THOMPSON, DAVID | Thompson, David (1770–1857) ialah ahli geografi dan penjelajah Kanada yang menjelajah Sungai Columbia dari puncanya di Kanada sehingga muaranya di Amerika Syarikat. Dia menjelajah kawasan yang luas di Kanada dan mengukur punca paling utara Sungai Mississippi di Amerika Syarikat. Dari tahun 1816 hingga tahun 1826, dia menjadi juruukur sempadan Amerika Syarikat-Kanada. Thompson lahir di Westminster, London, England dan mendapat latihan di Hudson Bay Company ketika berusia 14 tahun. Thompson bekerja di North West Company dari tahun 1797 hingga tahun 1812. | UMUM | |
TASMAN, ABEL JANSZOON | Tasman, Abel Janszoon (1603–1659), kapten kapal Belanda yang telah menjelajah Lautan Pasifik Selatan. Pada tahun 1642, dia belayar dari Jawa dan menjadi orang Eropah yang pertama melawat Tanah Van Diemen Land (kini Tasmania) dan New Zealand. Perjalanannya melalui tanah besar Australia tidak disedarinya. Dia tidak dapat melihat tanah besar ini. Ketika pelayarannya yang kedua pada tahun 1644, dia menjelajah bahagian utara dan barat pantai Australia . | UMUM | |
SPEKE, JOHN HANNING | Speke, John Hanning (1827–1864) ialah penjelajah British yang menjelajah ke beberapa tempat di bahagian timur Afrika. Pada tahun 1858, Speke bersama-sama Sir Robert Burton menjadi orang Eropah pertama sampai ke Tasik Tanganyika. Ketika Burton terbaring sakit, Speke menemui Tasik Victoria dan mengagak bahawa ia Punca Sungai Nil. Speke mengesahkan teorinya semasa ekspedisi terakhirnya pada tahun 1864. | UMUM | |
ERICSON, LEIF | Ericson, Leif (980?M–1025?M), penjelajah Norway yang memimpin satu ekspedisi yang mungkin merupakan ekspedisi Eropah pertama menjelajah tanah besar Amerika Utara. | UMUM | |
YOUNGHUSBAND, SIR FRANCIS | Younghusband, Sir Francis (1863–1942) ialah pegawai tentera British yang banyak melakukan penjelajahan di kawasan tengah Asia. Pada tahun 1886, dia menjelajah Manchuria. Salah satu pengembaraannya yang utama adalah pada tahun 1887, iaitu dari Beijing, di China, menuju Simla, di India, dengan merentasi gurun Gobi. | UMUM | |
SUNGAI HUDSON | Sungai Hudson ialah salah satu jalan air perdagangan yang terpenting di Amerika Syarikat. Pelabuhan New York City terletak di muara sungai ini. Pada tahun 1609, Henry Hudson menjadi orang kulit putih pertama menjelajah sungai ini dan sungai ini diberi nama bersempena dengan namanya. Sungai Hudson kadangkala dikenali sebagai Rhine of America kerana sebahagian tebingnya yang cantik menyerupai tebing Sungai Rhine di negara Jerman. Sungai Hudson ini memainkan peranan yang penting dalam sejarah Amerika Syarikat. | UMUM | |
ARMSTRONG, NEIL ALDEN | Armstrong, Neil Alden (1930– ), angkasawan Amerika Syarikat, adalah manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Pada 20 Julai 1969, Armstrong dan Edwin E. Aldrin, Jr. mendaratkan modul lunar Apollo 11 di bulan, keluar dari modul tersebut dan menjelajah permukaan bulan. Lihat Penjelajahan angkasa (Apollo: Misi ke bulan: gambar). | UMUM | |
KROPOTKIN, PETER | Kropotkin, Peter (1842–1921), ahli geografi dan penulis politik Rusia yang berpegang kepada fahaman anarkisme. Dia lahir di Moscow, Kropotkin. Dia sebenarnya seorang putera raja tetapi dia membuang gelaran diraja ini. Dari tahun 1867 hingga 1871, dia menjelajah ke Siberia, Manchuria, Finland dan Sweden. Pada tahun 1873, Kropotkin menerbitkan sebuah peta baharu utara Asia. | UMUM | |
ORANG VIKING | Orang Viking merupakan kaum pelaut yang bangkit untuk menguasai utara Eropah pada zaman pertengahan. Sejarah cenderung menggambarkan mereka sebagai pahlawan dan lanun bengis yang mengganas di Eropah sejak akhir tahun 700-an hingga kira-kira tahun 1100. Walau bagaimanapun, pada ketika itu kelasi Viking yang berani juga menjelajah Lautan Atlantik Utara malah hingga ke Amerika. Tindakan rompakan di laut dan penjelajahan mereka ini telah menyebabkan zaman ini dinamakan Zaman Viking dalam sejarah Eropah. Sungguhpun demikian, orang Viking juga merupakan pelukis, pencerita dan juga penyair yang mempunyai bakat semula jadi. | UMUM | |
SETINGGAN | Setinggan ialah orang yang tinggal di atas sebidang tanah tetapi tidak mempunyai hak milik atau apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa dia memiliki tanah berkenaan. Dalam sesetengah kes, seseorang setinggan boleh membuat tuntutan yang sah terhadap tanah tertentu sekiranya tidak ada orang lain yang mempunyai tuntutan yang sah di sisi undang-undang terhadap tanah yang sama. Pada beberapa zaman tertentu dalam sejarah, para peneroka telah menjelajah ke kawasan yang belum diduduki dan kemudiannya menuntut hak milik terhadap tanah tersebut. Di Australia dan di Amerika Syarikat, ramai setinggan menduduki tanah yang belum lagi disukat ataupun diukur dan yang belum pernah mempunyai sebarang hak milik. Mereka mendirikan rumah dan membersihkan tanah berkenaan. Dengan berbuat demikian, mereka percaya bahawa mereka telah beroleh hak untuk membeli tanah berkenaan pada harga yang minimum apabila kerajaan menjualnya. | UMUM | |