STRABISMUS | Strabismus adalah penyebarisan mata yang tak normal, dengan sebelah mata tertumpu pada satu benda dan mata sebelah lagi tertumpu pada benda lain. Keadaan ini juga dikenali sebagai heterotropia atau juling. Biasanya, kedudukan mata membolehkan kedua-duanya melihat benda yang sama pada masa yang sama dan di tempat yang sama. Bagi strabismus, sebelah mata menghala ke lain daripada kedudukan biasanya. Jika mata ini menghala ke dalam ke arah hidung, keadaan ini dikenal sebagai strabismus menumpu. Bagi strabismus mencapah, mata itu menghala ke luar. Penyebarisan tidak normal itu mungkin juga menegak, dengan mata yang terjejas menghala ke atas atau ke bawah. Strabismus mungkin tetap atau berkala dan mungkin melibatkan sebelah mata sahaja atau silih berganti antara kedua-duanya. | UMUM | |
TEMBIKAI | Tembikai ialah nama buah daripada beberapa jenis tumbuhan yang tergolong dalam famili labu. Tembikai hanya hidup untuk satu musim. Daun dan batangnya berbulu. Batangnya yang menjalar atau memanjat melekatkan dirinya dengan sulur paut pada benda yang dipanjatnya. Sulur paut ialah daun yang diubahsuai yang kelihatan seperti gelang kecil wayar. Tembikai sebenar adalah bulat atau berbentuk seperti telur. Saiz dan teksturnya sangat berbeza-beza. Lebarnya mungkin 30 sentimeter atau lebih dan beratnya dari 1 hingga 4 kilogram. Warna buahnya berbeza-beza daripada samar kesumba dan kuning hingga kepada hijau muda atau hijau gelap. Isinya berair dan berwarna hijau, putih, kuning, jingga, samar, atau merah. | UMUM | |
BADI | BADI, kuasa luar biasa yang tidak berbentuk peribadi yang terdapat pada benda tertentu seperti anggota manusia, bentuk alam yang luar biasa seperti busut, binatang atau bangkai binatang. Badi boleh mempengaruhi badan manusia untuk mendatangkan kesan seperti sakit dan kelemahan. | BUDAYA | Konsep |
ARTIFAK ISLAM | Artifak Islam. Tinggalan purba pada umumnya bermaksud benda-benda yang dibuat oleh manusia atau digunakan oleh manusia berupa tempat tinggal, perkakas rumah, alat-alat dan kesenian yang kemudiannya ditinggalkan kerana peredaran zaman. Sejak dahulu lagi, manusia sudah tahu menghargai barang-barang purba. Ini kerana menghargai barang-barang purba, menjaga hak milik dan mengingati tuan punya, serta menikmati kecantikan mempunyai hubungan yang erat dengan kecenderungan dan naluri manusia yang ingin memilikinya, menikmati keindahannya serta ingin mengetahuinya. | UMUM | |
ASTIGMATISME | Astigmatisme ialah suatu kecacatan visual. Kecacatan ini menyebabkan benda yang dekat serta benda yang jauh kelihatan kabur. Kecacatan ini biasanya terdapat pada kedua-dua belah mata. Dalam kebanyakan hal, astigmatisme disebabkan lengkungan kornea , iaitu bahagian lut sinar mata, yang tidak normal. | UMUM | |
RENDA | Renda ialah fabrik hiasan yang terdiri daripada corak benang berupa kain net yang terbuka. Renda yang paling halus diperbuat daripada benang linen, tetapi kapas, sutera, bulu bebiri, serat buatan, malah benang emas dan perak juga turut digunakan. Reka bentuk pada kebanyakan jenis renda, terdiri daripada corak bunga atau daun. Reka bentuk yang lain mempunyai corak haiwan, bentuk manusia dan benda-benda seperti tiang dan skrol. Kebanyakan renda digunakan untuk menghias pakaian dan untuk membuat barang-barang perhiasan untuk rumah dan gereja. | UMUM | |
STEREOSKOP | Stereoskop ialah sejenis peranti pandang optik yang menjadikan gambar seolah-olah mempunyai tiga dimensi. Kamera biasa hanya melihat benda dalam bentuk permukaan yang rata dan tidak sepertimana mata kita melihat benda. Walau bagaimanapun, dua kamera yang diletakkan tidak jauh daripada satu sama lain boleh bertindak seperti mata kita. Kamera ini boleh mengambil gambar objek yang sama pada waktu yang sama. Kedua-dua gambar ini diletakkan bersebelahan dan dilihat melalui satu peranti yang dikenali sebagai stereoskop. Kedua-dua pandangan ini memasuki mata tanpa menyakitkannya dan imej mental yang terhasil kelihatan seperti tiga dimensi. Individu yang menggunakan stereoskop boleh melihat sekeliling semua benda. | UMUM | |
KAPI | Kapi ialah mesin ringkas yang digunakan untuk mengangkat benda berat dan menarik beban. Pada masa dahulu, ia biasanya digunakan untuk mengangkat air dari perigi. | UMUM | |
SAUH | Sauh ialah benda berat yang digunakan untuk menetapkan kedudukan kapal atau bot. Jenis sauh yang paling biasa dibuat daripada besi atau keluli. Tali atau rantai besi, yang dinamakan kabel sauh, dilekatkan pada sauh dan seterusnya diikat pada kapal. Apabila sauh diturunkan ke dasar air, ia terbenam ke dalam lumpur untuk menetapkan kedudukan kapal. Kebanyakan kapal besar membawa dua atau lebih sauh. Sauh-sauh ini mesti dinaikkan dan diturunkan oleh win (mesin hela). Membongkar sauh bermakna menarik sauh dari air | UMUM | |
KARIKATUR | Karikatur dalam seni, ialah gambar lukisan yang membesar-besarkan atau mengherotkan sifat fizikal atau keganjilan yang ada pada seseorang atau sesuatu benda. | UMUM | |