| SAMOSET | Samoset (1590?–1655) ialah salah seorang Orang Asli Amerika yang menjadi sahabat awal kepada penduduk Pilgrim dari Tanah Jajahan Plymouth di Amerika Syarikat. Dia ialah sagamore (ketua) Orang Asli Amerika suku Pemaquid dan mula berhubungan dengan orang Inggeris apabila dia bertemu dengan beberapa orang nelayan Inggeris di pinggir laut Maine. Dia belajar sedikit bahasa Inggeris daripada mereka. Pada bulan Mac 1621, Samoset mengejutkan penduduk tanah jajahan Plymouth dengan muncul di jalan raya serta mengalu-alukan kedatangan mereka dalam bahasa Inggeris pasar. Kemudian, dia memperkenalkan para pemimpin tanah jajahan itu kepada Massasoit, ketua Orang Asli Amerika kawasan Plymouth. Pada tahun 1625, Samoset membuat surat ikatan pemindahan tanah Orang Asli Amerika kepada penduduk tanah jajahan Inggeris, iaitu yang dipercayai surat ikatan yang pertama. Dia memindahkan 4856 hektar tanah puaknya kepada John Brown, salah seorang peneroka di situ. | UMUM | |
| ORANG NORMAN | Orang Norman ialah sekumpulan orang Viking, atau Norsemen (orang Scandinavia), yang mula- mula menduduki utara Perancis, kemudiannya mara ke England, selatan Itali, dan Sicily. Pada tahun 800-an M., pahlawan Norman memulakan penaklukan dengan menyerang pantai dan lembah sungai di Perancis. Menjelang tahun 900-an M., mereka sudah pun menetap di wilayah Perancis yang terletak berhampiran muara Sungai Seine, yang sekarang dikenali sebagai Normandy. Pada tahun 911 M., seorang ketua Norman, Hrolf atau Rollo (860?–931?) menjadi duke untuk raja Frank, Charles Yang Sederhana (Charles the Simple). Orang Norman pun menganut agama Kristian dan menerima adat Perancis. Ramai orang Norman yang menjadi terkenal sebagai pentadbir, ketua gereja, dan pahlawan Perang Salib. | UMUM | |
| SYEIKH | Syeikh ialah gelaran Arab yang merujuk sama ada kepada seorang lelaki tua dan dihormati atau kepada ketua sesuatu puak atau kampung. Kadangkala seorang syeikh itu merupakan seorang pemimpin agama. Hanya orang Islam sahaja yang menggunakan gelaran syeikh. Kuasa seorang syeikh biasanya bergantung pada kebebasannya bertindak dan keperibadiannya. Banyak lagu dan cerita telah menggambarkan syeikh sebagai seorang tokoh yang romantis. | UMUM | |
| MULATO | Mulato ialah orang berketurunan campuran kulit putih dan kulit hitam. Istilah mulato juga digunakan terhadap orang yang mempunyai ibu atau bapa yang seorang berkulit putih dan seorang berkulit hitam. Anak daripada orang yang berkulit putih dan orang mulato dinamakan quadroon. Mulato berbeza dari segi rupa. Sesetengahnya mempunyai kulit yang gelap dan rambut keriting dan sesetengahnya tidak. Istilah kreol sering kali dikelirukan dengan istilah mulato. Di Amerika Syarikat, kreol ialah orang kulit putih daripada keturunan selatan Perancis atau Sepanyol. Lihat juga Amerika Latin (Penduduk; gambar). | UMUM | |
| PAKAIAN | Pakaian ialah semua jenis pakaian, dan perhiasan yang dipakai oleh orang di seluruh dunia. Seorang Eskimo mungkin sahaja memakai but, seluar panas dan kot tebal, seorang Afrika yang tinggal di sebuah kampung mungkin hanya memakai sehelai kain yang diikat sekeliling pinggang dan seorang jururawat berkemungkinan memakai pakaian seragam dan topi khas. Seorang kakitangan bank di London berkemungkinan memakai sut perniagaan dan topi berbentuk pembaling bola. Setiap orang memakai pakaian yang berlainan, kerana semuanya merasakan perlu memakai pakaian tertentu, sama seperti makanan dan tempat perlindungan, pakaian merupakan salah satu daripada keperluan manusia yang sangat penting. | UMUM | |
| SURAH AL-MA‘ARIJ | Surah al-Ma‘arij ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-70 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 44 ayat. Surah ini dinamakan al-Ma‘arij (tempat-tempat turun naik) berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku, azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapa pun dapat menolak kedatangannya – dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik”. (Surah al-Ma‘arij 70:1–4) | UMUM | |
| TENIS | Tenis ialah sejenis permainan yang mempunyai seorang atau dua orang pemain pada setiap gelanggang, yang menggunakan raket untuk memukul dan mengembalikan bola lawan melepasi jaring. Sukan ini dimainkan di atas permukaan rata yang dikenali sebagai gelanggang. Setiap pemain cuba memungut mata dengan memukul bola supaya pemain lawan gagal mengembalikan bola itu melepasi jaring ke dalam gelanggang. | UMUM | |
| TE RAUPARAHA | Te Rauparaha (1768–1849) ialah ketua Maori dan salah seorang pahlawan Maori yang paling agung dan paling kejam antara semua pahlawan Maori yang dikenali oleh orang Eropah. Baik orang Maori mahupun pakeha (orang kulit putih) takut kepada Te Rauparaha. Malahan mereka mengaguminya lebih daripada mengagumi ketua pahlawan agung yang lain pada zamannya seperti Hongi Hika, Mananui Te Heu Heu, dan Te Wherowhero. | UMUM | |
| PONTIAC | Pontiac (1720?–1769) ialah ketua suku puak Ottawa. Dia merupakan seorang pemimpin kaum Orang Asli Amerika yang penting pada tahun 1760-an. Pontiac cuba menyatukan puak-puak di kawasan Tasik-tasik Besar dan lembah Ohio dan Mississippi untuk mengekalkan kekuasaan kaum Orang Asli Amerika di kawasan itu. | UMUM | |
| SALMAN AL-FARISIY | Salman al-Farisiy ( ? –36 H./ ? –656 M.) ialah salah seorang sahabat nabi yang berasal daripada golongan Ansar yang menetap di Madinah (dulu Yathrib atau Tayyibah). Dia berketurunan Parsi dari Isfahan. Sebelum Islam, dia berpindah ke Syam, al-Mosul, Nasibyan dan ‘Umuriah untuk mencari pegangan yang boleh menenangkan jiwanya. Dia bergaul dengan para pendeta dan banyak membaca buku karangan orang-orang Parsi, Rom dan Yahudi. Kesemua buku tersebut tidak berjaya menyelamatkannya daripada arus kesesatan. Akhirnya dia menuju ke negeri Arab. Semasa dalam perjalanan ke sana, dia berjumpa dengan serombongan penyamun Bani Kalb. Mereka menculiknya lalu menjualnya kepada seorang Yahudi. Akhirnya dia dibawa ke Madinah dan dipaksa bekerja di ladang. | UMUM | |