PERANG GRANADA | Perang Granada berlaku pada tahun 897 H./ 1492 M. antara orang Islam di bawah pimpinan Bani Ahmar dengan orang Kristian Andalus. Peperangan ini disebabkan kemunculan kerajaan- kerajaan kecil Islam di kalangan bangsa Arab yang dikenali sebagai kerajaan-kerajaan kecil “zaman al- Tawa’if ”, selepas kejatuhan kerajaan Bani Umaiyyah di Andalus. Salah satu daripada kerajaan itu ialah kerajaan kecil Granada yang merdeka pada tahun 630 H./1232 M. dan dipimpin oleh Bani Ahmar. Perpecahan ini menyebabkan kelemahan orang Islam di Andalus. Orang Kristian telah mengambil kesempatan di atas kelemahan orang Islam dengan mengukuhkan wilayah-wilayah mereka di utara bagi menghadapi kerajaan-kerajaan Islam Arab ini yang kebetulan sedang berselisih untuk berebut kuasa. Selepas itu, satu demi satu kerajaan Islam jatuh ke tangan orang Kristian kecuali kerajaan Granada . Hanya kerajaan ini yang tinggal untuk orang Islam Andalus. | UMUM | |
ADAT PERKAHWINAN MELAYU-COCOS | ADAT PERKAHWINAN MELAYU-COCOS, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Cocos di Pulau Cocos, Australia. Di kalangan masyarakat ini, anak-anak muda diberi kebebasan mencari pasangan hidup sendiri dan kemudian barulah meminta persetujuan daripada ibu bapanya. Umur bagi anak perempuan berkahwin ialah 17 tahun ke atas dan bagi lelaki 21 tahun atau lebih. Pada masa dulu, pergaulan antara anak-anak muda tidaklah begitu bebas. Kesempatan mencari jodoh ialah pada waktu bulan terang. Anak-anak gadis berkumpul di hadapan rumah mereka meraut lidi daun kelapa untuk dibuat penyapu. Para pemuda mencari peluang untuk berkenalan pada waktu itu dan apabila mencapai persetujuan untuk mendirikan rumah tangga, hal itu disampaikan kepada ibu bapa masing-masing. | BUDAYA | Konsep |
KARAENG BONTOMARANNU | KARAENG BONTOMARANNU ( ? -1667), dilantik sebagai raja di Bone yang ditakluk oleh Makasar pada tahun 1644. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Semasa Sultan Hasanuddin memerintah Makasar (1653-1669), Karaeng Bontomarannu dilantik sebagai ‘Tumabicara-butta’, satu jawatan yang sama tarafnya dengan Bendahara. Semasa Bugis menyerang Makasar pada tahun 1667, Karaeng Bontomarannu memimpin angkatan Makasar menyerang Butung pada bulan November 1666. Karaeng Bontomarannu menyerah diri setelah kalah kepada Cornelis Speelman (komander tentera Syarikat Hindia Timur Belanda), pada tahun 1667. Spellman dan Karaeng Bontomarannu kemudiannya bersahabat lalu dia dibebaskan. Dia kemudian mengambil kesempatan melarikan diri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
ABDUL HADI W.M | ABDUL HADI W.M (1946- ), penyair sufi Indonesia. Dia banyak memberi kuliah dan ceramah di beberapa tempat di Malaysia dan pernah dilantik sebagai Ahli Cipta pada tahun 1991 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kesempatan inilah digunakannya untuk meraih gelaran Doktor Falsafahnya. | SASTERA | Konsep |
SULTAN ABDUL JALIL SYAIFUDDIN | SULTAN ABDUL JALIL SYAIFUDDIN (? - ?), Sultan Siak (1791 – 1811). Pada tahun 1780-an, Siak berpecah-belah kerana masalah politik dalam negeri, pemberontakan dan perang saudara. Pada masa itu Siak di bawah pemerintahan Sultan Yahya. Sayid Ali yang berkahwin dengan adik Sultan Yahya yang bernama Tengku Sakol mengambil kesempatan ini untuk merebut takhta. Sayid Ali adalah putera Sayid Osman, menantu Raja Alam dari Siak. Sayid Ali telah mengumpulkan kekuatan di Bukit Batu dengan bantuan sebahagian besar Orang Besar Siak dan bantuan tentera dari Padang. Akhirnya, dia berjaya merebut takhta pada tahun 1791 dan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Siak dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syaifuddin. Setelah dia berjaya merebut takhta Siak, dia memberi gelaran kepada Raja Lamkanuddin, Raja Padang sebagai Sultan Magedar Alam yang menjadi raja di Padang dan Bedagai. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
PERJANJIAN PAHANG-BRITISH | PERJANJIAN PAHANG-BRITISH (1887), perjanjian persetiaan antara Sultan Ahmad dengan British yang ditandatangani pada 10 Oktober 1887. Dengan termeterainya perjanjian ini bermakna menandakan penguasaan British di Pahang. Pada awal tahun 1880-an, kedudukan Bendahara Wan Ahmad sebagai pemerintah Pahang mula tergugat akibat pertelingkahan yang berlaku di kalangan pembesar. Bendahara Wan Ahmad terlalu memberi kepercayaan kepada penasihat baginda dan hal ini membawa kepada kelemahan kepemimpinan politik pada masa pemerintahannya. Perselisihan di kalangan golongan pemerintah dan pembesar dari beberapa kawasan menyebabkan berlakunya perang saudara (1856-1863). Keadaan ini diambil kesempatan oleh British untuk campur tangan dalam politik negeri di Pahang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Perjanjian/Konvensyen/Triti/Persetiaan |
PERANG BUKIT PUTUS | PERANG BUKIT PUTUS, perang saudara pertama di Negeri Sembilan. Perang ini berlaku pada tahun 1875 antara Yamtuan Antah dengan Tengku Ahmad Tunggal berhubung pemilihan waris takhta. Perang ini melibatkan campur tangan pihak British yang mengambil kesempatan daripada perbalahan yang berlaku antara pembesar negeri untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Sungai Ujong. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Peristiwa |
GUNDIK | GUNDIK, perempuan simpanan raja atau sultan. Isteri (permaisuri) raja biasanya berketurunan raja dan dikahwini secara sah, manakala gundik ialah perempuan bukan berdarah raja yang diambil sebagai hamba atau orang suruhan raja atau istana. Bilangan isteri raja tidak melebihi empat orang sesuai dengan hukum Islam. Sebaliknya, raja boleh mempunyai gundik seramai mungkin. Pada peringkat awal perkembangan, Islam membolehkan hamba digauli oleh tuannya. Raja mengambil kesempatan itu untuk menghalalkan perbuatan tersebut dengan mempunyai gundik antara 300 hingga 400 orang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
OTHMAN KALAM | OTHMAN KALAM ( ? - 1955), wartawan. Tarikh lahirnya tidak diketahui. Dia lahir di Padang Rengas, Perak. Othman menerima pendidikan awal di Hogan English School, Kuala Kangsar hingga lulus Darjah Tujuh. Kemudian Othman bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Madrasah al-Mashor, Pulau Pinang. Semasa berkhidmat di madrasah tersebut, dia mengambil kesempatan mempelajari bahasa Arab hingga akhirnya ditugaskan untuk mengajar bahasa Arab di madrasah yang sama. Teman-teman sejawatnya pada ketika itu termasuklah Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Syed Alwi al-Hadi, Mohammad Yunus Abdul Hamid dan Zainal Abidin Haji Alias. | SASTERA | Tokoh |