PERGUNUNGAN GLASSHOUSE | Pergunungan Glasshouse menjulang di sebelah timur Banjaran Blackall di bahagian tenggara Queensland, Australia. | UMUM | |
ALPS | Alps ialah sistem pergunungan yang terbesar di Eropah. Puncaknya yang menjulang tinggi dilitupi salji dan lembahnya yang damai menjadikannya salah satu pemandangan yang paling menakjubkan di benua Eropah. | UMUM | |
BUTTE | Butte ialah bukit atau gunung kecil yang berlereng curam yang terdiri sendirian, menjulang tegak di sekitar kawasan desa. Perkataan butte ialah perkataan Perancis yang bermakna timbunan. | UMUM | |
PERGUNUNGAN OLIMPIK | Pergunungan Olimpik ialah sebahagian Banjaran Pantai Pasifik di Amerika Syarikat. Pergunungan ini menjulang di utara Washington dan meliputi kawasan seluas kira-kira 9060 kilometer persegi, kebanyakannya terletak di Taman Negara Olympik. | UMUM | |
AUSTRIA | Austria ialah negara kecil di tengah Eropah yang terkenal dengan keindahan pemandangan pergunungannya. Pergunungan Alps yang menjulang dan kaki bukitnya terbentang merentasi barat, selatan dan bahagian tengah negara ini. Di banyak kawasan, lembah yang luas, dan menghijau memisahkan gunung-ganang. Austria mempunyai banyak tasik yang cantik dan jernih. Hutan tebal meliputi kebanyakan tanah di negara ini. | UMUM | |
TIBET | Tibet ialah kawasan di sebelah selatan Asia Tengah. Ia selalu digelar Bumbung Dunia. Gunung-ganangnya diseliputi salji dan penaranya yang terdedah kepada angin adalah yang tertinggi di dunia. Gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, menjulang sepanjang kawasan pergunungan di bahagian selatan Tibet. Ka-erh, di barat Tibet dipercayai bandar tertinggi di dunia. Ia terletak lebih daripada 4570 meter di atas aras laut. Dasar lembah di Tibet lebih tinggi daripada puncak gunung di kebanyakan negara lain. Lhasa ialah ibu negara Tibet. | UMUM | |
STROMBOLI | Stromboli ialah sebuah pulau di Laut Tyrrhenian di luar pantai timur laut Sicily (lihat Itali [peta muka bumi]). Pulau ini meliputi lebih kurang 12 kilometer persegi dan mempunyai 386 orang penduduk. Stromboli terkenal kerana gunung berapinya yang menjulang setinggi 924 meter. Gunung berapi ini ialah salah sebuah daripada sebilangan kecil gunung berapi di Eropah yang sentiasa aktif. Penulis zaman purba pernah melaporkan aktiviti gunung berapi ini berkurun-kurun yang lalu. Ledakan gunung berapi yang membawa kemusnahan jarang-jarang berlaku di Stromboli kerana laharnya mengalir bebas, dan tidak mengumpulkan tekanan dalaman yang boleh menyebabkan ledakan dahsyat. | UMUM | |
OLGAS | Olgas merupakan sekumpulan singkapan batu besar dan bulat yang terletak 32 kilometer di barat Ayers Rock di Wilayah Utara Australia. Ia meliputi kawasan seluas 25 kilometer persegi, dan dikelilingi oleh dataran gumuk pasir. Gunung Olga, puncak yang tertinggi, menjulang setinggi 1025 meter di atas aras laut. | UMUM | |
RIMU | Rimu ialah nama bagi beberapa spesies pokok tinggi di New Zealand. Satu spesies juga dikenali sebagai pain merah . Kayunya, yang bercorak cantik dan sangat berharga, digunakan untuk membina rumah. Rimu boleh ditanam untuk mengawal hakisan tanah. Pokok ini tumbuh menjulang tinggi, dengan dahannya yang melentok berwarna hijau pucat dan daun halus yang tumbuh rapat pada batangnya. Seperti semua pain, pokok ini mempunyai bunga yang tidak menyerlah sama ada bunga jantan atau bunga betina. Bunganya tumbuh di hujung dahan; bunga jantan dalam “bentuk mayang” dan bunga betina dalam bentuk kon kecil. Setiap pokok mengeluarkan hanya bunga jantan atau bunga betina. | UMUM | |
TASIK TE ANAU | Tasik Te Anau ialah tasik yang terbesar di Pulau Selatan New Zealand. Tasik ini luasnya 344 kilometer persegi dan panjangnya melebihi 64 kilometer. Ia mempunyai tiga buah terusan yang panjang yang menganjur ke luar ke arah pergunungan di bahagian barat. Kebanyakan puncak gunung di sekeliling tasik ini menjulang hingga melebihi 1800 meter di atas aras laut. Te Anau, sebuah bandar kecil di hujung selatan tasik ini, merupakan tempat percutian yang popular. Antara tarikannya ialah perjalanan dengan bot di Tasik Te Anau. Tasik ini juga merupakan tempat permulaan Milford Track, iaitu lorong pejalan kaki yang mengambil masa selama tiga hari untuk sampai ke Milford Sound. Untuk lokasi, lihat New Zealand (peta rupa bumi). | UMUM | |