Ahli Suffah ialah golongan fakir miskin mukmin dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang tidak mempunyai rumah untuk didiami. Oleh itu, mereka mendiami suatu sudut yang teduh di Masjid Nabawi di Madinah. Mereka dikenali dengan nama Ahli Suffah dan kadang-kadang disebut juga sebagai Ashab al-Zillah (orang yang berteduh) dan Duyuf al- Islam (tetamu Islam). Perkataan Suffah ialah perkataan Arab dan apabila dikaitkan dengan bangunan, ia bererti sesuatu bahagian yang teduh di dalam bangunan itu, yang menyerupai ruang legar yang luas dan tinggi. Ibn Taymiyyah berkata, “ Al-Suffah yang dikaitkan dengan nama Ahli Suffah kalangan sahabat Nabi SAW, terletak di bahagian hujung sebelah utara masjid Nabi SAW di Madinah al-Munawwarah.” Ia ialah tempat fakir miskin dari kalangan orang mukmin berteduh, iaitu mereka yang tidak mempunyai keluarga dan tidak ada tempat berteduh. |