KECERDASAN | Kecerdasan. Manusia mempunyai perbezaan dalam kecepatan mereka mempelajari sesuatu perkara dan sebaik serta selama mana mereka mengingati sesuatu idea. Mereka juga berbeza dalam keupayaan untuk memahami idea dan menggunakan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Contohnya, sesetengah orang boleh menyelesaikan masalah matematik dengan cepat. Sesetengahnya pula boleh memahami dengan cepat cara mesin beroperasi. Ada pula orang yang dengan mudah dapat mempelajari perkataan baru atau bahasa asing. Kesemua keupayaan ini – dan banyak lagi – ialah faktor yang dinamakan kecerdasan. | UMUM | |
KENDURI | KENDURI, jamuan makan yang lazimnya didahului dengan bacaan doa, zikir dan seumpamanya yang diadakan sempena sesuatu peristiwa, seperti perkahwinan, kelahiran, ataupun mengingati sesuatu peristiwa seperti mengingati orang yang telah meninggal, upacara maulid dan seumpamanya. Juadah yang dihidangkan itu bergantung pada jenis kenduri yang diadakan. Kenduri bersempena majlis perkahwinan, biasanya dihidangkan nasi minyak; dan kenduri sempena mengkhatankan anak biasanya pulut kuning dihidangkan menyertai hidangan nasi. | BUDAYA | Konsep |
MEMORI | Memori ialah kebolehan untuk mengingat sesuatu yang sudah dipelajari atau yang pernah dialami. Memori merupakan bahagian penting dalam proses pembelajaran. Jika kita tidak mengingati langsung tentang masa lampau, maka kita tidak akan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Semua pengalaman kita akan hilang sebaik sahaja pengalaman tersebut berakhir dan setiap keadaan baru betul-betul merupakan suatu perkara yang asing. Tanpa memori kita akan mengalami pengalaman yang sama berulang kali untuk “pertama kalinya”. Kita juga akan kehilangan nikmat yang diberikan oleh memori kepada kehidupan – nikmat kenangan yang indah di samping kenangan yang menyedihkan. | UMUM | |
PERAYAAN UMAT ISLAM | Perayaan Umat Islam ialah hari kemuliaan, iaitu himpunan amalan yang berkaitan dengan ibadat dan adat. Dari segi amalan ibadat ialah solat, zikir (mengingati Allah), tahlil (berzikir dengan kalimah tauhid “Lailahaillallah”), tasbih (memuji Allah S.W.T. dengan Subhanallah) dan takbir (mengagungkan Tuhan dengan Allahu Akbar). Manakala adat kebiasaan pula seperti makan, minum, pakaian, perhiasan, kelapangan, kegembiraan dan amalan yang diharuskan dalam Islam. | UMUM | |
MIMPI BURUK | Mimpi buruk ialah mimpi yang menakutkan atau pengalaman seperti mimpi yang membangunkan orang yang tidur. Selepas terjaga daripada kebanyakan mimpi buruk, seorang itu boleh mengingati semula mimpi yang menyebabkan ketakutan. Jenis peristiwa tidur lain yang menakutkan disebut keganasan malam, berlaku tanpa mimpi sebenar. Orang yang tidur akan terjaga dalam keadaan takut pada awal malam, sering kali dengan perasaan tekanan di dada. Ketakutan malam berlaku pada permulaan semasa tidur. Mimpi buruk yang sebenar berlaku kemudian, semasa tidur bermimpi (lihat Tidur [Apa yang berlaku semasa tidur]). | UMUM | |
MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA | Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, memorial yang menyimpan dan mempamerkan barang-barang milik Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ia ditubuhkan untuk mengingati dan mengenang jasa dan sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra kepada negara. Memorial ini menjaga, menyimpan, dan memulihara segala bahan-bahan arkib, muzium dan perpustakaan milik Tunku Abdul Rahman Putra dan hal-hal yang berkaitan dengannya, mempamerkan kepada pelawat bahan-bahan miliknya dan yang berkaitan dengannya,dan menyediakan kemudahan rujukan kepada penyelidik tentang sejarah perjuangan, jasa serta sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra kepada negara. Memorial ini turut berperanan menimbulkan kesedaran dan nasionalisme kepada generasi sebagai monumen yang kekal sebagai peninggalan sejarah, dan untuk menjadikannya sebagai salah satu tarikan kepada pelancong. | UMUM | |
SURAH AL-HAJJ | Surah al-Hajj ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang ke-22 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 78 ayat. Surah ini dinamakan al-Hajj sebagai mengingati seruan Nabi Ibrahim a.s. selepas selesai membina Kaabah yang menyeru manusia menunaikan haji di Baitullah al-Haram. | UMUM | |
NABI SALIH A.S. | Nabi Salih a.s. diutuskan kepada kaum Thamud. Nabi Salih a.s. menyeru kaum Thamud agar menyahut seruan baginda iaitu menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa. Baginda mengajak kaum baginda agar sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Namun kaum Thamud menolak mentah-mentah seruan Nabi Salih a.s. dan menuduh baginda sebagai ahli sihir. | UMUM | |
SATURNALIA | Saturnalia ialah pesta Rom purba untuk menghormati Saturn, iaitu dewa pertanian. Pesta Saturnalia bermula pada 17 Disember. Pada mulanya, ia berlangsung selama dua hari, tetapi akhirnya dilanjutkan selama seminggu. Saturnalia mungkin bermula sebagai perayaan kesyukuran untuk mengingati penanaman musim sejuk. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ia kehilangan kepentingan pertaniannya dan menjadi pesta bersuka ria. Malah golongan hamba juga diberikan pelepasan sementara bagi merayakan hari ini. Pesta ini adalah dalam bentuk jamuan, lawatan dan pemberian hadiah. Hadiah yang paling popular dalam perayaan ini ialah lilin dan patung tanah liat yang kecil. Lihat juga Saturn (Dewa Rom). | UMUM | |
SURAH AL-BAQARAH | Surah al-Baqarah ialah salah satu daripada surah-surah Madaniyyah, surah yang kedua mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 286 ayat. Surah ini dinamakan al- Baqarah (lembu betina) untuk mengingati mukjizat terbesar yang berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. Ia mengandungi kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah dibunuh. Pembunuhnya tidak dapat diketahui. Mereka mengemukakan perkara ini kepada Nabi Musa a.s. dengan harapan baginda dapat mengetahui siapa si pembunuhnya. Lalu Allah S.W.T. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. supaya memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu betina dan memukul si mati dengan sebahagian dagingnya. Maka, dengan izin Allah S.W.T. si mati itu hidup semula dan memberitahu mereka siapa pembunuhnya. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah S.W.T. yang dapat menghidupkan makhluk sesudah ia mati. | UMUM | |