga mempunyai pelbagai kegunaan. Termos lazimnya digunakan untuk membawa minuman seperti kopi, jus, susu, ataupun sup. Termos juga digunakan dalam kerja perubatan dan saintifik untuk menyimpan ubat-ubatan dan bahan kimia, memindahkan tisu dan organ dan untuk mengawet plasma darah. | UMUM | |